TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

MOTIVASI DIRI : USAH MEMILIH AIR MATA


Anda pernah memilih air mata?
Air mata ini untuk kedukaan? Air mata itu untuk kekecewaan? Sakit hati? Kesakitan? Kemarahan?

Anda pernah memilih kuantiti air mata yang mana perlu banyak? sedikit? sederhana?

Anda pernah memilih air mata yang mana perlu diiringi melodi esakan mendayu-dayu? Melodi rancak? Melodi senyap?



AIR MATA : HIKMAH KEHIDUPAN

Sebenarnya hidup bukanlah seindah mana. Sedari kecil, meniti remaja hingga kini, ujian dan dugaan tidak pernah berhenti menguji dan menduga diri ini. Jika mahu diikutkan kehendak hati, sejujurnya kita mampu menangis setiap hari. Biarkan pipi ini sentiasa basah dengan airmata sepanjang masa, andai itu yang kita pilih.


Namun kita bersyukur kerana dilahirkan dan dibesarkan dalam Islam.
Bersyukur kerana kita percaya dan yakin kepada 6 rukun Iman.
Bersyukur kerana kita yakin bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.
Bersyukur kerana kita percaya dan yakin dengan Al-Quran yang di turunkan oleh-Nya.
Bersyukur kerana kita percaya dan yakin bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah
Bersyukur kerana percaya adanya hari kiamat serta setiap apa yang berlaku, tidak kira baik atau buruk, manis atau pahit, semuanya adalah mengikut ketetapan Qada' dan Qadar Ilahi.



Alhamdulillah. Kerana keyakinan dan kepercayaan itulah, setiap hari kita mampu memilih untuk tersenyum, bukan menangis.

Berharap dan berdoa, agar kita semua, sahabat yang membaca entri ini mahupun tidak, supaya dapat memilih senyuman. Jangan biarkan kesedihan, kedukaan, merosakkan dan memusnahkan kudrat dan semangat juang kita. Mematahkan kelurusan jiwa yang ingin tabah meneruskan kehidupan.

Jangan biarkan kekecewaan dan kesakitan menjadi penyebab kepada kita untuk tidak berjaya.

Kita makhluk ciptaan Allah yang diberi kebebasan untuk memilih. Bukan seperti pepohon. Bukan seperti haiwan. Mereka hidup dengan ketentuan yang telah ditetapkan buat mereka. Makan, minum, mengawan, mati. Sama sepanjang masa. Tidak seperti kita, yang diberi akal, yang membolehkan kita memilih, mana yang terbaik buat kita.


Oleh itu, pilihlah dengan sebaik yang mungkin dan buatlah keputusan yang terbaik.
Percayalah dengan janji-janji Allah di dalam Surah Al-Mukminun, ayat 62;

"Dan Kami tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya; dan di sisi Kami ada sebuah Kitab (suratan amal) yang menyatakan segala-galanya dengan benar, sedang mereka tidak dianiaya."



Firman Allah lagi dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286;

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya."


Mengapa masih ragu?
Mengapa masih goyah?
Mengapa masih bersedih?

Berdoalah selalu agar dipermudahkan  :

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir" (Surah Al-Baqarah, ayat 286)


Kerana kita mampu. InsyaAllah. Percaya dan yakinlah.

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST