TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

SINDROM "HANDSET MAHAL KREDIT TAKDE"


Di zaman mabuk teknologi maklumat dan komunikasi ini, kadang-kadang kita pening melihat betapa taksubnya pengguna teknologi ini khususnya remaja terhadap telefon bimbit.

Diibaratkan sebilah pisau, kalau kita menggunakan pisau itu dengan waras dan wajar, ia pasti akan banyak membantu. Sebaliknya kalau kita gagal mengawalnya, ia boleh mencederakan malah mampu membunuh!

Namun apa yang menarik perhatian ialah telefon bimbit selalu dikaitkan dengan kredit. Bagi pemilik tegar, mereka akan menggunakan telefon bimbit ini tanpa mengira sama ada perlu atau tidak. Sama ada penting atau tidak.

Mereka terlalu teruja dengan SMS, MMS, 3G, 3GS, muat turun lagu, video, undian program realiti dan bermacam permainan yang dipromosi. Biasanya, penggunaan yang tidak berfaedahlah yang banyak mengikis kredit, disebabkan kemudahannya pelbagai dan kadarnya mahal. Jadi, ia perlu ditop up selalu bagi mengelakkannya diganggu sindrom "handset mahal kredit takde". 

Baik, apa kaitannya dengan sunnah Nabi SAW?

Bayangkan kredit telefon bimbit itu sebagai kualiti hidup kita. Dengan kehidupan kita yang tidak tentu haluan, godaan dunia yang menghentam, usaha menuntut ilmu dan amalan pun tak keruan, apa yang kita harapkan dalam melihat graf iman kita? 

Daripada sepuluh markah, ditakuk mana iman kita? Dua? Tiga? Mungkin tidak sampai satu pun.

Di sinilah indahnya sunnah Nabi SAW. Di mana ada sunnah Nabi di situ ada keberkatan. Pahala amalan digandakan menjadi kredit hidup yang semakin malap kualitinya.

Dalam sunnah Nabi SAW ini kita bertemu dengan pelbagai nasihat yang tidak pernah kita jumpa dalam subjek sains acuan barat. Ada sunnah menjilat jari, makan sambil duduk, makan dengan tangan kanan dan bermacam lagi.

Paling mengujakan dan insyaAllah diizinkan Tuhan, kita mendapat syufaat Nabi SAW di akhirat kelak. Kesemua perkara ini dijanjikan pahala dan keberkatan. Bayangkan, amalan wajib kita yang cacamarba dapat diperelokkan dengan amalan sunat dan diangkat ke langit tanpa hijab. Itu adalah motivasi yang tersirat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Apakah perkara-perkara tersebut masih tidak mampu merangsang urat saraf iman kita?

Rebutlah peluang ini.

Esok masih samar. Sama ada kita sempat beramal dengan sunnah Nabi atau tidak. Dengan peluang dipinjam otot-otot yang sihat sekarang, lakukanlah amalan-amalan fardu dan sunat sebanyak-banyaknya, dan seikhlas-ikhlasnya. Jika tidak mampu buat semua, jangan tinggal langsung.

Hinakanlah diri di hadapan Allah dan akuilah segala dosa dan kesilapan kita selama ini. Dan berpesan-pesanlah kita dengan kebenaran dan kesabaran. Di dalam Al-Quran ada mengatakan “berpesan-pesanlah kepada kebaikkan dan berpesan-pesanlah kepada kesabaran”.

Islam tercipta dari seorang hamba Allah yang cintakan penciptanya, cintakan agamanya, cintakan Rasulullah, cintakan kedamaian dan juga cintakan sinar hidayah dari Allah. Sekali ianya dirasakan, semoga ianya berkekalan terus sehingga nyawa berada di hujung halqum.  

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST