TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

MOTIVASI DIRI : KETIKA AKU KELIRU


Melihat apa yang orang lain miliki dan melihat apa yang tidak aku miliki, seringkali mengundang gundah dan resah di hati.  Melihat apa yang dianugerahkan padaku dan melihat keperitan orang di sekelilingku, terbit pula kesyukuran di dalam kalbu

Kita tahu Allah Maha Mengetahui tetapi, mengapa sukar sekali untuk kita merasakan bahawa Allah memperhatikan setiap yang kita lakukan? Mengapa sukar untuk kita menyedari akan hakikat itu?

Kita tahu Dia Maha Kuasa ke atas segala sesuatu, tapi mengapa kita tidak meletakkan Dia sebagai tempat yang teratas ketika ditimpa masalah? Mengapa tidak kita terus mengadu pada-Nya? Bukankah Allah akan mengabulkan doa-doa orang yang memohon kepada-Nya?

Kita tahu Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, tapi mengapa kita sentiasa lupa dengan kasih sayang-Nya? Kerana kasih-Nyalah yang memungkinkan kita untuk menemui sinar jalan pulang. Kerana Kasih-Nyalah yang memungkinkan kita merasai nikmat iman dan Islam. Kerana kasih-Nyalah kita masih mendapat peluang ini.

Mengapa kita sering lupa akanNya?
Apakah kita tidak percaya akan pertemuan dengan-Nya?
Bukankah segalanya telah dijelaskan?
Bukankah itu bukti cinta-Nya pada hamba-Nya?
Terlalu besar, terlalu besar kasih-Nya
Tapi kita sering lupa

Bahkan,
Kita selalu mengatakan tidak ada yang memahami
Bukankah Dia Maha Memahami. Dia sentiasa di sisi kita. Bahkan Dia lebih dekat dari urat leher kita sendiri.

Mengapa kita sering lupa?
Mengapa kita lupa bahawa kita ini insan yang pelupa? Kita lupa bahawa kita ini seorang hamba.
Kita lupa kita ini lemah kerana itu kita sering terlupa pada DIA yang Maha Kuasa.

"Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya, sungguh beruntung orang yang menyucikan (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya..." (Surah Asy-Syams: Ayat 7-10)

Ya Allah, ampunilah aku kerana sering berkeluh kesah. Jadikanlah aku manusia yang terus bersyukur dan peliharakanlah imanku. Hanya padaMu aku memohon dan meminta. Oh Tuhan, restukanlah.

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST