TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

SOLATLAH WALAU TERPAKSA!


Liatnya kita untuk solat berjemaah di surau. Bangun pagi pun lepas azan suboh. Bila bulan Ramadhan semangat betul kita bangun awal, bersahur, solat sunat tahajjud dan ibadah yang lainnya. Namun kini, atas nama kesibukan kita pun larut dengan raja kemalasan.

Lalu tepi surau, pandang sebelah mata sahaja.

Usahlah persoalkan bilangan si hawa yang solat di surau, mari kita kira dahulu berapa batang tubuh kaum adam yang sanggup bermujahadah mendisplinkan diri solat di surau? Konsisten dalam jejak-jejak menuruti panggilan azan di surau?

Mereka ini bagai jejaka idaman yang paling termahal di abad ini. Susah nak jumpa orang macam ini lagi. Bagai terpupus ditelan dek duniawi. Bukan sahaja disukai ramai, malah Allah lebih suka dahulu kepada mereka.

Sabda Nabi SAW : "Solat bersama orang lain lebih baik daripada solat sendirian. Solat bersama dua orang lebih baik daripada solat bersama seorang. Semakin banyak (yang solat) semakin disukai Allah Azza wa Jalla. [Sunan Abu Daud: 467., Sunan an-Nasai: 834, Musnad Ahmad: 20312, Al-Mustadrak: 3/269 dan Sahih Ibn Khuzaimah:1477]

Kita akui, waktu kelas dan kuliah kita, tidak mengizinkan diri hadir di rumah Allah. Kita akui, setelah lama tidak menjejaki surau, kita agak segan nak pergi rumah Allah itu. Kita akui, hati sudah tawar, tidak cinta, tidak teruja untuk mencari ketenangan di rumahNya. Kita lebih suka solat di bilik sendirian. Memencilkan diri tanpa ghairah untuk mengejar pahala 27 kali ganda.

Sabda Rasulullah SAW "Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tapi tahukah kita?

Di Palestin, bilamana solat Subuh jemaahnya sama bilangan hadirin yang hadir ke solat Jumaat! Subuh dengan dua kali azan, yang mana azan pertama untuk mengejutkan penduduk sekitar bangun bertahajjud, dan azan kedua untuk memanggil mereka keluar menuju masjid.

Mereka sangat menggiurkan kecintaan kepada Allah mengatasi kecintaan mereka kepada tidur dan mimpi. Tidak seperti kita. Enak dibuai mimpi indah dengan tilam yang empuk. Maka, tidak hairanlah, tiada apa yang dapat menghalang ummat Palestin melainkan kecintaan kepada syahid.

Buat kaum adam! Wahai kaum muslimin!

Terutamanya buat pemimpin negara atau pemimpin keluarga, solatlah berjemaah selagi mana berpeluang melakukannya. Jangan pernah meninggalkannya. Kerana solat berjemaah ini sumber kekuatan ummat Islam, ukhuwah pasti terikat dengan solat berjemaah. Mungkin sesekali kita terasa sebagai beban yang menyusahkan, tapi percayalah suatu hari nanti bila kita sudah tidak berpeluang, maka kita pasti akan rindukannya. Solatlah sebelum kita disolatkan.

Buat ahli harakah! Wahai ahli jemaah!

"Tanda mudah Yahudi boleh dikalahkan apabila terdapat di seluruh dunia umat Islam turun solat Subuh seperti mereka turun solat Jumaat yang seminggu sekali itu. Adakah sepenuhnya umat Islam sudah turun solat Jumaat? Ia dirasakan tidak."

Tanpa menunggu kedatangan Imam Mahadi, Yahudi Israel akan dapat dikecut-perutkan. Kalau Subuh tidak dapat dijadikan seperti Jumaat, satu demi satu bumi Islam menjadi bumi Yahudi atau menjadi orang yang diredai oleh Yahudi!

Usah bermimpi membina bi'ah solehah di kampus. Tak perlu berangan menegakkan daulah islamiyyah di negara ini andai solat berjemaah masih lagi lemah, tidak terjaga. Solat suboh berjemaah kita tidaklah segah apa yang kita ikrarkan. Andaikata kita ini begitu hebat dalam berorganisasi dan pelajaran, malangnya kita tidak melazimi solat jemaah, sebenarnya kita masih lagi tidak hebat. 

Segala yang kita war-warkan dalam kelas mahupun dalam mesyuarat hanya akan mendatangkan beban kepada diri sendiri, tiada izzah yang keluar dari tiap tutur bicara kita. Kerana daripada solat berjemaahlah kita boleh displinkan diri sekaligus membentuk peribadi muslim.

Benar!

Memang tiada nas yang jelas tentang alahnya, takutnya Israel apabila solat Subuh sudah seperti solat Jumaat. Ia bukan satu keyakinan seperti menunggu turunnya Imam Mahadi. Tetapi ia adalah satu semangat dan kepercayaan, Islam dapat dibangunkan bermula dengan menjadikan solat Subuh seperti solat Jumaat!


Ayuh! Mari kita jaga solat berjemaah sedaya upaya. Ingatlah 5 perkara sebelum 5 perkara. Di antara didikan sembahyang, menebalkan rasa kehambaan dan menajamkan rasa bertuhan


Solatlah walau TERPAKSA!
"Sesungguhnya sedikit manusia yang memahami, lebih sedikit manusia yang memahami dan mengamalkan, dan tersangat sedikit manusia yang memahami, mengamalkan dan sampai ke tujuannya. Allah, berilah kami kekuatan untuk itu."

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST