TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

SUSAHNYA JADI REMAJA!



Kenapa menjadi seorang remaja sangat susah?
Kenapa alam remaja begitu banyak cabaran?
Kenapa pula remaja sering dikaitkan dengan gejala sosial dan maksiat?
Kenapa remaja sinonim dengan alam mencari identiti diri sendiri?




SUSAHNYA MENJADI SEORANG REMAJA

Wahai remaja islam seluruh dunia!

Terbentang di hadapan kalian perjalanan hidup seorang insan. Kebanyakan orang dilanda keluh-kesah, kesempitan dan kegoncangan jiwa. Merasa sepi dan tiada keyakinan diri. Hidup menjadi hambar dan kosong walaupun dilingkungi kelazatan dan kemewahan.

Kenapa?

Kerana hanya hamba-hamba Allah yang bertaqwa dan teguh iman sentiasa tabah sewaktu orang lain mengalami kegoncangan jiwa. Mereka penuh yakin pada waktu orang lain berserabut dengan berbagai-bagai keraguan, konflik diri dan masalah hati. Mereka mampu bersabar dan berlapang dada ketika orang lain keluh-kesah dan buntu fikiran.

Kenapa pula?

Kerana orang-orang beriman menempuh jalan hidup yang bertepatan fitrah kemanusiaan dan syariat Islam. Renungi maksud firman Allah SWT dalam surah Ar-Ruum ayat 30 :

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah, tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”



REMAJA ISLAM BANGKITLAH!

Bagaimana kembali kepada tabi’i dan fitrah pencintaan insan?
Bagaimana untuk sentiasa merasai ketenangan di hati?

Ketahuilah bahawa kita perlukan hati yang sihat sejahtera dan terpelihara dari unsur negatif. Ini mengambil kira kesejahteraan diri kita bergantung rapat dengan keadaan hati itu sendiri.

“Terpelihara baik dan sihat hati (kalbu) dan juga organ hati itu sendiri, maka akan sihat sejahteralah keseluruhan jasad.”




JAGALAH HATI KAMU

Dari itu sewajarnya kita perlu pastikan hati kita benar-benar terpelihara keadaannya.

Bagaimana untuk merealisasikannya?

Mari kita sama-sama teliti dan hayati perihal hati menurut Ibnu Qayyim :



• Di dalam hati manusia terdapat kekuatan – tidak terurai kecuali menerima kehendak Allah.
• Di dalam hati terdapat keganasan – tidak hilang kecuali berjinak dengan Allah.
• Di dalam hati terdapat kesedihan – terlerai dengan menyukai Allah dan berhubung baik dengan-Nya.
• Di dalam hati terdapat kegelisahan – tenang dan damai jika berjumpa dengan-Nya dan berlari mendapatkan-Nya.
• Di dalam hati terdapat api penyesalan – terpadam dengan redha pada suruhan, larangan, qada’ dan sentiasa sabar sehingga menemui-Nya.
• Di dalam hati terdapat hajat – tidak terbendung kecuali dengan kecintaan kepada Allah SWT, memohon kepada-Nya, ikhlas dan sentiasa dalam berzikir.





HARGAILAH HATI ITU

Hati itu amanah daripada Allah. Kalau hati rosak, maka rosaklah tubuh badan. Hati yang baik tidak cukup untuk memimpin tuan empunya badan. Hati yang cinta, kasih, takut dan malu kepada Allah sahaja yang mampu memimpin tuan empunya badan dalam mencari keredhaan Allah (mardhotillah).


Jagalah hati. Bajailah dan siramilah ia dengan air mata keinsafan.

Renungilah peringatan daripada Abu Ridhwan ini :
“Jika saat ini kalian tidak mampu menguasai diri kalian, tidak mahu bersungguh-sungguh mengendalikan syahwat dan kecenderungan kalian, malah untuk mengerahkan tenaga dan umur muda kalian demi tertegaknya aqidah, negeri dan masa depan umat kalian, maka apa nak jadi pada kalian?!”


p/s : Artikel ini ditulis untuk sudut ruangan kolumnis "Muslim Doktor" Majalah ar-Razi  Fakulti Perubatan PPUKM (Pusat Perubatan UKM). Sebarang penambahbaikan amatlah diharapkan.

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

Post a Comment

THE MOST POPULAR POST