TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

SAYA SAYANG KAMU

"Saya sayang kamu" : Ukhwah didasari rasa bertuhan. yang gusar tidak pernah hadir

Saya punya ramai kawan, teman, sahabat dan kawan karib. Mungkin sifat saya yang peramah dan mudah tersenyum memudahkan aliran cas-cas positif menentang hukum alam. Maksud saya secara fiziknya, apabila cas-cas positif bertemu secara spontannya saling menolak. Bagi saya tidak. Malah proses membuat kawan adalah seperti suatu hobi yang seronok dan teruja, kerana kita bakal membaca diari hidup orang lain!


Ustaz kata, orang Mu’min ini sama semuanya, tali ikatannya kuat, takkan ada apa yang dapat memisahkan orang Mu’min, kerana yang mengikatnya adalah Ukhwah Fillah. Tali persaudaraan kerana Allah. Warna, pangkat, darjat, rupa, bangsa, kaum, semuanya diletakkan di belakang asalkan dia Mu’min, dan aku mu’min.

Tetapi, realitinya kita sekarang, termasuklah saya, kurang sedar hakikat tali persaudaraan yang Allah dah ikat sesama Mu’min. Buktinya, ucapan salam tidak lagi terucap kecuali untuk orang yang dikenali ataupun orang yang sesama ‘labuh’ tudungnya. Salam tidak diucapkan untuk mereka yang bukan sama negaranya, dan untuk mereka yang bukan sama warna kulitnya. Hakikatnya, tali ukhwah itu hanya pada dasar nama dan bukan letaknya pada hati.

Allah SWT sebut dan ingatkan kita berulang kali bahawa berpeganglah dengan taliNya, bersama-sama, tanpa mengira apa, semuanya, dan jangan berpecah. Kalau semuanya berganding tangan, saling pimpin memimpin, umat Islam pasti tidak akan berpecah belah, kerana kita diikat dengan Tali Allah. Seumpama sebilangan kayu yang diikat dengan tali, mereka kuat, tidak rapuh, tidak boleh dipatahkan kerana tali itu yang mengikatnya. Dan kita, Ukhwah Fillah yang mengikat tali persaudaraan kita.

Teringat saya pada zaman kegemilangan Islam dahulu, dalam peristiwa hijrah. Catu ceritera bersejarah tentang persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin. Permulaannya amat sukar, dikecam dan dihina bahkan dari kerabat sendiri. Mereka dengan sehelai sepinggang keluar dari negara kecintaan kerana perlu berhijrah ke tempat yang lebih aman demi mempertahankan aqidah dan iman yang telah lahir dalam hati-hati mereka.

Tiba di Madinah, mereka bagaikan bukan orang asing, disambut dengan sorakan gembira oleh penduduk asal Madinah, bahkan boleh dikatakan setiap petang, penduduk Madinah berlegar dipinggir kota menantikan ‘saudara-saudara’ mereka tiba di sana. Indahnya persaudaraan itu, bila Rasulullah sendiri yang mempersaudarakan mereka.

“Kalau engkau mahukan harta, ambillah semua hartaku, kalau engkau perlukan tempat tinggal, tinggallah bersamaku, kalau engkau mahukan isteri, aku sedia menceraikan isteriku!” ambillah semua, apa yang ada, kerana aku tahu engkau dan aku punya hati yang sama. Hati yang berpegang pada tali dan janji Allah.

Allah..Indahnya..

Ukhwah didasari rasa bertuhan. Yang gusar tidak pernah hadir. Apa yang perlu dikatakan lagi, kerana engkau dan aku punya hati yang sama. Hati yang berpegang pada tali Allah!

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Al-Hujurat: 10)

UKHWAH FILLAH : we create our boundaries with Islam and Iman

1 comment:

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST