TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

KIAMAT 2012 : ISRAEL SEBAGAI HERO

Selepas teruja tengok forum Hari Kiamat 2012, apa yang kita dapat?
Selepas puas menonton filem, "2012, The End of The Day", apa perasaan kita?
Selepas membaca artikel dan buku mengenai dajjal, apa yang kita fikirkan?
Selepas duduk bersembang dengan kawan-kawan tentang hari tua, apakah perancangan kita?

Adakah sekadar rasa takut, gerun, seram, berdebar-debar, bimbang, insaf atau tidak rasa apa-apa pun? Tidak buat apa-apa pun?

"Mereka menanya kepadamu tentang Kiamat, Bilakah Terjadinya, 'Sesungguhnya pengetahuan tentang Kiamat itu adalah Di sisi Rabb-Ku, tidak seorang pun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat( huru-hara bagi mahkluknya) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba', mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu mengetahuinya. Katakanlah, 'Sesunguhnya pengetahuan tentang Hari Kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia TIDAK MENGETAHUI" (Surah Al-A'raf : 187)

Sebagaimana bijak pandai mengkaji, berbahas dan membincangkan isu Hari Kiamat, kita yang tidak bijak pandai lagi bagaimana?

Sebagaimana bijak pandai mengkonklusikan isu dan propaganda Hari Kiamat pada hari ini adalah ciptaan Barat dan Yahudi untuk mengkucar-kacirkan pegangan akidah dan menakut-nakutkan ummat Islam, kita yang belum bijak pandai, bagaimana konklusinya?

Apakah penerimaan kita?

Sejauhmana konspirasi Kiamat 2012 mempengaruhi akidah dan kehidupan kita?

Ya, banyak persoalan saya sengaja ukirkan bagi miemudahkan para pembaca dan remaja di luar sana dalam proses belajar dan memahami. Bagi saya, propaganda Barat dan Israel ini ada keburukan juga kebaikannya. Sepertimana yang telah dikupas dan dibincangkan panjang lebar oleh bijak pandai, saya melihat mereka banyak menyentuh tentang bagaimana idea Kiamat 2012 muncul dan impak negatif terhadap ummat Islam.

Dalam penulisan ini, hanya perkongsian ringkas sahaja yang ingin saya titipkan. Saya banyak melihat isu ini dari sudut positif kerana saya merasainya sendiri dan ia lahir dari sebuah pengalaman. Mana tidaknya, selepas habis menonton filem berkaitan hari kiamat dan kemusnahan bumi, tidak tertahan-tahan air mata untuk menghadirkan rasa kehambaan dan keinsafan yang menggila. Yakin Allah itu Maha Berkuasa.

Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 56 bermaksud: “Dan berkatalah orang yang diberi ilmu pengetahuan dan keimanan. `Sesungguhnya kamu semua telah menanti (sesuai dengan keterangan) dalam kitab Allah (dalam kubur atau alam barzakh) sampai hari ba’ats’ (kebangkitan atau bangkit dari kematian).”

Saya mula berjinak membaca buku kisah dajjal sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Kebetulan gelaran "dajjal" sangat terkenal di sekolah untuk kawan-kawan yang nakal. Membacanya sudah meromangkan bulu, seolah-olah berada di alam lain. Seronok baca. Banyak kisah yang diceritakan untuk kita ambil pengajaran . Ketagih pula untuk baca, baca dan baca lagi walaupun berulang kali.

Puncaknya apabila bergelar mahasiswi UKM, saya menjadi salah satu exco dalam program "Bersamamu Palestin". Di sinilah saya nampak dan yakin Israel adalah "hero". Hero kepada dunia. Mereka banyak mengkaji, mencipta teknologi dan memajukan ekonomi. Sangat bijak. Saya mengaku penuh sedar bahawa ummat Islam sangat jauh terkebelakang padahal banyaknya ummat Islam umpama buih-buih di lautan.

Kita tahu, tapi kita tidak sedar. Kita sedar, tapi kita tidak bertindak. "Umat lain akan meratah kamu dengan rakus sebagaimana anjing-anjing yang mengelilingi hidangan makanan. Sahabat bertanya adakah kerana bilangan umat Islam yang sedikit? Baginda menjawab TIDAK, bahkan jumlah kamu masa itu banyak sebagaimana banyaknya buih di permukaan air banjir. Allah mengikis perasaan gerun di dalam hati musuh terhadap kamu dan Allah mencampakkan dalam hati kamu 'al-wahan'. Sahabat bertanya apa dia wahan itu ya Rasulullah. Jawab baginda 'cintakan dunia dan bencikan akhirat."

Bagaimana kelompok Israel yang terpinggir dan sekelumit bilangannya mampu survive jika dibandingkan ummat Islam yang bersepah-sepah di peta dunia?

Dalam kebencian, saya kagum dan puji mereka!

Pada saat ini juga, saya masih kagum dengan mereka. Saya masih tidak percaya sahabat-sahabat rapat saya berusaha bersungguh-sungguh mengadakan forum bagi membincangkan dilema masyarakat malah dikira isu terhangat yang dicipta oleh mereka, iaitu Kiamat 2012. Bukankah itu sangat hebat?

Barang 5 minit berada di dalam forum itu sahaja, sudah terusik dengan usikan "Mahasiswa tidak perlu lagi susah-susah belajar, kiamat nak dekat dah". Mungkin sebagai bahan lawak untuk diraikan dengan gelak ketawa tetapi tidak sedarkah kita?

Perli.

1. Bagaimana dengan amalan dan persiapan kita?
2. Terutamanya solat kita, khusyukkah?
3. Jihad menuntut ilmu kita, apa khabar?
4. Apakah perancangan masa depan kita?
5. Tidakkah kita mahu mencabar keselesaan menjadi para ilmuwan dan pengkaji?
6. Akankah satu hari nanti giliran kita pula berada di atas pentas menggantikan ahli panel?
7. Bolehkah ummah mengharapkan kita untuk membelanya?

Setakat itu sahaja saya tinggalkan dengan persoalan-persoalan dan harapan untuk kita berubah, memperbaiki diri dan berani berjiwa besar demi ummah yang selama ini menderita kehilangan suara-suara agung dan para pejuangnya.

1 comment:

  1. insyaAllah kita semua kna lebih bersedia dgn fitnah dajjal yg semakin menjadi-jadi di akhir zaman ini.

    semoga terus diberi kekuatan dalam meneruskan penulisan. =)

    ReplyDelete

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST