Bulan kemuliaan yang dikurniakan ini usah dibiarkan berkatnya berlalu sia-sia saja. Ia hadir bagai air bak membasuhi daki dunia. Maka sambutlah ramadhan dengan jiwa terbuka seperti ketibaan orang yang kita cinta dengan ucapan ahlan wasahlan marhaban ya Ramadhan. Allahu Akbar!! Sollu 'ala Nabi...!!
Menurut Allahyarham Profesor Dr. Hamka, perintah puasa seperti juga perintah Allah yang lain, bukanlah satu perintah yang kaku dan kering kerana ibadah puasa berupaya mengetuk hati, iman dan akidah. Amalan puasa dapat menyatukan akal dan perasaan, jiwa dan sanubari.
Ada dua sudut utama yang boleh kita lihat daripada amalan puasa ini, iaitu sudut kerohanian (agama) dan sudut sosial. Dari sudut kerohanian, ibadah puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.
Amalan puasa yang dilaksanakan dengan penuh penghayatan akan dapat membangun dan menyuburkan nilai ketakwaan dan kemanusian.
Dalam pengertian yang lain, puasa di bulan Ramadhan adalah jalan atau cara untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia dapat dilakukan melalui pelbagai amalan yang digalakkan kita melakukannya di bulan Ramadhan seperti bertadarus al-Quran, bertarawih, bertahajud, beriktikaf, memperbanyakkan zikir dan memperbanyakkan sedekah.
Segala bentuk amalan mulia itu dapat meninggalkan kesan positif dalam jiwa kita. Untuk menghidupkan Ramadhan (ihya' Ramadhan) dengan pelbagai bentuk ibadah perlukan kepada 'al-mujahadah' atau bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu.
'Al-mujahadah' dapat membantu kita ke arah pembentukan jiwa yang sentiasa takut (khauf) akan 'balasan akhirat' dan 'pengadilan Ilahi' di Padang Masyar nanti.
Berlapar dan dahaga semasa berpuasa dapat menjernihkan fikiran, mendorong kita lebih banyak beramal dan memperoleh al-hikmah (kebijaksanaan).
Luqmanul Hakim pernah menasihati anaknya: "Wahai anakku, jika perut terisi penuh, fikiran akan tidur, hikmah tidak akan muncul dan anggota tubuh akan malas melaksanakan ibadah".
Dari sudut sosial pula, ibadah puasa dapat mendidik kita menjadi insan yang tidak mementingkan diri sendiri. Sifat kehidupan dunia hari ini yang meletakkan hidup dalam lingkungan persaingan telah mendorong ramai di kalangan manusia menjadi individu yang egoistik dan individualistik.
Jati diri manusia mudah tenggelam di tengah-tengah keegoan dirinya sehingga penyakit rohani seperti iri hati, hasad dengki, dendam dan permusuhan sesama manusia semakin berleluasa dalam masyarakat.
Justeru, puasa yang dilakukan dengan penuh penghayatan akan membawa kita kembali untuk hidup bermasyarakat. Ketika berpuasa, semua kehendak nafsu akan dirasionalkan oleh akal sehingga lapar dan dahaga yang dirasai itu mampu menghapus rasa keangkuhan diri.
Kesedaran ini akan menumbuhkan rasa kasih sayang dan tanggungjawab sosial. Sifat ini akan menjadikan kita lebih peka terhadap orang kurang bernasib baik serta mereka yang berada dalam kesulitan dan musibah.
Sifat belas ihsan ini akan mendorongnya menghulurkan pertolongan, terutamanya terhadap golongan yang hidup di bawah paras kemiskinan (fakir dan miskin).
Kesannya akan wujudlah hubungan harmonis antara golongan kaya dan golongan miskin. Ia sekali gus menolak fahaman Marxisme yang mengatakan golongan kaya dan miskin akan selalu bertentangan (bermusuhan) antara satu sama lain kerana si kaya selalunya menindas si miskin.
Hakikatnya, Islam adalah satu-satunya agama yang dapat menempatkan manusia dalam keadaan yang sama-sama lapar dan dahaga melalui ibadah puasa di bulan Ramadhan.
Justeru, di bulan Ramadhan yang mulia ini tunjukkanlah kemurahan dan kedermawan kita dengan mengeluarkan sedekah, infak dan zakat. Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan, tetapi puncak kedermawanan baginda adalah di bulan Ramadhan.
Justeru, orang mukmin yang ikhlas hatinya akan berlumba-lumba menghulurkan pertolongan kepada golongan yang memerlukan. Hayatilah maksud firman Allah SWT, "Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebaikan yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai." (ali-Imran :92).
Apabila kita memberi kepada seseorang maka hendaklah kita beri yang baik-baik kualitinya sesuai dengan apa yang dinyatakan al-Quran, "Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan darinya." (al-Baqarah:267).
Ibadah puasa yang dilakukan dengan penuh ikhlas dan keimanan juga akan dapat memupuk persaudaraan dan silaturahim sesama umat Islam. Inilah masanya hubungan dan perpaduan sesama umat Islam yang telah terjejas dipereratkan kembali.
Untuk mencapai semua kebaikan puasa itu maka perlulah kita laksanakan ibadah puasa kita itu dengan sempurna mengikut lunas-lunas al-Quran dan as-Sunah supaya amalan puasa Ramadan ini membawa kita kepada matlamat akhir iaitu menjadi insan yang bertakwa (al-Baqarah: 183).
Amalan puasa tidak sepatutnya dicemari dengan amalan keji seperti buruk sangka, kebencian, permusuhan, hasad dengki dan iri hati. Hendaklah kita menjauhi marah, mencaci dan mengata nista.
Rasulullah SAW pernah ditanya, "Apakah yang menyebabkan puasa itu menjadi sia-sia?" Lalu baginda menjawab, "bercakap dusta dan mengumpat".
No comments:
Post a Comment
"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."