TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

DI MANA JANGGUTMU WAHAI LELAKI?



Semalam terbaca status Facebook seorang sahabat :

"Andai Rasulullah berada di depan kita dan bertanya 'apa khabar iman kamu'? Sejauhmana kamu mengikuti sunnahku? Agak-agak apa yang kita akan jawab?"

Dan juga status yang hampir sama oleh sahabat yang berlainan :

"Rasulullah, alangkah bahagianya hatiku jika mukaku ini menjadi alas kakimu."

Tergamam!



BENARKAH RASULULLAH IDOLA KITA?

Benarkah kita sayangkan Rasulullah SAW dengan sebenar-benar sayang? Benarkah Baginda menjadi contoh ikutan ummah? Sebagai idola hidup?

Jika kita sayangkan ayah kita, segala suruhan dan nasihatnya pasti kita patuh dan ikut. Gaya dia berpakaian, bercakap sekalipun cara jalan, makan dan tidur, hampir semua kita tiru. Lebih-lebih lagi jika ayah kita seorang  yang hebat. Disegani oleh kawan dan lawan. Kita bangga menjadi anak ayah. Seolah-olah satu dunia kita mahu isytiharkan bahawa itulah ayah kita yang sangat hebat!

Itu adalah ayah kita, bagaimana pula dengan Nabi Muhammad SAW?

Tidak perlu bersembang jauh tentang sunnah Baginda yang susah dan berat untuk dipraktiskan seperti solat sunat tahajjud dan dhuha . Cuma pandang sahaja diri kita.

Ada tidak kita ikut sunnah Nabi yang paling mudah dan senang? Nampak remeh tetapi yang remeh itulah kita tidak mampu buat. Sebagai contoh :

1. Simpan janggut
2. Memotong kumis
3. Memotong kuku, dll

Belum lagi soal adab yang lain, seperti adab ketika makan :

1. Makan menggunakan tangan
2. Makan menggunakan 3 jari
3. Makan sambil duduk
4. Menjilat jari-jari selepas makan
5. Makan ketika lapar, berhenti ketika kenyang
6. Membasuh kedua belah tangan dan berkumur-kumur, dll

Nabi SAW pernah bersabda : “Barang siapa yang mengikuti sunnahku, bererti dia cinta kepadaku. Dan barang siapa yang cinta kepada ku, maka akan masuk syurga bersamaku.”

Sahabat-sahabat, sebenarnya banyak sekali kebaikan dan kelebihan jika kita mengamalkan sunnah Nabi SAW. Ulamak pernah berkata, pada setiap amalan sunnah itu ada keberkatan. Siapa amalkan sunnah, dia akan mendapat 2 keuntungan. Apa keuntungan itu?

1. Pahala yang berlipat ganda
2. Keberkatan.

Malah dari segi ilmu perubatan terlalu banyak impak positif yang boleh dikaitkan dengan sunnah Nabi ini.
Sebagai contoh yang paling mudah, jilat jari selepas makan.

Rasulullah SAW bersabda, "Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan, jangan dibersihkan jari-jarinya sebelum dia menjilatnya". (HR Muslim)

Ya! Mungkin kita rasa jijik, pelahap dan pengotor apabila melihat orang menjilat jari selepas makan. Dan mungkin kita sendiri malu untuk berbuat demikian, lebih-lebih lagi perempuan, kononnya takut akan persepsi dan tanggapan buruk orang lain. Boyfriend pun tak nak makan dengan kita lagi. Segan. Tidak moden katanya.

Tetapi tahukah kita apakah kelebihan fakta sains di sebaliknya?
Dan adakah kita sedar slogan KFC, "Finger Lickin' good" yang kita tengok di TV setiap hari?
atau orang Cina dengan adat, "eat your finger off" sudah nampak kelebihan menjilat jari?

Kita tidak rasa gah dengan islam, dengan sunnah Nabi kita. Kenapa ya?

Padahal Nabi sudah lama dahulu menganjurkan kaedah ini. Ditambah lagi dengan bukti hasil kajian para saintis mendapati bahawa enzim banyak terkandung di celah-celah jari, iaitu 10 kali ganda daripada yang terdapat dalam air liur! Enzim inilah pencerna makanan. Tanpa enzim, makanan tidak boleh hadam. Itulah berkatnya.

Jadi risiko untuk menghadapi masalah penghadaman seperti cirit birit dapat diminimakan. Tidak perlulah susah payah untuk berjumpa doktor dan membeli ubat di farmasi. Mudah bukan?

Lantaran itu, pasakkan di dalam diri, berpeganglah dan amalkan sunnah Nabi SAW, pasti Allah akan cintai dan berkati kita. Beramal dengannya sudah mendekati syufaat Nabi SAW di akhirat kelak.

READ MORE

"LIFE ZERO ALASAN!"


Biasa bangun pagi, perkara pertama yang paling kita suka buat adalah membelek muka di cermin. Kita renung mata kita dalam-dalam, buang tahi mata, selak rambut ataupun ada orang mengelap bekas air liur yang meleleh.

Tetapi, kalaulah kita bangun hanya dengan melihat muka sahaja tanpa melihat hati kita, adakah itu merugikan?

Kita perlu tahu sejauh mana kesihatan hati kita, bagaimana kondisinya? Adakah hati kita kotor? Bagaimana pula kita mahu tahu hati kotor atau tidak, dan sejauh mana hati kita kotor?

Sebenarnya ada cara paling mudah untuk kita tahu hati kita kotor atau tidak. Senang sahaja.

Bila dengar azan, kita lekas tidak tunaikan solat?
Adakah selepas solat kita rasa gembira?
Kalau kawan ajak dengar ceramah, ikhlaskah kita pergi?
Jika orang minta tolong, reaksi kita bagaimana?


Kita tahu banyak keburukan diri, tetapi untuk berubah terasa susah sangat.
Kita sedar banyak perkara perlu diperbaiki, namun untuk bertindak amatlah malas.

Pendek kata, perkara pahala begitu susah kita mahu lakukan tetapi perkara dosa begitu senang sekali kita lakukan. Terbukti bukan?

Kita tahu tetapi tidak sedar. Kita sedar tetapi betul-betul tidak sedar. Kita sedar tetapi tidak mahu bertindak. 

Itulah pentanda bahawa hati kita sedang bermasalah. Hati kita sedang menderita kesakitan malah kemungkinan besar sedang berada dalam keadaan kritikal berperang dengan maut, yang mana kita panggil hati mati.

Inilah yang apa yang dikatakan oleh Sheikh RA (Muallif Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari dalam kalam hikmahnya :

"Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa."

Maksudnya bila kita berbuat dosa, kita tidak merasa apa-apa. Tiada rasa bersalah, sedih, menyesal atau bertaubat. Tetapi, bila kita berbuat pahala, kita tidak merasa gembira, bahagia mahu pun tenang.

Kita ada mata yang melihat tetapi kita tidak melihat hakikat yang sebenar.
Kita ada telinga yang mendengar tetapi kita tidak mendengar yang seharusnya.
Kita ada otak yang berfikir tetapi kita tidak berfikir dan mengingati Allah.

Jangan tanya sejauh mana Allah melihat kita tetapi sejauh mana kita melihat Allah?
Jangan tanya sejauh mana Allah mengingati kita tetapi sejauh mana kita mengingati Allah?

Memetik satu lirik daripada kumpulan hijjaz yang bertajuk mata hati,  "pandangan mata selalu menipu, pandangan  akal selalu tersalah, pandangan nafsu selalu melulu, pandangan hati itu yang hakiki, kalau hati itu bersih."

Justeru hati yang karat perlu dibersihkan. Hanya ada 2 alat sahaja untuk membersihkan hati, iaitu :
1. Ingat mati
2. Zikrullah

Sekali kita melakukan dosa, berusahalah untuk bersegera dalam memohon keampunan Allah. Cepat-cepat terbit rasa menyesal dan beritighfar yang penuh berharap agar Allah ampunkan dosa dan terima taubat kita. Dosa yang diibaratkan virus boleh sahaja didelete jika tuannya kembali kepada Tuhannya.

Rasulullah SAW bersabda :

"Shahibul syimaal (Malaikat Atid) akan mengangkat penanya (menunggu) selama 6 jam , ketika seorang hamba muslim melakukan kesalahan, jika dia menyesal dan membaca Istighfar atas doanya , maka malaikat menggugurkan, jika tidak demikian maka akan ditulis sebagai satu kesalahan (Ibid , hadis Hasan , no 2097)

READ MORE

MOTIVASI PENDEK


Seorang pemuda yang duka wajahnya didatangi seorang alim, lalu di pegang dadanya, kemudian orang alim bertanya,

"Benarkah yang diperlukan oleh kamu adalah 'duit'?

Pemuda itu menjawab "Ya"...Jika tidak ada duit masalah saya tidak akan selesai.

Orang Ailm itu tersenyum lalu berkata..."bukan", yang diperlukan kamu adalah iman, bahawa Allah SWT akan menolong kamu, bahawa Allah SWT sahajalah yang akan menyelamatkan kamu.

Kita adalah hamba yang sering alpa bahawa Allah SWTlah segala jawapannya. Jika di risaukan persoalan 'dunia'.. 'dunia' .. 'dunia', pasti tidak ada penghujungnya. Selesaikanlah masalah hanya dengan bantuan Allah SWT. Dia yang Maha Berkuasa.

''Makhluknya langsung tiada kuasa"




"Kadangkala apabila ujian tidak menjengah, kita lupa untuk memohon. Kadangkala, apabila kehidupan tidak diuji, kita lupa untuk meminta. Lantaran itu, hati terasa kosong, bukan kerana ujian yang terasa berat, tapi JARAK dan HUBUNGAN denganNya yang tanpa sedar SEMAKIN JAUH daripada kita."

Ibn Jauzi telah menulis dalam Shaidul Khatir :

“Orang yang sedar sepatutnya mencari sesuatu yang paling mahal nilainya dan sesuatu yang paling berharga di dunia ini ialah ALLAH SWT”

READ MORE

MEN"SYURGA"KAN PENULISAN



MENULIS KERANA ALLAH

Alhamdulillah saya terasa kekenyangan yang amat sampai senak otak saya jadinya. Bengkel penulisan yang saya ikuti pagi tadi anjuran Kelab Perkim, UKM Bangi benar-benar membangkitkan semangat saya untuk terus mengasak jari-jemari agar istiqamah dalam penulisan walaupun sibuk!

Semuanya masih berkisar tentang bagaimana kita menguruskan masa dan menginovasikan dakwah. Niat perlulah disucikan semula, tiada rasa riak, nak glamour dan materialistik. Bila niat kita bersih dan tekad untuk pacukan roda dakwah, kita sanggup guna pelbagai alat yang boleh membawa kepada keredhaan Allah. Jika niat belum setel, sebab itulah kita tidak konsisten. 

Sekali kita pacak, berterusanlah dalam gerak kerja. Maksudnya, sekali kita niat, ikhlas betul-betul kerana Allah, dengan azam dan semangat yang kuat, disulami fokus dan halatuju yang tepat, maka kita mampu istiqamah dan berdisplin dalam pengurusan masa, tiada lagi istilah berkompromi dengan isu kesibukan.

Pasti menulis walaupun terpaksa!

Kita mahu setiap penulisan kita sama ada di blog mahu pun di facebook, twitter dan sebagainya diterima Allah sebagai sumber pahala yang berterusan dan sentiasa mengalir masuk ke akaun kita.

Nah! Hasil pendapatannya sangat lumayan dan berlipat ganda!

Sebabnya selagi mana manusia membaca penulisan kita dan mereka beroleh manfaat lantas berubah ke arah kebaikan, ia sekaligus menjadi bekalan pahala untuk kita ke syurga menemui Allah, walaupun diri kita sudah tiada lagi di dunia ini!

“Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan 3 perkara ; Sedekah jariah, atau ILMU yang memanfaatkan, dan doa anak yang soleh” [Hadith diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, Tirmudzi, al-Nasaa'i, dan al-Bukhari].

Bersemangatlah wahai diri dan sahabat sekalian!
Bersungguhlah wahai diri dan sahabat sekalian!
Istiqamahlah wahai diri dan sahabat sekalian!

Jika kita tidak mampu membuat blog, belajarlah secara bersungguh. 
Jika kita tidak mampu menulis blog, belajarlah untuk share atau copy penulisan dahalu.
Jika kita tidak mampu istiqamah, belajarlah mendisplinkan masa lapang. 
Jika kita tidak mampu berdakwah, dekati majlis ilmu dan orang soleh.

Tiada siapa yang tidak bermula dengan zero. Saya juga begitu dahulu, belajar bersendirian dengan sabar.

READ MORE

"HARI NI NAK TULIS PASAL APE YE?"


Bagi seorang penulis blogger hatta hanya facebooker pun, pasti terpinga-pinga bertanya soalan kepada diri "hari ni aku nak tulis pasal ape ye?"

Digaru-garu kepalanya yang tak gatal. Jenuh berfikir, di"skodeng"nya jiran sebelah cari ilham.

"Datanglah kau ilham. Datanglah..." berminit lamanya berfikir .
"Dah..sudah! Feed up aku!"

Maka, hari itu berakhirlah dengan kemalasan dan kebosanan untuk tidak update blog, atau pun cukup sekadar copy paste status orang lain atau share mana-mana artikel. Buat sahaja daripada tidak buat kebaikan langsung.

"Susahnya nak datang ilham. Allah..." keluhnya.

Layan jap lagu Manbai. "beribu bintang di langit kini menghilang. Meraba aku dalam kelam, rembulan mengambang kini makin suram, pudar ilhamku tanpa arah. Sedetik wajahmu muncul dalam diam. Ada kerdipan ada sinar, Itukah bintang atau rembulan. Terima kasih kuucapkan."

Tersengih sorang-sorang bila masuk rangkap kedua.

"Izinkan kumencuri bayangan wajahmu. Izinkan ku mencuri khayalan denganmu. Maafkanlah oh...Andai lagu ini mengganggu ruangan hidupmu. Kau senyumlah oh...Sekadar memori kita di arena ini. Kau ilhamku. Kau ilhamku..."

Terima kasih ya Allah. Sungguh hati ini jatuh cinta bila mendengar alunan muzik yang lembut, ilhamku disandarkan hanya padaMu. Tiadalah aku menulis jika tidak Kau yang ilhamkan. Tiadalah aku tanpa banyak idea jika tidak Kau yang titipkan. Hati kembali berbunga-bunga tenggelam dalam kebahagiaan. Seronoknya.

"Aku bukanlah doktor cinta. Bukan pula ustazah mahu pun ahli politik untuk bicara displin ilmunya. Belum juga ditaklifkan sebagai doktor. Tiadalah tauliah yang sempurna. Mahu pun ilmu agama yang mendalam. Cukup sekadar mahu berkongsi rasa, buah pemikiran, pendapat, fikrah, motivasi dan muhasabah diri. Walaupun minat dan cenderungnya di dunia siasah (politik), usahlah hilang minat membaca blog ini."

Apa yang aku rasa, tidaklah seperti yang kau rasa. Kita sangka kita sama, kita serupa. Rambut sama hitam, tapi rupanya kita berbeza. Hati kita lain. Sudut pandangan, pemikiran, kondisi pengaruh sekitar, bahan bacaan dan pengalaman kehidupan membentuk diri kita berlainan. Namun hakikatnya, Allah yang Maha Muthlak untuk mencipta kita sebegini rupa.

Bersyukurlah, bukankah itu satu keindahan?
Persoalannya masih sekitar bagaimana kita menerima perbezaan.






BERSAMA MEMBENTUK DIRI

Jika sebelum ini, bacaan kita hanya terpencil mengenai soal hati. Rasa dan terasa. Jatuh hati, sakit hati, pedih hati, amik hati, dan seangkatan waktu dengannya. Maka, mulai saat ini latihlah diri, didiklah diri, displinkan diri dengan bahan bacaan yang lebih meluas merangkumi segenap isi kehidupan.

Bersikaplah adil kepada diri. Tidaklah adil bila mana, tabiat kita suka "like" mana-mana artikel, page, gambar atau status berunsurkan "easygoing" dengan selera perasaan kita. 

Bagaimana pula dengan kebenaran?

Tertegaknya kebenaran tatkala kita berusaha menyingkap jendela politik kepalsuan. Sedarlah betapa politik itu penting dalam mencatur keseimbangan kitaran dan kestabilan urustadbir manusia yang mana pada hari ini semakin celaru akibat kedegilan dan bersikap sombong dengan Tuhannya. 

Saat ini, dengan ketidaksedaran, kita telah menzalimi hak masing-masing, membiarkan manusia yang tidak bertanggungjawan, tidak amanah dan tidak berintegriti telah membunuh dan merosakkan kepercayaan kita kepada dunia politik yang bersih sepertimana sistem politik kerajaan Madinah pimpinan Rasulullah SAW.

Kita biarkan persepsi "politik kotor" terus menerus meracuni pemikiran dan budaya allergic tatkala berbicara tentangnya. Mengapa kita hanya membiarkan golongan tidak cerdik ini memperhambakan manusia akibat sikap "aku tidak pedulisme"?

"Lantak kaulah, aku tak rasa apa-apa pun. Takde faedahnya kalo menyibuk hal orang lain"

Kalau terkena batang hidung diri sendiri, baru terngadah. Nak salahkan siapa? Salah siapakah sebenarnya? Berubahlah! Kita mampu mengubahnya dengan tangan sendiri, maka pangkahlah sebelum kita dipangkahkan daripada sebarang kebaikan. 




TINGGALKAN AMALAN "LAGHA"

Amatlah rugi menjelang tahun baru, 2012 tiada satu apa pun kata-kata azimat pesanan kepada diri sendiri untuk berubah. Diri kita sebenarnya ketandusan kasih sayang, cinta dan perhatian daripada tuan badannya. Seperti mana kita mahu orang lain ambil kisah, take care dengan kita, sayang pada kita, begitu juga jiwa kita.

Belaian seorang ibu kepada anak tidak kira masa dan tempat. Keikhlasannya tidak terduga dan mampu menagih limpahan air mata tatkala mengenang pengorbanan ibu. Katanya, hidup tak sesempurna tanpa ibu.

Itu ibu, orang lain. Tidak sejasad, sebadan dan sehati dengan kita. Justeru, kita  semestinya perlukan lebih kasih sayang diri kita sendiri daripada kasih sayang ibu. Kepuasan hati akan tercapai setelah kita faham fitrah diri kita yang sebenarnya. Bagaimana pula ye?

Kita bangga beragama islam, anugerah warisan turun-temurun datuk nenek moyang kita. Ya, bangga bukan bersyukur. Kalau kita jenis bersyukur, kita akan berusaha mengubah diri menjadi umat islam yang boleh dibanggakan oleh Allah. Islam tanpa amal diibaratkan pokok tidak berbuah, sia-sia.

Pada hari ini apa yang kita lakukan? Kita tidak lagi bersahabat akrab dengan Al-quran tetapi dengan handphone, ipod, mp3, facebook, blog dan sebagainya. Bacaan dan muzik kita bukanlah ayat-ayat Al-quran. Bagi kita baca Al-quran bila waktu lapang, nak mati atau bila Ramadhan tiba, begitu ekslusif sekali kononnya menghormati sampai terbelit-belit lidah nak baca Al-quran. Betul tak?

Masih banyak lagi ruang-ruang kosong yang belum dipenuhi di otak kita untuk menghafal, sel-sel otak kita pun kelihatannya masih berehat dan tidak secergas seperti yang sepatutnya. Gunakan nikmat itu sebaiknya sebelum ditarik. Jadi, sebagai langkah pertama biasakan diri melazimi ayat-ayat suci, firman atau mana-mana hadis Nabi. Jangan terus langkah perenggan atau bersikap tidak endah bila nampak ayat Al-quran tanpa mendalaminya. 

Ayat manusia tidak berkuasa mengubah diri manusia, yang sama taraf dengannya. Hanya ayat Allah yang Maha Berkuasa mampu menggetarkan perasaan sekaligus menggerakkan hati manusia untuk berubah. InsyaAllah moga ada manfaat luar biasa.


Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah SAW bersabda :

“Umpama orang mukmin yang membaca Al Quran seperti buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca Al Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca Al Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca Al Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”. ( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

Begitu luar biasanya memotivasikan diri kita.

READ MORE

"SAYANG, JANGAN TIDUR LEPAS SUBOH"


Kepada sahabat-sahabat yang disayangi mari kita muhasabah diri. Di sebalik diri kita ini, ada sifat pemalas yang perlu diubah. Jika kita tidak ubah tabiat pemalas kita ini, maka bermacam-macam impak negatif bakal menghanyutkan diri ke arah kemudharatan yang lebih besar.

Jika tidak sekarang, bila lagi bukan?

Takkan mahu tunggu usia sudah senja baru kita terhegeh-hegeh mengubah diri. Ketika itu, tabiat pemalas kita sudah sebati dengan diri dan amat degil untuk disental segala kekotorannya yang sudah lama melekat dan merosakkan hati kita.



TABIAT PEMALAS YANG PERLU DIUBAH

Cuba cek diri kita, mana 1 menjadi amalan seharian :
1. Bangun suboh lewat
2. Tidur selepas suboh
3. Melewatkan waktu suboh
4. Ala kadar je bangun suboh
5. Tak bangun pun solat suboh

Sahabat-sahabat, masih ingat lagikah? Di waktu zaman berhingus dulu? Ustaz yang mengajar subjek pendidikan islam selalu bertanya di dalam kelas,

"Siapa yang tak cukup solat 5 waktu semalam, sila berdiri"

Tanpa segan silu, secara berjemaahnya kita pun bangun sahabat. Dan bila ditanya, rata-rata yang tak cukup solat 5 waktu, adalah kerana tidak bangun suboh. Kenapa ya sahabat?

Dan kenapa dari kecil lagi, kita dididik sebegini? Diberi penekanan betapa pentingnya bangun suboh dan meraikan ke"suboh"an dengan cara tidak tidur semula seperti bebelan mak kita.

"Sayang jangan tidur lepas suboh. Rezeki tak masuk nanti"
"Anak dara tak manis tidur banyak. Matahari terpacak atas kepala baru nak bangun"





JIKA MAHU BERMUHASABAH

Rasulullah SAW tidak tidur selepas menunaikan solat subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, "Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi." Untuk itu, para fuqaha' memakruhkan tidur selepas solat subuh.

Walaupun hakikatnya  tiada dalil dan hadis-hadis soheh mengenai larangan tidur selepas subuh, dan yang ada cuma pendapat daripada para ulama mengenai tidur selepas subuh adalah MAKRUH tetapi tiada larangan tidur selepas subuh.

Dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar : "Dimakruhkan tidurmu -wahai mukallaf- selepas solat Subuh, kerana waktu itu adalah WAKTU MENCARI REZEKI dan berusaha (syara' dan 'uruf) di sisi orang yang BERAQAL". 

Tetapi, kita sedar tak wahai sahabat?

Kenapa seharian hidup kita tidak bermaya dan tidak bersemangat?
Kadangkala kita pernah menangis kerana tiada duit untuk bayar sesuatu yang penting, malah setiap hari kita pohon kepada Allah agar dimurahkan rezeki, tetapi seolah-olah tiada kesannya?

Kalau orang perempuan, bermacam-macam jenis pencuci muka dicubanya semata-mata nak "kulit bercahaya".
Kalau orang lelaki pula, kerisauan yang tak menentu, jadi bermacamlah "ubat kuat" yang dipakainya.

Kita nak ke isteri macam ini? Nak ke suami yang sebegini?
Masing-masing menggeleng tersengih sendirian. Jika kita tak nak pasangan seperti sedemikan rupa, maka kitalah orang pertama dahulu yang kena berubah. Bukan nanti, tetapi sekarang.




MASA UNTUK BERUBAH

Maka untuk itu tidak ada alasan lagi untuk menyeru kepada PERUBAHAN.

Buat diri, pastikan masa yang terluang selepas suboh diisi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Jangan tidur terlalu lewat jika sayangkan waktu keemasan di kala suboh.

Buat ahli jemaah, sudahlah diri sibuk, hanya masa ini sahajalah waktu untuk belajar. Gunakan masa sebaiknya.

Buat suami, carilah rezeki. Jangan tidur.Cuba lihat surah Al Jumaah ayat 10 : "Kemudian setelah selesai solat, maka betebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). 

Buat isteri, masaklah, kemas rumah dan sebagainya. Takkan hilang seri rumahtangga kalau kehidupan bermula  sebelum terbit fajar. Mak mertua pun tak bising lagi.

"Pesanan terpenting untuk para imam dan bakal imam terutamanya untuk diri sendiri, biasakan diri jangan tidur lepas subuh dan jangan tinggal solat jemaah di masjid, nanti selepas kahwin boleh didik isteri, kalau tak dua-dua hanyut. "

Buat pelajar, kalau nak tips study smart ingat hadith ini "kalau tidur selepas subuh papa dan tidur selepas asar boleh jadi 'gila'." Jangan salah pilih waktu untuk belajar atau menghafal.

Ibnul Qayyim pernah berkata,“Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu muda dan akhir harinya seperti waktu tuanya.”
Amalan seseorang di waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua. Jadi jika seseorang di awal pagi sudah bermalas-malasan dengan sering tidur, maka di petang harinya dia juga akan bermalas-malasan pula.

Antara AKAL dan NAFSU. Pertarungan ini hanya dimenangi jika manusia bersandarkan IMAN. Jika tidak manusia sama sahaja seperti haiwan, tidak menggunakan akal dengan betul. Pembaziran masa adalah perkara yang sangat merugikan. Dan hanya syaitan yang suka pembaziran. Masa itu ibadah. Semoga Allah memberi kebijaksanaan dan kekuatan untuk kita sama-sama mengikut perintahNya. InsyaAllah...

Sedang Nabi melewati anaknya Fatimah RA yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka Baginda bersabda :

"Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari." (Diriwayatkan al-Baihaqi)

READ MORE

"BE HUMBLE"


Terkadang, sebagai manusia, kita terlena dengan kesibukan. Terlena dengan urusan duniawi. Padahal, dalam keterlenaan kita, sesungguhnya banyak sekali nikmat Allah yang telah diberikan kepada kita.

Mari, sejenak, kita renungkan barang semenit dua menit, tentang apa yang diberikan Allah pada kita.

"Pekerjaan yang tidak membawa keberkatan adalah PENJARA yang menyamar sebagai REZEKI, semakin lama kita bekerja di situ semakin kuat cengkamannya. BERUBAHLAH atau UBAHLAH kerana rezeki Tuhan itu luas, carilah rezeki Tuhan di seluruh muka bumi."

Dalam kehidupan, secara umumnya, sifat tamak, ingin memiliki sesuatu tanpa batasan atau sikap haloba yang tak pernah rasa cukup dengan kekayaan boleh menjerumuskan manusia ke lembah kehancuran. Sifat ini tidak terbatas dalam mencari harta dan mendapatkan kuasa. Semuanya menjurus ke arah nafsu kebendaan. Diperlinya sifat tamak maunsia ini dalam sabda Nabi SAW :

“Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang KEDUA dan sekiranya ia mempunyai dua lembah, nescaya ia mahu yang KETIGA. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.” (Riwayat Ahmad).

Kehidupan dunia pasmodenisasi mempengaruhi manusia dengan sifat tamak, haloba dan bakhil yang mempengaruhi gaya hidup yang hanya mementingkan kebendaan dan kekayaan. Sifat ini menjadi virus dalam masyarakat yang membawa tabiat buruk,  mementingkan harta dan kebendaan.

Dunia bagaikan PENJARA, apabila dengan jelas membuatkan kita kufur nikmat kerana merungut dengan rezeki yang sedikit. Sekecil apapun rezeki itu adalah anugerah Allah yang harus disyukuri. Kerana sesungguhnya selain mencari rezeki daripada pekerjaan, kita juga mengharapkan keberkatan yang Maha Kuasa.

Dek tidak bersyukur, dicabutNya segala kemudahan dan rahmat baik di alam semesta, mana lagi kita akan mencarinya?

Mari renungkan ayat ini : "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan MENAMBAH (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya AZAB-Ku sangat pedih." (Q.S. Ibrahim : 7)




TOK GURU DAN NASI BUNGKUS RM2.50


"ANTA dah makan," tegur Tok Guru kepada tatkala melihat kelibat penulis memasuki bilik jamuan. "Alhamdulillah, sudah Tok Guru," jawab penulis sambil mengangguk.

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat terus membuka bekas polystyrene yang berada di hadapannya. Bekas tersebut diikat dengan getah plastik. Di dalamnya ada nasi putih, seketul ayam, sebungkus kuah gulai dan sebungkus cili.

Tiada makanan ala buffet. Tiada air sirap, tiada teh dihidangkan. Yang ada hanya air mineral dan nasi bungkus.

Itulah jamuan untuk VIP PAS selepas Menteri Besar Kelantan itu merasmikan Persidangan ICT PAS di Taman Melewar, 22 Oktober lepas. Tok Guru dan para VIP kelihatan berselera sekali menjamah hidangan. Mereka menjamu selera dan berbual dengan nada yang amat santai.

"Begitu pun, akhlak Tok Guru tetap terpelihara. Beliau mencarik-carikan isi ayam sedikit demi sedikit, dengan tangan kirinya menahan tulang ayam. Selepas secubit ayam dijamah, beliau menuangkan kuah gulai sedikit-demi sedikit, untuk dimakan dengan nasi. Begitulah selang-seli hidangan dimakan hingga habis."

Berbeza dengan kita. Kalau kita yang makan, kita akan ambil seketul-seketul ayam dan koyakkan dengan gigi sahaja. Biasa kalau kuah gulai tu, kita akan tuang sampai banjir dalam pinggan.

"Tok Guru tidak pernah merungut, nilai sebungkus nasi dan air untuk hidangan VIP, tidak sampai RM2.50. Itulah juga hidangan yang disajikan kepada seluruh peserta hidangan. Sama sekali tiada beza. Bukan soal mahal atau murahnya sesuatu hidangan. Tok Guru tidak pernah melarang sesiapa pun untuk menjamu selera dengan hidangan yang lazat-lazat. Asalkan mereka mampu dan tidak membazir."

Tok Guru juga tidak pernah menolak jika dijemput menjamu selera hidangan yang mahal dan mewah. Tok Guru biasa menghadiri majlis bersama Raja-Raja dan VVIP terkemuka. Moralnya, sama ada makan cara mewah atau makan cara marhain, adalah sesuatu yang lumrah, yang tidak perlu ditunjuk-tunjukkan.

"Tetapi Tok Guru tetap Tok Guru. Sifat tawaduknya bukan dibuat-buat. Dah memang semula jadi sifat Tok Guru begitu. Hidangan yang simple dan murah. Makan digerai bersama rakyat kebanyakan sudah biasa baginya. Tidak perlu dihighlight dalam media, tidak perlu diheboh kepada satu dunia."

Gaya hidup sederhana dan zuhud akan mewujudkan sifat pemurah, ikhlas, syukur dan tawaduk dalam hati. Sifat ini adalah akhlak mulia dan adab seharian sebagai penghias peribadi Muslim.

Rasulullah SAW pernah melontarkan betapa sifat zuhud dan bersederhana sangat dituntut dalam Islam supaya umatnya menjadi kuat dan berdisplin :

 “Hiduplah di dunia dengan zuhud (bersahaja), soleh hidupnya tidak mementingkan hal keduniaan maka kamu akan dicintai Allah dan janganlah tamak terhadap apa yang ada di tangan manusia, nescaya kamu akan disenangi manusia.” (Riwayat Ibn Majah).

Mari berfikir, dari hal terkecil sahaja. Tangan ini, bisa berfungsi dengan baik.

Siapa yang menyusun tulang-tulangnya?
Siapa yang menyusun kulit serta dagingnya?
Siapa yang menyusun rangkaian pembuluh darah sedemikian rupa hingga dapat berfungsi dengan sangat baik? Siapa yang menyusun saraf, sehingga dapatlah tangan bergerak?
Siapa yang mengatur molekul apa saja yang boleh menyusun tulang, daging, kulit, pembuluh darah, saaraf, sehingga berfungsi dengan efektif dan fleksibel?

Sekarang pula cuba bayangkan, kalau tangan tidak bisa digerakkan, lantaran susunan yang salah, apa jadinya?

Mampukah kita menghitung setiap nikmat yang telah Allah "sewa"kan? 
Maka jika mati hati sudah memahami, akal dapat dipandu, nafsu dapat ditunduki, usahlah rakus kepada dunia seperti firman Allah SWT :

"Dan buatkanlah untuk mereka (manusia) perumpamaan kehidupan dunia ini, ibarat AIR (HUJAN) yang Kami turunkan dari langit, sehingga menyuburkan tumbuh-tumbuhan di bumi, kemudian (tumbuh-tumbuhan) itu menjadi KERING yang diterbangkan angin. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Harta dan anak-anak adalah PERHIASAN kehidupan dunia, tetapi amal kebajikan yang TERUS-MENERUS adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih untuk menjadi HARAPAN.” (Surah Al- Kahfi 45-46).

READ MORE

"AWAK, SAYA TAK NAK BERCINTA LAGI"


Mencintai dan dicintai. Fitrahnya, suatu kemestian buat seorang insan. Hadirnya perasaan ini mungkin di kala ketidakmatangan dalam menilai cinta yang sejati. Namun, saat hati sudah pulang kepada Tuhan, cinta itu kembali bertandang dan berbunga semula. Ia mengundang 1001 kecelaruan.

Kenangan manis mahu pun sejarah hitam begitu asyik berputar menenggelamkan prinsip "bercinta selepas nikah". Bukan mudah diusir. Bukan mudah melupakan. Hanya Allah yang Maha Tahu betapa sengsara dan laranya hati menanggung seksa keseorangan.

"Everytime ex-bf saya text balik, saya mudah sangat nak nangis. Saya tak nak bercinta lagi. Saya berjaya tak capel ngan mane-mane laki lepas tuh. Tapi hati saya sakit bila ingat ape yang dia pernah buat kat saya. Hari-hari saya bace doa minta petunjuk. Saya nak berubah. Saya tak suke ex-bf saya message saya. Setiap kali dia merayu, saya kata dalam hati, "Kau jangan capel. Kau bercinta lepas kahwin". Itu je yang mampu saya buat. Tapi hati saya kadang-kadang tak tahan. Kat FB kadang-kadang dia saje letak gambar mase saya dengan dia dulu".

Buat mereka yang pernah bercinta dan mahu berubah, kembali kepada yang lebih berhak, TAHNIAH!
Buat mereka yang sedang derita dan bermuhajadah dalam kecelaruan cintanya, TAHNIAH!
Buat mereka yang tidak putus asa berusaha untuk mencari cinta Tuhan semula, TAHNIAH!
Buat mereka yang terseksa dengan amukan nafsu cinta remaja dan kini sedang mengubatinya, TAHNIAH!

TAHNIAH dan pujilah diri!
Itu adalah satu kebanggaan! Satu kehormatan yang tertinggi daripada mereka yang tidak pernah bercinta. Untungnya mereka ini, pernah merasa syoknya bercinta dan deritanya bercinta. Mujahadah yang paling besar buat seorang hamba adalah melawan nafsunya sendiri!

Kita baru kembali dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar. Sahabat terkejut dan bertanya, "Peperangan apakah itu wahai Rasulullah?". Baginda berkata, "Peperangan melawan hawa nafsu." (Riwayat Al Baihaqi)

Walaupun status hadis ini adalah hadis dhaif, namun apa yang boleh diiktibarkan, bahawa jihad dalam konteks islam bukan semata-mata jihad mengangkat senjata, mahu pun jihad menuntut ilmu, malah meliputi jihad menentang hawa nafsu sendiri. Betapa pentingnya kita memahami konteks jihad secara syumuliah (keseluruhan) agar sisi pandang kita terhadap keindahan agama Islam bertambah sempurna. Ia berhasil ke arah kemantapan iman dan kedewasaan pemikiran seseorang hamba dalam menjiwai agamanya.

Dalam sebuah hadis bertaraf hasan, Nabi SAW bersabda: "Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah."

Dalam Ihya Ulumuddin, Imam Al-Ghazali juga ada menyatakan :

"Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin. Oleh itu seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah. Dia tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang maksiat."

Berhubung dengan ini Abdullah ibn Mubarak berkata : "Jika cintamu benar, kamu akan mentaatiNya kerana seseorang yang mencintai sesuatu sanggup mentaati sesuatu."








PUJUKLAH DIRI, LEPASKAN DIA PERGI

Hasil didikan (tarbiyyah) cinta dusta mengajar kita untuk tidak berpaling ke lembah hina itu lagi. "Putus cinta dan mahu bercinta kembali" perlu dibuang jauh-jauh. Nyahkan dari otak! Hapuskan dari hati!

Lihatlah wahai hamba kesayangan Allah, Allah mahu ajar kita, mahu didik kita, mahu tarbiyyah diri kita, betapa cinta sebelum nikah adalah hina. Mudahnya diri terperangkap dalam noda dan dosa. Asmara itu tidak bernafsu ketika akad. Kerana kesuciannya telah dibunuh hidup-hidup oleh kata-kata manis sang jejaka.

Ya! Mungkin kita cair dengan pujukan dan keindahan rupa si dia, tetapi itu tidak menjanjikan kebahagiaan selamanya yang kita cari. Hati kita sebenarnya tidak puas! Tidak puas menagih cinta dan kasih sayang manusia.

Cubalah renungkan kembali. Air mata kita begitu murah hanya kerana cinta manusia! Lemahnya diri tertawan dengan janji-janji si mulut manis. Tubuh badan diratah, maruah tergadai dan akhirnya kita ditinggalkan dengan bodoh sekali apabila sudah muak dan bosan. Andai itu tidak terjadi, bersyukurlah. Tetapi jika sebaliknya, bagaimana?

Manusia memuja muji kekasih kerana tidak kenal Allah. Mereka keliru cinta mana yang harus dipuja. Justeru, tatkala iman dan kepercayaan tidak utuh, seorang hamba akan dikepung syahwat dari seluruh arah, dikelilingi sifat keliru dari semua penjuru, semua itu akibat dari kelemahan ilmu dan ketumpulan mata hati. Maka yang yang dituntut ialah penyesalan. Sesallah sekarang sebelum kita disesalkan kelak. 

Oleh itu, siapkanlah jiwamu untuk dicuci, pujuklah diri dengan mendekatkan diri kepada Allah dan orang-orang soleh, pupuklah diri dengan tarbiyyah yang betul, kekanglah dari segala kehendak dan alat yang boleh menjerumuskan diri ke lembah terkotor itu lagi. 


Jika Facebook menjadi punca luka berdarah kembali, block/deletekan sahaja dia daripada akaun kehidupanmu! Tukarlah nama atau profile yang baru.

Jika handphone menjadi punca kegersangan cinta, tukar sahaja nombor yang baru tanpa berfikir dua kali! Lemparkan sahaja semua gambar dan kenangan bersamanya di dalam longkang najis! Bukanlah membenci, tetapi tegas dalam prinsip!!!

Jika dirinya hadir melintasi kepala otak, ambillah sejadah, rendahkan dahi menyembah bumi, ciumlah haruman syurga segar mewangi sedang menanti doa-doamu sebagai tetamunya. Allah SWT, Tuhan kita yang telah lama dipinggarkan juga tidak putus menunggu air mata untukNya. Ketagih berbicara dengan hambaNya dengan taubat dan penyesalan yang mendalam.

Hakikatnya, kata-kata penulis tidaklah sehebat mana jika dibandingkan ayat-ayat cinta dari langit. Tentu sahaja semangatnya tidak konsisten dan tidak begitu mendamaikan hati yang sedang lara dan keliru. Pujuklah diri, renungkan dalam-dalam dan ajarlah hati untuk menjiwai setiap bait kata-kata Allah ini.

Firman Allah SWT : "Sesungguhnya beruntung orang-orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang MENJAUHKAN DIRI dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna, dan orang yang menunaikan zakat, dan orang yang MEMELIHARA KEMALUANNYA kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Tetapi sesiapa yang DICARI BALIK itu (zina dan sebagainya) maka mereka itulah orang-orang yang MELAMPUI BATAS. Dan (sungguh beruntung) orang yang memelihara amanat-amanat dan janjinya, serta orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi (yakni) yang akan mewarisi (SYURGA) FIRDAUS. Mereka KEKAL didalamnya." (Surah al-Mukminun ayat 1-11)

Bukankah itu lebih mengghairahkan?

READ MORE

"PINJAMKAN AKU TELINGAMU BOLEH?"


Dalam keseronokan hidup ini, cuba sebentar kita tengok dan perhati diri kita. Membelek setiap organ deria yang terpahat kukuh di badan. Kenapa ya Allah ciptakan 2 telinga 1 mulut, bukan sebaliknya? Banyak orang pandai berbicara, banyak buah mulutnya, tetapi tak ahli mendengarkan.

"Seorang pendengar yang baik, lebih cepat mencapai kebijakan hidup daripada yang terlalu sibuk berbicara. Dan satu lagi, mendengar adalah pemberian yang memuliakan sesiapa pun. Kerana, sebab utama daripada kekecewaan banyak jiwa, adalah rasa kurang bernilai apatah lagi pendapat dan perasaannya tidak didengarkan. Tidak dipedulikan."

Maka, hadiahkanlah telinga kita kepada mereka yang kita cintai dan yang kebahagiaannya penting bagi kita.
Jadilah pembahagia sesama kita.

Dengarkanlah.

Mendengarkan adalah kesediaan hati yang baik. Lambang kemuliaan dan keikhlasan hati seseorang yang suka menghargai. Betapa kasihnya dia, orang lain juga kasih padanya.

Jika kita adalah sahabat kepada seseorang, jadilah sahabat yang baik, apabila ada masalah kitalah orang pertama yang dicari. Walaupun hanya mendengar, itu sudah mampu melegakan hati sahabat yang sedang gundah gelana. Indahnya bersahabat kerana Allah, susah senang dikongsi bersama.

Jika kita ingin menjadi makmum kepada seorang imam. Jadilah sayap kiri kepada seorang khalifah. Menjadi pendengar setia kepada seorang daie. Tulang belakang kepada seorang adam. Memadailah dengan hanya mendengar, bagai secangkir cinta buat penghilang dahaga. Sebuah ikatan kasih buat pengikat, sekuntum sayang buat azimat perangsang diri. Tidak perlu apa-apa lagi.

Jika kita mahu menjadi dai'e yang mampu menggerakkan agama. Sebelum dai'e mahu mad'u mendengar, dai'e perlu lebih dahulu mendengar. Mendengar tanpa menghukum melulu. Penyebab dakwah didengar dan mendengar bukan logiknya ucapan, ianya kerana kesungguhan yang mendalam para dai'e untuk mendengar.


Kitalah yang melagukan lirik-lirik dakwah kepada telinga-telinga pendengar,
Kitalah yang melukis dakwah pada kanvas-kanvas hati manusia yang kosong,
Kitalah yang meneriakkan laungan-laungan dakwah di setiap tempat yang dihuni manusia.









GOOD LISTENER

Untuk menjadi seorang “good listener” atau pendengar yang baik, seseorang perlu melatih diri untuk merenung kata-kata orang lain. Bukan setakat dengar, tetapi renung!

Antara latihan yang paling mujarab adalah dengan merenung ayat-ayat Al-Quran. Firman Allah di dalam surah Yunus ayat 24, “Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya) .”

Al-Quran hanya mengandungi 6,666 ayat, tetapi mengandungi petunjuk seluruh sistem kehidupan manusia dan alam. Tidakkah kita berasa pelik apabila Kamus Dewan lebih tebal dari kitab Allah?

Ini adalah kerana Al-Quran memuatkan banyak ayat untuk manusia berfikir. Its compact yet complete. Dengan berpandukan hadith-hadith nabi, ayat-ayat yang pendek dan padat dapat dihuraikan menjadi sesuatu yang besar, seterusnya menjadi penyelesaian kepada seribu satu macam masalah manusia dan alam.

Sudah tentu, proses merenung Al-Quran perlu dilakukan dengan kaedah yang betul dan berpandukan sumber yang betul. Ia boleh dimulakan dengan membeli sebuah terjemahan bernilai tidak lebih dari RM20.00 di pasaran. Jika bertemu sesuatu yang tidak difahami, rujukkan perlu dilakukan segera.

Kajian juga perlu dilakukan sedikit demi sedikit. Ia bukan novel cinta yang perlu dihabiskan dalam masa satu malam. Ingat, kita sedang melatih minda untuk berfikir. Memadai dengan beberapa ayat setiap hari untuk difikir dan direnung. Itulah proses mendengar yang efektif. 

Banyak waktu dan tempat kita luangkan hanya untuk mendengar sebuah petuah tetapi kadangkala kita juga ingin didengar akan sebuah perasaan, kerana mendengar dan ingin didengar satu sikap yang memang kita harus jaga bersama kesuciannya

Banyak peribadi yang baik dan bjaksana berkembang kerana ia didengarkan dan mendengarkan. Hidup itu timbal balik, ada stimulus ada respon. Namun lebih daripada itu, bagaimana kita mampu berbuat lebih untuk membahagiakan sesama kita, salah satunya adalah mendengarkan. Cubalah, maka kita akan mengerti.

"what a wonderful life..."

Percayalah, seseorang yang memelihara hatinya, dakwahnya akan menyusup halus ke dalam hati para pendengarnya. Meski hati pendengarnya keras, pasti akan bergetar, terkesan, tersentak dan tersentap! 

Seandainya kedua-dua hati keras (dai'e dan pendengar), maka apa yang membezakan antara dai'e dan pendengar itu hanyalah daie itu petah berpidato, mempunyai kelebihan dalam berucap dibandingkan dengan pendengar yang hanya mendengar.


"Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang TIADA DISANGKA-SANGKA." (Ath-Thalaq : 2-3)

READ MORE

SOLATLAH WALAU TERPAKSA!


Liatnya kita untuk solat berjemaah di surau. Bangun pagi pun lepas azan suboh. Bila bulan Ramadhan semangat betul kita bangun awal, bersahur, solat sunat tahajjud dan ibadah yang lainnya. Namun kini, atas nama kesibukan kita pun larut dengan raja kemalasan.

Lalu tepi surau, pandang sebelah mata sahaja.

Usahlah persoalkan bilangan si hawa yang solat di surau, mari kita kira dahulu berapa batang tubuh kaum adam yang sanggup bermujahadah mendisplinkan diri solat di surau? Konsisten dalam jejak-jejak menuruti panggilan azan di surau?

Mereka ini bagai jejaka idaman yang paling termahal di abad ini. Susah nak jumpa orang macam ini lagi. Bagai terpupus ditelan dek duniawi. Bukan sahaja disukai ramai, malah Allah lebih suka dahulu kepada mereka.

Sabda Nabi SAW : "Solat bersama orang lain lebih baik daripada solat sendirian. Solat bersama dua orang lebih baik daripada solat bersama seorang. Semakin banyak (yang solat) semakin disukai Allah Azza wa Jalla. [Sunan Abu Daud: 467., Sunan an-Nasai: 834, Musnad Ahmad: 20312, Al-Mustadrak: 3/269 dan Sahih Ibn Khuzaimah:1477]

Kita akui, waktu kelas dan kuliah kita, tidak mengizinkan diri hadir di rumah Allah. Kita akui, setelah lama tidak menjejaki surau, kita agak segan nak pergi rumah Allah itu. Kita akui, hati sudah tawar, tidak cinta, tidak teruja untuk mencari ketenangan di rumahNya. Kita lebih suka solat di bilik sendirian. Memencilkan diri tanpa ghairah untuk mengejar pahala 27 kali ganda.

Sabda Rasulullah SAW "Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tapi tahukah kita?

Di Palestin, bilamana solat Subuh jemaahnya sama bilangan hadirin yang hadir ke solat Jumaat! Subuh dengan dua kali azan, yang mana azan pertama untuk mengejutkan penduduk sekitar bangun bertahajjud, dan azan kedua untuk memanggil mereka keluar menuju masjid.

Mereka sangat menggiurkan kecintaan kepada Allah mengatasi kecintaan mereka kepada tidur dan mimpi. Tidak seperti kita. Enak dibuai mimpi indah dengan tilam yang empuk. Maka, tidak hairanlah, tiada apa yang dapat menghalang ummat Palestin melainkan kecintaan kepada syahid.

Buat kaum adam! Wahai kaum muslimin!

Terutamanya buat pemimpin negara atau pemimpin keluarga, solatlah berjemaah selagi mana berpeluang melakukannya. Jangan pernah meninggalkannya. Kerana solat berjemaah ini sumber kekuatan ummat Islam, ukhuwah pasti terikat dengan solat berjemaah. Mungkin sesekali kita terasa sebagai beban yang menyusahkan, tapi percayalah suatu hari nanti bila kita sudah tidak berpeluang, maka kita pasti akan rindukannya. Solatlah sebelum kita disolatkan.

Buat ahli harakah! Wahai ahli jemaah!

"Tanda mudah Yahudi boleh dikalahkan apabila terdapat di seluruh dunia umat Islam turun solat Subuh seperti mereka turun solat Jumaat yang seminggu sekali itu. Adakah sepenuhnya umat Islam sudah turun solat Jumaat? Ia dirasakan tidak."

Tanpa menunggu kedatangan Imam Mahadi, Yahudi Israel akan dapat dikecut-perutkan. Kalau Subuh tidak dapat dijadikan seperti Jumaat, satu demi satu bumi Islam menjadi bumi Yahudi atau menjadi orang yang diredai oleh Yahudi!

Usah bermimpi membina bi'ah solehah di kampus. Tak perlu berangan menegakkan daulah islamiyyah di negara ini andai solat berjemaah masih lagi lemah, tidak terjaga. Solat suboh berjemaah kita tidaklah segah apa yang kita ikrarkan. Andaikata kita ini begitu hebat dalam berorganisasi dan pelajaran, malangnya kita tidak melazimi solat jemaah, sebenarnya kita masih lagi tidak hebat. 

Segala yang kita war-warkan dalam kelas mahupun dalam mesyuarat hanya akan mendatangkan beban kepada diri sendiri, tiada izzah yang keluar dari tiap tutur bicara kita. Kerana daripada solat berjemaahlah kita boleh displinkan diri sekaligus membentuk peribadi muslim.

Benar!

Memang tiada nas yang jelas tentang alahnya, takutnya Israel apabila solat Subuh sudah seperti solat Jumaat. Ia bukan satu keyakinan seperti menunggu turunnya Imam Mahadi. Tetapi ia adalah satu semangat dan kepercayaan, Islam dapat dibangunkan bermula dengan menjadikan solat Subuh seperti solat Jumaat!


Ayuh! Mari kita jaga solat berjemaah sedaya upaya. Ingatlah 5 perkara sebelum 5 perkara. Di antara didikan sembahyang, menebalkan rasa kehambaan dan menajamkan rasa bertuhan


Solatlah walau TERPAKSA!
"Sesungguhnya sedikit manusia yang memahami, lebih sedikit manusia yang memahami dan mengamalkan, dan tersangat sedikit manusia yang memahami, mengamalkan dan sampai ke tujuannya. Allah, berilah kami kekuatan untuk itu."

READ MORE

TUHAN, AKU TERLALU BANYAK DOSA!


Pejam celik. Pejam celik. Mata tidak juga bisa tutup. Memerhatikan segenap ruang bilik. Terpana pada jam di dinding. Sepantas jarum saat akhirnya pasti berhenti. Tatkala itu manusia pasti akan toleh ke belakang. Memikirkan tiap detik yang berlalu. Muhasabah.

Dalam suka duka, mengenang dosa-dosa semalam. Hadir rasa kesal dan kesedihan mula melanda diri. Bila rasa bersalah hadir, rasa kehambaan juga turut hadir. Mencari Tuhan, mengingati Tuhan, menyebut-nyebut namaNya. Menghadirkan rasa bertuhan agar menyentap sanubari.

"Ya Allah......hambaMu ini rasa berdosa. Terlalu. Terlalu banyak dosa."

Maka berderailah air mata. Tidak tertahan-tahan lagi. Pada tangisan ia kembali kepada fitrah insani, mencari Tuhan tatkala rasa bersalah. Terlukis kerinduan hadir dari hati yang dihimpit perasaan ingin dibelai Tuhan.

Oh Tuhan...

Aku manusia biasa. Aku bukan malaikat. Manusia itu sering lupa dan leka. Gembira dengan kesenangan, sedih dengan kesusahan. Kiranya aku fikirkan aku sudah cukup bahagia. Tapi adakah aku tenang? Hari-hariku bukan lagi mentaddabur bacaan Al-quran. Solatku kini bukan lagi khusyuk. Hatiku tidak lagi dijamu dengan roh usrah, tazkirah dan ceramah setiap hari. Aku lalai di sini.

Di sini. Di celah kesibukan.

Tapi aku bukan manusia jahat. Tidak pernah sesekali kuteguk minuman syaitan. Tidak pernah ku menjejakkan kakiku ke tempat maksiat. Aku tidak menyentuh yang bukan halal untukku. Aku hanya manusia biasa. Aku menunaikan sembahyang. Aku berpuasa di bulan Ramadan. Aku manusia biasa!

Tapi, kurasakan kini ibadahku seakan-akan tiada roh.
Tiada rasa haya' kepadaMu! Tiada rasa takut kepadaMu!
Di manakah semangat itu menghilang?
Di manakah air mata yang sering mengiringi bacaan doa?

Hatiku tidak dapat merasai kenikmatan doa. Aku jadi takut. Pelbagai perkara bermain di fikiranku. "Ya Allah gelapnya hati hambaMu ini!". Hati meronta-ronta, lepaskanlah aku! Lepaskan aku daripada perasaan ini. Diri seakan-akan terasa sangat jauh daripadaMu.

"Hati manusia ibarat besi. Setiap dosa yang dilakukan akan melekatlah karat padanya. Tapi karat itu boleh di cuci dengan solat dan doa. Namun lama kelamaan jika karat itu tidak dibersihkan, akan semakin besarlah ia, dan semakin sukarlah untuk dibersihkan . Maka semakin hitam dan gelaplah hati kita. Ketika ini setiap dosa yang dilakukan tiada lagi dirasakan dosa bagi dirinya".

Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah.

"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang". (al-Ra'd 13:28)

Ku ulang-ulang. Ku panggil-panggil namaMu. Ku sebut-sebut namaMu. Kembalikanlah aku semula. Usah Kau palingkan aku setelah Kau beri hidayah petunjukMu. Aku ini lemah Ya Allah. Kau peganglah hatiku, tautkanlah hatiku di jalan ini. Aku ingin tenang dalam mencari keredhaanMu di setiap perjalanan hidup ini.

Allah.....

Aku tersedar. Aku tersentap. Kenapa aku mahu jadi orang biasa-biasa? Kenapa tidak ingin menjadi yang lebih baik? Tidak berbuat dosa tidak bermakna aku sempurna. Tidak minum arak tidak bermakna aku terlepas dari melakukan dosa-dosa kecil. Sembahyang 5 waktu tidak bermakna aku sempurna.

Bagaimana dengan dosa-dosa kecil? Aku lalai. Aku lalai! Aku lalai Ya Allah! Terima kasih ya Allah kerana menyedarkan aku. Terima kasih atas hidayah-Mu. Ku panjatkan segala doa kepadaMu.

"Zikir itu, penghias hati, tasbih menghias lidah. Beruntungnya hati bila masa menguasai, bermegahlah  lidah, dengan ucapan sering memuji Allah SWT"

"Wahai Tuhan yang Maha Mendengar, kepada siapa hamba mahu mengadu, sekiranya bukan kepadaMu? Kepada siapa lagi hendak hamba menagih simpati, jika tidak kepadaMu? Kepada siapa untuk hamba pinta kekuatan,  ketika seluruh daya seperti dicabut daripada tubuhku?

Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui. Tegarkanlah, pasakkan jiwa ini untuk berada pada jalanMu untuk selamanya. Jangan sekali-kali Kau biar diri ini tandus dimamah kefuturan. Menjauh dariMu, meminggir dariMu dan melupakanMu. Kuatkan hati ini wahai Tuhan. Kerana tiada siapa tahu kehidupan hambaMu ini nanti akhirnya melainkan hanya Engkau. Amin ya Rabb...."

READ MORE

DAKWAH BUKAN HOBI




Adik : Kak, dakwah tu wajib ke?
Kakak : Ye dik. Dakwah tu wajib bagi semua umat islam. Seperti hadis Nabi SAW "sampaikanlah dariku walau 1 ayat". Adik seronok tak jadi umat Islam?

Adik : Mestilah seronok kak. Saya seronok sangat dapat berpuasa di bulan Ramadhan, beraya di bulan Aidilfitri, seronok dengar nasyid, fesyen busana muslimah pun cantik-cantik malah orang-orang islam banyak yang baik hati. Hehe...
Kakak : Kalau mahu seronok, kenalah berkorban untuk Islam dik.  Komited dalam pengorbanan. Tak bolehlah seronok untuk dapatkan kepuasan nafsu kita sahaja, tapi dakwah ala kadar. Macam sikap orang Melayu "senang aku buat, susah aku tinggalkan". Menyembah Allah janganlah hanya di tepi. 


“Dan di antara manusia ada yang menyembah Allah hanya di tepi, maka jika dia memperoleh kebaikan (kesenangan dunia) dia merasa puas, dan jika dia ditimpa suatu cobaan (musibah) dia berbalik ke belakang (murtad). Dia rugi di dunia dan di akherat. Itulah kerugian yang nyata.” [QS. al-Hajj: 11]


Adik : Tapi kan kak, kite kan bz. Macam-macam benda nak kena buat.
Kakak : Emm...kita kena bezakan ikut prioritilah dik. Mana satu yang lebih utama?

Adik : Antara study dengan dakwah ke? Hari tu, adik ada dengar 1 pengisian, study no 1 tapi dakwah bukan no 2. Kak, boleh tak kita buat kerja dakwah bila free je?
Kakak : Ha...cuba adik fikirkan dakwah ni amanah, tanggungjawab, minat atau hobi?

Adik : Tentulah amanah kak. Tanggungjawab bagi setiap muslim yang telah mengucap syahadah.
Kakak : Tanggungjawab bukanlah penghalang untuk meminati sesuatu mahu pun mengembang minat. Minat seharusnya ditambah seiring dengan hobi. Walaupun hobi itu jarang sekali dilaksana. 


Dakwah juga bukanlah penghalang untuk teruskan hobi yang sudah sebati dalam diri kita. Hobi dan minat mungkin sebenarnya satu wasilah untuk dakwah. Apa hobi adik ye?


Adik : Err...adik suka menulis blog kak, kadang-kadang suka edit video. Tapi suka-suka je kak.
Kakak : Baguslah begitu. Tak salah bukan kalau kita gunakan hobi untuk berdakwah pula. Lagipun kita sedang berada dalam generasi Y dan Z, iaitu generasi celik internet. Jadi, dakwah kita pun kenalah lebih inovatif dan kreatif.

Adik : Owhhh....baru saya faham kak. Minat saya sebenarnya ada tiga. Tiga bidang yang cukup berbeza dalam tiga dunia yang berbeza. Perubatan, agama dan sains komputer. Antara logik, wahyu dan kreatif. Sebenarnya, agak sukar sekali nak menemukan tiga dunia ini. Tapi alhamdulillah bagi saya, ia satu kelebihan. Saya dapat kaitkan dan hubungjalinkan "mereka" bertiga di kotak minda saya yang satu.

Kakak : Allahuakhbar! Hebatnya adik! Dakwah kita ini dakwah hati. Untuk berdakwah, sememangnya kita harus memenangi hati manusia, selagi mana ia tidak berkompromi dengan prinsip Islam yang kita imani. Kalau kita gunakan medium-medium Barat mahu pun menciplak teknologi Yahudi untuk memperluaskan agenda islamisasi, itu adalah satu kemestian.


Sungguh, tidak ada dakwah tanpa kasih-sayang. Kalau kita tidak dapat mengasihi manusia itu, kita tidak akan mampu mendakwahnya membawanya kepada Allah. Hinggakan, kerana kasih-sayang ini, kita tidak akan fikir dua kali pun untuk mengorbankan duit kita, tenaga dan masa, demi membawanya kepada Allah Taala. Apa saja. Mintalah masa ini untuk ummah. 


Dakwah itu satu kewajipan bagi setiap insan muslim yang mengaku bersaksi dengan kalimah suci Laailahaillallah Muhammadurrasulullah.
'
"Kenapa perlu berdakwah? Bukankah kita ini Khalifah? Manusia ini tak sempurna, ada sahaja kesilapan yang sengaja dibuat ataupun betul-betul terbuat. Namun, itu bukanlah alasan untuk tidak terus berdakwah. Manusia bebas menggunakan apa sahaja wasilah yang ada, selagi ia tidak bercanggah dengan syara'."

Dakwah : Antara amanah dan hobi?
Apa pilihan anda?

"Sesungguhnya BAI'AH (sumpah setia) dalam perjuangan bukan sekadar pada LAFAZ yang disaksikan. Bukan hanya tandatangan dan mengisi borang. Namun yang paling penting, bila mana kita berbai'ah, diri kita bukan lagi diri kita yang SEBELUMnya. Diri kita bukan lagi MILIK diri kita SEPENUHnya, tetapi diri kita milik sepenuhnya kepada "PERJUANGAN ISLAM", di mana ada tuntutan Jihad, di situlah kita akan berada dan bekerja hingga ke akhir hayat kita dengan meletakkan sepenuhnya Al-Jihad Fi Sabiluna:"

Komited dalam pengorbanan.

READ MORE

KISAH KAMI : NAIM DAN NA'IMAH



Pagi itu berlalu dengan penuh kesunyian. Seolah-olah meminta para penghuninya bangun malam bertahajjud. Sejadah dicapai melepaskan kerinduan Ramadhan padaNya. Adik-adik dikejutkan bagi memeriahkan lagi pesta kehambaan.

Seusai bersalaman zahir dan batin bersama ahli keluarga, hati luluh. Rasa rindu kepada dia semakin membuak-buak. Perasaan bercampur baur mencelarukan pemikiran waras.

"Kak, adik rindukan abang", si kecil menarik baju sambil mememekkan muka seposen.

Terkelu lidah melihat reaksi si adik yang masih tidak mengenal erti kehidupan alam barzakh. Hati terusik dengan gemersikan rindu, terasa hangat dan luar biasa.

Mengingati wajahmu, merindui sentuhan, suara dan gelak ketawamu....

"Sesungguhnya Ya Allah, Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha Agung, serta anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah yang Maha Pengasih diantara semua pengasih."




KHAS UNTUKMU

Ringan kaki melangkah namun berat di hati merenung dalam 2 batu nisan terpacak di atas kubur insan yang sangat disayangi. Insan yang pernah berkelahi dan bergaduh setiap hari. Bermain, belajar, dirotan, dimarah, makan minum dan tidur bersama. Zaman hingusan yang mana dibazirkan dengan kenakalan dan keseronokan bersama si dia. Menjaga adiknya dengan penuh kasih sayang dan memberi contoh tauladan yang baik.

Saat-saat susah senang dia tidak pernah merungut. Pergi balik sekolah memimpin tangan agar keselamatanku terjamin. Kadang-kadang dia membonceng aku dengan basikal buruknya. Duit belanja sekolah yang hanya RM0.50 dan selalunya RM 0.20 diberi padaku supaya aku tidak lapar pada sesi sekolah agama di sebelah petangnya. Apabila dirotan ayah, abang selalu memujuk. Memberi kata-kata rangsangan dan menenangkan jiwa. Melapkan air mata dan menyapukan minyak di tempat luka.

Walaupun aku lebih sikit cerdik dan cerdas daripada abang, namun dialah yang selalu memberi semangat dan galakan. Walaupun aku berpangkat tinggi dalam kepimpinan pengawas, namun dialah pengawas yang paling membanggakan aku. Walaupun aku sering mendapat anugerah di setiap minggu perhimpunan sekolah, namun dialah anugerah terbaik buatku. Walaupun aku dimanjakan ummi ayah, namun dialah yang paling memanjakan aku.

Masih segar di ingatan bagaimana prihatinnya dia menjaga dan melayan karenahku ketika disahkan oleh doktor mengidap jangkitan virus Varicella Zoster.  Seminggu tidak hadir ke sekolah sudah cukup menduga kasih sayangnya terhadap diri ini. Bersungguh dia membantu aku supaya cepat sihat, macam-macam yang dilakukan, walaupun sanggup berlapar demi membeli makanan kegemaranku. Demam campak tersebut akhirnya berjangkit kepada dia pula. Kesian dia.

Pernah juga satu ketika kami bergaduh besar dan itulah yang pertama dan terakhir dalam kehidupan ini. Tamparan kuat melekap di pipi beserta kata-kata pedih mencucuk-cucuk di setiap ruang jiwa. "Kalau kau tak tahu jaga adik, siapa nak jaga lagi? Esok nanti bila aku tiada, siapa yang boleh diharapkan!?"

Menangis....

Benar. Selang beberapa hari, akhirnya dia pergi jua tanpa sebarang kemaafan daripadaku.
Berita kemalangan dilanggar kereta tatkala keluar mencari sesuap nasi dengan menaiki motor pada belah tengaharinya begitu menggores perasaan ini. Hati bagai dikoyak rabak, disiat-siat sehingga hancur luluh. Pilu itu masih bersarang dan disimpan kemas di satu sudut hati ini.

Tamatlah kisah dua beradik yang sangat akrab Naim-Na'imah yang hampir terputus 9 tahun lamanya.





TERUSKAN KEHIDUPAN DEMI ALLAH

Bukanlah bermakna bila sudah tiada insan yang kita sayang, kita hilang arah tuju. Hidup ini demi Allah. Mati kita juga demi Allah. Ibadat kita juga demi Allah. Biar Allah uji kita dengan hilang semua insan yang kita sayang, tapi ketahuilah, Allah sediakan yang lebih baik dari itu semua! Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyayang.

Saat jatuhnya air mata seorang abang, baru aku sedar insan bernama lelaki juga mampu menangis, walaupun tampak garang, walupun tegas mengatasi segalanya. Saat itu dia tertunduk, menyembunyikan air mukanya.

"Abang, usahlah risau, damailah kau di sana. Aku berjanji akan jaga adik-adik dan menggalas amanah abang sebagai anak pertama dengan sabar dan sentiasa mendoakan kesejahteraan dirimu agar abang sentiasa bahagia. Doakan aku juga agar terus kuat di samping menjadi hamba dan anak yang solehah".

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah mengetahui bahawa hati-hati kami telah bersimpuh mencurahkan kecintaan kepadaMu, maka kuatkanlah tautan persaudaraan kami dengan keindahan bertawakkal kepadaMu walaupun jasad kami di dunia yang berlainan. Di mana berakhirnya perjalananku ini, esok atau lusa bukan milikku. Oh Tuhanku, lindungilah hambaMu yang hina ini. Aku hanya berserah padaMu.."

READ MORE

TERTAWAN DENGAN SENYUMANMU :)

Kebanyakan senyum adalah penyakit BERJANGKIT. Apabila kita tersenyum, si  dia pun turut senyum sama.  

"SENYUMLAH! Di samping sedekah, senyum tu juga penawar hati. Tidak kira untuk siapa untuk apa. Jika tidak kepada hati sendiri, kepada hati orang lain. Mendapat senyuman itu tidak rugi malah membahagiakan. "



LIHATLAH LANGIT DAN SENYUMLAH!

Wahai insan, lihatlah langit nan indah, siang atau malam. Dan senyumlah, melihat ajaibnya dan indahnya ciptaan Allah. Pastinya langit sangat indah, siangnya dihiasi awan, senjanya melakar warna jingga yang menawan, malamnya disinari bintang-bintang berkelipan. Subhanallah, ciptaanNya tiada tandingan.


Bukalah lembaran hari baru kita dengan sebuah senyuman! Senyumlah, kita pasti akan berasa lebih segar. Sebaik membuka mata, senyumlah pada yang tersayang. Ya, pada diri kita sendiri! Jika tidak kita mulakan siapa lagi bukan? Tataplah wajah kita sepuasnya di cermin, dan ucaplah puji-pujian kepada Allah serta kata-kata perangsang motivasi kepada diri sendiri.

Pasti kau akan tertawan dengan senyumannya!  

Mungkin hati kita sendiri juga menunggu untuk senyum kepada tuan badan. Bertuah dapat hidup lagi tanpa kesakitan mahu pun kecacatan fizikal. Bukalah tingkap, hiruplah udara segar dan pandanglah pada mentari yang sedang menanti kita. Ukirlah senyuman paling manis di bibir apabila melihat sinaran ciptaanNya yang sungguh indah.



Pastikan hari yang bakal kita tempuhi lebih indah daripada sebelumnya. Kita berkuasa sepenuhnya bagaimana untuk mencorakkan hari kita. Jadi, pilihlah untuk memulakan hari  dengan sedikit gerakan pada bahagian bibir.  Senaman di pipi pasti mengawet mudakan umur yang senja. Yakinlah, sesuatu yang bermula dengan baik akan berakhir dengan lebih baik!

William Shakespere mengatakan : "Apa yang anda kehendaki akan lebih cepat diperolehi dengan SENYUM daripada memotong dengan pedang" 

Ketika berjalan, berkata, ber'chatting', ber'facebook, bekerja, belajar, senyumlah. Ia akan menumbuhkan rasa keriangan dan kegembiraan. Tatkala berhadapan dengan keadaan suka biasakanlah dengan senyuman. Bukankah senyum itu sangat mudah?

Dengan senyuman, semua masalah mampu kita hadapi dengan hati terbuka. Mungkin hari ini kita sedang menghadapi detik-detik sukar dalam hidup. Sekalipun kita tidak mampu mengelak daripada masalah tersebut, kita boleh berjaya berdepan dengannya apabila sentiasa positif. Setelah berusaha bersungguh, hasilnya juga pasti berbaloi. Kita hanya perlu bersabar sahaja menunggu ganjaran itu datang. Ia tetap datang. Cepat atau lambat sahaja. Hidup ini memang begitu! Dan sebenarnya, kehidupan kita pada hari ini hasil daripada perkara pertama yang telah kita lakukan pada hari tersebut.

Sesungguhnya, Allah mendatangkan kepada kita pelangi nan indah selepas hujan sirna kelamnya.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya" (Al-Baqarah:284)
“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Al-Insyirah 5-6)

Mari kita berhijrah dengan mulakan hari-hari kita dengan sebuah senyuman. Hiasilah diari hidup kita dengan senyuman yang paling manis :)

READ MORE

"JADIKANLAH DIA WANITA SYURGA"




Bermula lafaz bismillahirrahmanirrahim, dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, coretan ini khas ditujukan buat tatapan puteriku dan bakal imamnya.

Wahai puteriku,
Saat dirimu masih menjadi asuhan ayah dan ibu, tidak lain doa kami supaya dirimu menjadi anak yang solehah, agar kelak dapat menjadi tabungan dan peneman di alam yang satu. Namun nanti, setelah dirimu bergelar isteri, aku berharap agar dirimu menjadi pendamping yang setia buat si soleh.

Kini, aku merelakan pemergianmu walau rasa berat di hati hanya Allah yang tahu. Sebaknya ayah, tangisnya ibu sebagai tanda kami merestuimu wahai puteri kesayangan.

"Ya Allah..Engkaulah yang telah membukakan pintu hatinya untuk jatuh cinta kepada agamaMu dan insan pilihanmu. Maka kepada Engkau jualah ku harapkan agar hatinya kembali, beri'tiqad membenarkan syahadahmu dalam kehidupannya dan Kau restuilah perhubungannya wahai Tuhan, Pemilik Sinar Kebahagiaan". Subhanallah..

Andai dirimu berjaya menanamkan sifat sabar dan tolak ansur ke dalam sikapmu, maka kukuhkanlah ianya sehingga ke akhir hayatmu. Dengan sifat ini, percayalah bahawa kamu bakal membawa hati dan kehidupan suamimu dalam beroleh kebahagiaan menjadi pemimpin yang terbaik dalam rumahtangga. Sesungguhnya, sabar dan tolak ansur lahir dari hati yang ikhlas dan tiada menyimpan apa jua perasaan yang negatif.

Diriwayatkan dari Jabir berkata,Rasulullah SAW bersabda ; Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia (HR. Thabrani dan Daruquthni)

Bahagialah puteriku, bila mana masalah datang menguji suatu ketika nanti. Cekalkanlah hasrat di hati. Semoga kesusahan bisa mengajar erti kematangan dan ketabahan. Orang-orang yang paling berbahagia tidak selalu memiliki perkara terbaik, mereka hanya berusaha menjadikan yang terbaik dari setiap perkara yang hadir di dalam hidupnya. Bila Allah ada di dalam hatimu, kamu seolah-olah memiliki segala-galanya.

Itulah antara kunci ketenangan dan kebahagiaan dalam perkahwinan wahai puteriku. Bukan sekadar curahan hati seorang ayah, semoga bisa menjadi pemberi semangat dalam rumahtangga dan urusan dakwahmu. 









Wahai bakal imam puteriku,
Adalah aku, wali puteriku. Amanahku kini kuserah padamu. Nafkahilah dia, curah kasih dan cinta lebih dari yang ku berikan kepadanya. Jadilah imam kepada puteriku di dalam mahu pun di luar solat agar cinta yang bersemi tetap utuh dalam redha Ilahi.

"Sesungguhnya wanita itu diciptakan dari rusuk lelaki, bukan dari kepalanya untuk dijunjung, bukan dari kakinya untuk dijadikan pengalas. Tetapi dari sisinya dekat dengan lengannya untuk dilindungi dan dekat dengan hatinya untuk dicintai."

Dulu esakkannya bersandar di bahuku, maka tangisannya kini ku serah padamu. Bukanlah bermakna, dia bukan milikku cuma fitrahnya dia perlukanmu. Belailah dia dengan penuh kesabaran dan didikan rohani yang mencukupi sebagai bekalan di alam perkahwinan dunia dan akhirat insyaAllah.

Daripada Anas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Wanita ini paling mudah masuk syurga dan juga paling senang masuk neraka. Jadikanlah dia wanita syurga, supaya dia mengerti benar akan maharnya. Taat itu bukanlah hanya pada nama, indah ia pada maksudnya.

"Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah menjadi penolong keatas sebagaian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan sembahyang menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (at-Taubah : 71)

Dalam sesebuah keluarga, suami dan isteri adalah ibarat otak kanan dan otak kiri. Jika rosak salah satu, maka rosaklah seluruh anggota badan, maka lumpuhlah keluarga. Kelebihan yang telah Allah kurniakan berbeza-beza antara suami dan isteri perlu dimanfaatkan sebaiknya demi kelangsungan perhubungan.

Ada sesuatu pada suami yang tidak ada pada isteri, dan ada juga sesuatu pada isteri yang tidak ada pada suami. Sebab itulah Allah jadikan kita semua unik. Tutup segala kekurangan sebelah pihak dengan kelebihan sebelah pihak yang lain. Apabila masing-masing berlapang dada dan saling menerima, barulah Allah berkati keluarga kita.

Moga kamu mengerti benar maksudku, pikullah amanah Allah ini sebaiknya. Apa yang kuharapkan darimu hanyalah kesolehanmu kerana, apabila kecantikan yang diharapkan, hanya kesia-sian yang akan diperolehi. Jika dakwah menjadi pilihan, maka izinkanlah. Semoga keindahan syurga itu milik pencinta sejati. Selamat bercinta hingga ke syurga wahai anak-anakku!



READ MORE

MASIHKAH ADA HARI ESOK UNTUKKU?



Detik demi detik berlalu, usia semakin menjangkau ke 24 tahun, namun hamba masih begini. Hijrah dan anjakan paragdima bagai fantasi di dunia realiti. Tuhan hamba tahu diri terlalu banyak dosa. Semalam hamba merintih padaMu, hari ini hamba masih berdosa sama. Hamba terus lalai dan leka mendambakan dunia. Masihkah ada hari esok untuk hamba berubah wahai Tuhan?

“Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (An-Nahl: 97)

Dosa semalam masih menyengat. Meninggalkan sisa baki penyesalan untuk mencuri perhatian Tuhan bukan makhluk penciptaannya. Berbuat dosa kepada manusia tidak sama berbuat dosa kepada Tuhan. Berharap kepada manusia tidak sama berharap kepada Tuhan.

Manusia itu, seberapa hebat pun di mata kita, jangan pernah berharap kepadanya. Kerna, sehebat mana pun, yang namanya makhluk, tidak akan pernah memberikan pertolongan kepada kita tanpa izin Allah SWT. Dan pada dasarnya, semua mahluk sama dengan kita, iaitu selalu berhajat memohon bantuan kepada Allah. Ketahuilah bahawa makhluk itu sangat lemah dan tidak memiliki daya serta kekuatan apapun selain dari yang diberikan oleh Allah, dan makhluk hanyalah jalan pertolongan Allah untuk kita.




Bila mana kita telah benar-benar hanya bergantung kepada Allah, kita akan menyedari bahawa Allah SWTlah yang lebih berkuasa daripada segala mahluk yang berkuasa. Kekuasaan Allah meliputi kekuasaan orang-orang yang berkuasa. Allahlah yang menggenggam jiwa-jiwa orang yang berkuasa. Allahlah yang menggenggam nasib dan takdir kita.

Jadi setelah kita menyedari dan menerapkan seteguh keyakinan di dalam hidup kita, percayalah! Allah SWT akan memberikan pertolongan dan perlindungan pada kita. Kekuatan Allahlah yang akan menolong kita, yang akan mengampunkan segala dosa kita, kerana Allah Maha Mengetahui, Maha Pengampun dan Maha Kuasa atas segala sesuatu. Hidup kita, pekerjaan kita, lingkungan di sekitar kita, semua berada dalam pantauan Allah, dan Allah tidak akan pernah mensia-siakan keyakinan hambaNya yang besandar padaNya.




BERKATI USIA INI WAHAI TUHAN

"Kau ada duit banyak mana pun, kau tak boleh bayar Allah untuk panjangkan umur kau."


Kejadian apa pun yang engkau temui, sungguh pena telah mengering, qadha telah ditetapkan, qadar telah selesai diputuskan, segala ketetapan telah selesai ditulis, pena telah diangkat dan lembaran telah mengering. Mati tidak mengenal masa, pangkat, nama, harta darjah kesolehan.

Manusia yang tidak takut mati adalah manusia yang sentiasa takut dengan Allah. Disebabkan ketakutannya kepada Allah itulah membuahkan keberanian yang sejati untuk menempuh alam yang lain demi bertemu dengan Penciptanya. Dalam riwayat menceritakan bahawa Allah berfirman dalam Hadith Qudsi :

"Aku tidak menghimpunkan dua ketakutan kepada seorang hambaKu, dan Aku tidak memberi dua kelapangan fikiran kepada seorang hamba. Sekiranya seorang itu tidak takut kepadaku di dunia ini, maka Aku akan membuat dia takut di akhirat nanti, Sekiranya di dunia ini dia sentiasa takut kepadaKu, maka Aku akan menyelamatkannya dari segala ketakutan”

Kiranya wasilah umur ini dapat mendekati Allah, pasti pertemuan yang Maha Agong menjadi igauan. Allah SWT menyedarkan kita hakikat kemanusiaan tidak lari daripada kerisauan tentang ajalnya. Umur yang diberi pinjaman sedang menanti detik waktu untuk ditarik semula pada bila-bila masa dan di mana jua.

Maksimumkanlah faedah umur kita dan tolonglah orang lain untuk manfaatkan masa dalam menyambung misi dakwah Rasulullah SAW. Hadkanlah masa penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan. Bijaksanakanlah penggunaan waktu! Bersegeralah! Kerana sabda Nabi SAW bermaksud : "Bertindak segeralah melakukan amal" (diulang 7 kali)

“Wahai Tuhanku, jika Kau jadikan umur ini sebagai ujian dan masa sebagai dugaan, dan Kau uji kami dengan perasaan yang terpendam dalam diam yang tak bertepian. Ketahuilah Tuhanku, separuh dari ujian sudah kami lalui dengan lelah sekali. Saat Kau tuliskan takdir yang menyakitkan, Kau selimuti hati kami dengan harapan agar esok kami bangkit dan teruskan kehidupan. Dan ternyata sehingga sampai waktu ini, tidak pernah ada ragu untuk berpaling dari doa-doa semalam. Moga Kau berkati umur dan segala amalan kami. "

READ MORE

MOTIVASI : JOM JADI HEBAT!!


Walau pelbagai kepayahan dan kegagalan ditempuhi, gagahlah! Ikhlaskan diri walau ianya amat sukar. Perhalusi setiap geraklaku, kata-kata dan apa yang terlintas di fikiran kerana dari situlah bermulalah sikap dan peribadi diri.

Pastikan apa yang diucap sama dengan apa yang di hati, jauhi diri dari bersikap sombong, tidak berpuas hati dan putus asa secara berpanjangan. Berserahlah diri kepada Allah kerana Dialah yang Maha Mengetahui segala isi hati kita dan perkara yang paling terbaik buat diri hamba-hambaNya.



Gagal lagi, gagal lagi, dan gagal lagi!
Telah mencuba, tetapi masih gagal!
Telah bersabar, berusaha dan tidak jemu berdoa namun kegagalan demi kegagalan yang ditemui.

Keadaan seperti ini diibaratkan seperti sesorang yang sedang mencari suatu tempat tetapi tidak mengetahui sampai mana harus dituju.

Natijahnya? 
Putus asa, noktah!

Putus asa akan menghampiri kita saat menempuh perjalanan yang panjang atau mendapat kegagalan dari perjalanan yang kita tempuh.

Bagaimana agar kita tidak putus asa?
Anda pernah marathon?

Mari kita ibaratkan perjalanan panjang seperti lari marathon.
Apa kita rasakan pada saat kita sedang berlari dalam jarak yang jauh ialah keinginan segera berhenti, minum, dan beristirehat.

Lalu mengapa tidak berhenti?
Jika anda berlari atas inisiatif sendiri, kemungkinan untuk anda berhenti akan lebih tinggi berbanding seorang atlet yang sedang berlumba.

Mengapa?

Kerana imbuhan yang akan diperoleh lebih menarik dan lebih jelas. Kalau dia tidak sampai, bukan hanya tidak mendapat juara, tetapi juga malu. Jadi agar anda tidak putus asa, maka anda harus memiliki tujuan yang sangat mengghairahkan, bersemangat dan jelas!

Mungkin saja, saat kita berlari, kita tidak ingin untuk berhenti. Tetapi akhirnya berhenti juga kerana kita lelah. Dengan kata lain energi kita sudah berkurangan. Seorang atlet tidak akan mudah lelah kerana dia memiliki energi yang cukup energetik.

Energi yang tentu saja diperolehi daripada latihan yang maksima dan makanan yang berzat tinggi. Begitu juga jika kita tidak ingin cepat putus asa maka kita harus memiliki energi yang cukup. Baik energi dalam erti sebenarnya, mahupun energi dalam erti motivasi diri.

Sentiasalah motivasi diri anda dan mulakan hari dengan sebuah senyuman untuk diri sendiri.
Katakan pada diri "aku hebattttttttt!!!!!!!!"
Jangan pernah sia-siakan peluang yang telah Allah beri untuk terus berusaha dan buat yang terbaikkkk!!

Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang telah bertindak melampaui batas terhadap diri mereka sendiri. Janganlah kamu berputus harapan dari rahmat Allah . Sesungguhnya Allah bersedia mengampunkan semua dosa. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun dan Maha Pengasih.”
(az-Zumar : 53)

READ MORE

HADIRNYA HIDAYAHMU

Cubalah renungkan seandainya otak tersebut tidak memperolehi oksigen secukupnya, akibatnya akan sel otak mati. Kemampuan otak akan menurun, daya fikir menjadi lemah. Begitu pula daya ingatan menurun drastik dan kita menjadi cepat lupa. Akhirnya urat saraf menjadi rosak dan mati!

Tiada kata yang dapat dibicarakan. Melainkan hati dan perasaan yang merasa. Kuasa Allah SWT tiada siapa yang menduga. Hadirnya hidayah pengubat jiwa yang bergelora. Kerana hidayah itu milik Allah dan Dia lah yang memegang hati setiap kita.

Sungguh, tatkala manusia tersujud, baru dia tahu langit itu tinggi atau rendah. Baru dia kenal siapa pencipta siapa hamba abdi. Kisahnya sudah menjadi realiti, "Keajaiban sujud – Islamnya Dr. Fidelma". Beliau bukannya calang-calang orang, seorang pakar saraf (neurologist) di Amerika yang banyak membuat kajian mengenai sains di dalam Al-quran. Setiap pertanyaan dari segi logik akal pasti ada jawapannya di dalam Al Quran dan hadis.

Allah SWT tidak mensyariatkan sesuatu tanpa kebaikan dan manfaat kepada hambaNya, sebagaimana Dia tidak menciptakan sesuatu dengan main-main dan dengan cara yang batil. Firman Allah, "... (Iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksaan api neraka." - (Ali-Imran: 191)



1. BAWA DARAH KE OTAK, BAGAIMANA?

Timbulnya penyakit pada umumnya disebabkan kerana peredaran darah yang tidak lancar. Pembuluh darah yang menyempit adalah salah satu penyebabnya. Olahraga dan sukan adalah salah satu jalan untuk meningkatkan kerja jantung yang optimal.

Sebab apa?

Jantung akan mengepam darah dengan kuat sehingga oksigen boleh disalurkan keseluruh bahagian tubuh. Aliran darah dapat diibaratkan sebagai aliran sungai. Jika sungai tersebut mengalir dengan lancar, maka air itu pun akan bersih, bening, tidak kotor dan bau.


Air yang kotor dan bau merupakan tanda-tanda rendahnya kandungan oksigen didalamnya. Ikan pun susah untuk hidup dengan normal, bahkan lebih banyak mati. Berbeza pula dengan air yang mengalir, banyak kehidupan di dalamnya.

Pelbagai ikan dan haiwan akan tumbuh dan berkembang dengan baik. Termasuk juga tumbuh-tumbuhan akan hidup dengan menghijau dan subur. Begitulah dengan darah yang mengalir lancar, akan memberikan kehidupan yang baik bagi tubuh manusia. Sel-sel badan akan berkembang, dan sel yang mati akan segera dibuang bersama dengan pengaliran darah.

Itulah salah satu manfaat peredaran darah.
Tetapi tahukah anda bahwa ada bahagian saraf yang berada dalam otak tidak boleh dialiri oleh darah?!

Kecuali?
Dalam keadaan sujud atau solat.

Kenapa? Bagaimana?

Posisi jantung yang letaknya berada di kiri dada tidak cukup kuat mengepam darah untuk sampai keseluruh bahagian otak. Otak berada di atas sedangkan jantung berada di bawah. (Bagi saya ini bertepatan dalam logik fizik dalam hukum graviti)

Posisi sujud yang menempatkan kepala berada di bawah dan jantung berada di atas, membuat darah mengalir dengan deras keseluruh bahagian otak. Seperti kereta yang bergerak pada jalan yang menurun, akan melaju dengan cepat walaupun minyak tidak diperah.






ALLAHUAKHBAR! HEBATNYA SUJUD!

Begitu pula dengan darah.

Mengalir cepat dengan membawa oksigen yang diperlukan oleh seluruh bahagian tubuh manusia. Inilah salah satu manfaat sujud!

Ternyata Allah memerintahkan solat bukan hanya sekadar beribadah semata, melainkan untuk kemaslahatan hidup manusia itu sendiri.

Menurut Prof Hembing, jantung hanya mampu mengepam darah sebanyak 20% kebahagian otak, sedangkan 80% lainnaya hanya dapat dilakukan pada waktu sujud atau solat.

Dengan demikian sewajibnya kita bersyukur kepada Allah SWT, kerana diperintahkan untuk solat. Bukan sebaliknya, bermalasan untuk solat, bahkan sebahagian kaum muslimin ada meninggalkannya sama sekali.

Cubalah renungkan seandainya otak tersebut tidak memperolehi oksigen secukupnya, akibatnya akan mati. Kemampuan otak akan menurun, daya fikir menjadi lemah. Begitu pula daya ingatan menurun drastik dan kita menjadi cepat lupa. Akhirnya urat saraf menjadi rosak dan mati!








ISLAM BUKAN HANYA IBADAH SEMATA

Seperti yang telah disebutkan sebelumnya, bahawa ada sebahagian saraf yang berada di dalam otak tidak pernah dialiri oleh darah yang membawa oksigen kecuali saat orang tersebut dalam posisi sujud. Hal ini sama dengan hasil penelitian Dr. Fidelma, seorang pakar saraf dari Amerika yang beragama Kristian!

Doktor tersebut sangat kagum terhadap hasil penyelidikannya. Aliran darah hanya dapat tersebar keseluruh bahagian otak hanya dalam keadaan sujud. Penyelidikan tersebut akhirnya membuka hatinya untuk mendapat hidayah, iaitu mengakui ketinggian dan kebenaran ajaran Islam. Penyelidikan tersebut mempengaruhinya untuk berhijrah ke agama Islam!

Inilah salah satu bukti kebesaran dan keagungan Allah melalui ajaran Islam yang mulia!

Seluruh ajaran atau syariat Allah selain dilakukan sebagai bentuk ibadah, ia juga merupakan berkat dan rahmat untuk kemaslahatan hidup manusia. Solat yang diperintahkan merupakan anugerah yang amat besar yang harus disyukuri, bukan ditolak dengan meninggalkanya!

Sesungguhnya, solat menjadikan seseorang menjadi sihat dan segar. Solat menjadikan otak manusia menjadi luar biasa, cerdas dan kuat. Orang meninggalkan solat bererti telah merosakkan fizikalnya sendiri. Orang yang meninggalkan solat bererti telah menzalimi diri sendiri.

Kerana apa?

Kerana akan menyebabkan kerosakan dengan tanda-tanda seperti cepat pusing, sakit kepala, cepat marah dan timbulnya stress. Semoga kita dijadikan sebagai hamba Allah yang mendirikan solat dengan sabar dan syukur. InsyaAllah.

Wahai Tuhan ku...

"Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan itu (apabila) aku disuruh dan aku adalah tergolong dari golongan Islam"


READ MORE

THE MOST POPULAR POST