TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

"JADIKANLAH DIA WANITA SYURGA"




Bermula lafaz bismillahirrahmanirrahim, dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, coretan ini khas ditujukan buat tatapan puteriku dan bakal imamnya.

Wahai puteriku,
Saat dirimu masih menjadi asuhan ayah dan ibu, tidak lain doa kami supaya dirimu menjadi anak yang solehah, agar kelak dapat menjadi tabungan dan peneman di alam yang satu. Namun nanti, setelah dirimu bergelar isteri, aku berharap agar dirimu menjadi pendamping yang setia buat si soleh.

Kini, aku merelakan pemergianmu walau rasa berat di hati hanya Allah yang tahu. Sebaknya ayah, tangisnya ibu sebagai tanda kami merestuimu wahai puteri kesayangan.

"Ya Allah..Engkaulah yang telah membukakan pintu hatinya untuk jatuh cinta kepada agamaMu dan insan pilihanmu. Maka kepada Engkau jualah ku harapkan agar hatinya kembali, beri'tiqad membenarkan syahadahmu dalam kehidupannya dan Kau restuilah perhubungannya wahai Tuhan, Pemilik Sinar Kebahagiaan". Subhanallah..

Andai dirimu berjaya menanamkan sifat sabar dan tolak ansur ke dalam sikapmu, maka kukuhkanlah ianya sehingga ke akhir hayatmu. Dengan sifat ini, percayalah bahawa kamu bakal membawa hati dan kehidupan suamimu dalam beroleh kebahagiaan menjadi pemimpin yang terbaik dalam rumahtangga. Sesungguhnya, sabar dan tolak ansur lahir dari hati yang ikhlas dan tiada menyimpan apa jua perasaan yang negatif.

Diriwayatkan dari Jabir berkata,Rasulullah SAW bersabda ; Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia (HR. Thabrani dan Daruquthni)

Bahagialah puteriku, bila mana masalah datang menguji suatu ketika nanti. Cekalkanlah hasrat di hati. Semoga kesusahan bisa mengajar erti kematangan dan ketabahan. Orang-orang yang paling berbahagia tidak selalu memiliki perkara terbaik, mereka hanya berusaha menjadikan yang terbaik dari setiap perkara yang hadir di dalam hidupnya. Bila Allah ada di dalam hatimu, kamu seolah-olah memiliki segala-galanya.

Itulah antara kunci ketenangan dan kebahagiaan dalam perkahwinan wahai puteriku. Bukan sekadar curahan hati seorang ayah, semoga bisa menjadi pemberi semangat dalam rumahtangga dan urusan dakwahmu. 









Wahai bakal imam puteriku,
Adalah aku, wali puteriku. Amanahku kini kuserah padamu. Nafkahilah dia, curah kasih dan cinta lebih dari yang ku berikan kepadanya. Jadilah imam kepada puteriku di dalam mahu pun di luar solat agar cinta yang bersemi tetap utuh dalam redha Ilahi.

"Sesungguhnya wanita itu diciptakan dari rusuk lelaki, bukan dari kepalanya untuk dijunjung, bukan dari kakinya untuk dijadikan pengalas. Tetapi dari sisinya dekat dengan lengannya untuk dilindungi dan dekat dengan hatinya untuk dicintai."

Dulu esakkannya bersandar di bahuku, maka tangisannya kini ku serah padamu. Bukanlah bermakna, dia bukan milikku cuma fitrahnya dia perlukanmu. Belailah dia dengan penuh kesabaran dan didikan rohani yang mencukupi sebagai bekalan di alam perkahwinan dunia dan akhirat insyaAllah.

Daripada Anas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Wanita ini paling mudah masuk syurga dan juga paling senang masuk neraka. Jadikanlah dia wanita syurga, supaya dia mengerti benar akan maharnya. Taat itu bukanlah hanya pada nama, indah ia pada maksudnya.

"Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah menjadi penolong keatas sebagaian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan sembahyang menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (at-Taubah : 71)

Dalam sesebuah keluarga, suami dan isteri adalah ibarat otak kanan dan otak kiri. Jika rosak salah satu, maka rosaklah seluruh anggota badan, maka lumpuhlah keluarga. Kelebihan yang telah Allah kurniakan berbeza-beza antara suami dan isteri perlu dimanfaatkan sebaiknya demi kelangsungan perhubungan.

Ada sesuatu pada suami yang tidak ada pada isteri, dan ada juga sesuatu pada isteri yang tidak ada pada suami. Sebab itulah Allah jadikan kita semua unik. Tutup segala kekurangan sebelah pihak dengan kelebihan sebelah pihak yang lain. Apabila masing-masing berlapang dada dan saling menerima, barulah Allah berkati keluarga kita.

Moga kamu mengerti benar maksudku, pikullah amanah Allah ini sebaiknya. Apa yang kuharapkan darimu hanyalah kesolehanmu kerana, apabila kecantikan yang diharapkan, hanya kesia-sian yang akan diperolehi. Jika dakwah menjadi pilihan, maka izinkanlah. Semoga keindahan syurga itu milik pencinta sejati. Selamat bercinta hingga ke syurga wahai anak-anakku!


1 comment:

  1. assalamualaikum Nur Na'imah....sungguh istimewa n3 ini izinkan mama share bersama2 yer....utk tatapan puteri2 mama nanti....:)

    mekacih yer...:)

    ReplyDelete

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST