TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

MERDEKA atau TERJAJAH?


“Malam ni jom kita gi Masjid As-syakirin, kita sambut merdeka dengan cara Islam”
“Alhamdulillah…terima kasih mengingatkan ana. Boleh juga, lagipun kita kena menghayati erti kemerdekaan yang sebenar dalam konteks agama Islam agar tidak bercanggah dengan ajaran Nabi”

“Yup..betul tu. Ana paling suka aktiviti ‘Ops Sayang’, meronda-ronda sekitar KL berdakwah dan mengedar flyers kepada pasangan muda dan remaja-remaja yang melepak”
“Dan… Di situ dapat menguji sejauh mana ilmu dakwah yang telah kita timba selama ini. Ia adalah lapangan dakwah yang mentarbiyyah para daie secara praktikal”



BENTUK PENGISIAN KEMERDEKAAN MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM

Saban tahun, tanggal 31 Ogos Akan menjadi detik bersejarah dalam kehidupan rakyat Malaysia. Dan saban tahun jugalah pelbagai pihak mempersoalkan kebobrokan pengisian Hari Kemerdekaan ini. Bagi jiwa yang ketandusan dalam pencarian mardhotillah, mereka tidak jemu untuk bertandang ke rumah-rumah Allah untuk merancakkan lagi pesta ibadah, wacana ilmiah, konsert nasyid, persembahan puisi islam dan sebagainya.

Kemuncaknya pukul 12 tengah malam alunan syahdu doa syukur dan selawat puji-pujian ke hadrat Ilahi dibaca beramai-ramai. Perbezaan di masjid as-Syakirin KLCC pula iaitu aktiviti ‘Ops Sayang’ yang dilakukan pada pukul 2 pagi. Pesta bertambah kemaruk dengan qiamullail dan tadarus Al-Quran.

Ternyata berbeza sekali dengan pengisian kemerdekaan di sekitar masjid KLCC, konsert-konsert lagha (melalaikan) begitu mendapat sambutan yang lebih menghangatkan apatah lagi dimeriahkan dengan letupan mercun api yang mencecah pembaziran wang berpuluhan ribu ringgit.



MERDEKA BAGI BANGSA MELAYU-ISLAM

Di situ aku banyak belajar. Melihat dengan mata kepala sendiri realiti kerosakan bangsa Melayu yang beragama Islam. Dalam rasa kecewa, sedih, marah, geram dan meluat aku terpaksa rela melayan dan menjadi saksi aksi-aksi memualkan anak-anak muda sebaya dengan ku.

Flyers dakwah diedarkan sambil sambil mulut tidak jemu menasihati mereka. Ada yang menolak dengan kasar, menerima dengan cemuhan, mengoyakkan, membuang merata-rata, dan tidak kurang pula menjadikan flyers tersebut sebagai tempat alas duduk sambil tergelak besar!

Bagaimana harus kita dekati hati-hati mereka ini?

Apakah erti kemerdekaan bagi mereka? Kita?

Banggakah aku, kita menjadi anak Malaysia? Banggakah kita dengan Malaysia?

Ya..soalan yang pernah dilontarkan kepada adik-adik sekolah Agama Ar-rahmah di suatu program tamrin anak Melaka. Dan aku sendiri sehingga kini masih lagi mencari jawapannya.




PALESTIN Vs MALAYSIA

Sungguh cantik percikan bunga api secantik air mata anak palestin yang menderita.

Aku lalai dan leka pada amanahku. Menjadi manusia yang mementingkan diri sendiri. Aku lupa akan saudara seagamaku di sana. Teringat seketika dan lupa berpanjangan. Berteriak di tepi jalanan berdemonstrasi masih lagi tidak meninggalkan parut yang dalam di qalbu.

Ya Allah..Bagaimanakah keadaan mereka sekarang ini.
Masih lagikah bermandikan darah dan najis kerakusan binatang?

Mereka bermati-matian memerdekakan tanah air palestin sehingga nyawa, harta dan kehormatan menjadi galang gantinya.

Tapi bangsaku? generasiku?

Dan ingatlah ketika Kami berfirman : “ Masuklah kamu wahai bani Israel! Ke negeri ini (Baitul Maqdis) dan makanlah daripada hasil buminya yang banyak bagaimana kamu kehendaki dengan puas”. Dan masukilah pintu ini dengan sujud merendah diri dan katakanlah : “Bebaskanlah kami daripada dosa”, nescaya Kami mengampuni kesalahanmu dan kelak Kami akan menambah pemberian kepada mereka yang berbuat baik. (al-baqarah, ayat 58)

Ramadhan yang berakhir seolah-olah tiada rasa hormat dan ibrah yang boleh diambil. Al-quran tidak dilazimi seperti sepatutnya. Kisah Nabi Musa membebaskan kaum bani Israel daripada cengkaman penindasan Raja Firaun adalah bertujuan agar mereka tunduk dan patuh kepada dakwah Islam. Tetapi bani israel degil dan lupa diri.

Bangsaku pula?

Aku malu untuk akur generasiku rosak dimamah kebuasan nafsu. Sanggup merempit bermatian dan rela menyerahkan kehormatan sebagai hadiah kemerdekaan dan tanda sayang. Merdeka dan bebas untuk melakukan apa sahaja. Amat berbeza sekali dengan anak muda Palestin.

Apakah ertinya meraih kemerdekaan dengan konsert hiburan dan bunga api?
Bergelorakah semangat perjuangan para daie untuk mengubahnya?

Kibarkan bendera Malaysia jangan lupa kibarkan panji Islam. InsyaAllah..saat itu pasti akan tiba.

Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan pohonlah keampunanNya. Sesungguhnya Allah Amat Menerima taubat hambaNya. (an-nasru, ayat 3)

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST