TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

TERUSKAN BERSEMANGAT!



"Barang siapa yang mengatakan Muhammad telah wafat akan ku pancung lehernya!", Umar RA berteriak lantang. Beliau tidak dapat menerima hakikat akan kewafatan Rasulullah SAW, hakikat bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

Lantas dengan tenang dan penuh bersemangat Abu Bakar RA melantunkan ucapannya penuh hikmah dan himmah.

"Barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka ketahuilah Muhammad telah wafat, tetapi, barangsiapa yang menyembah Allah SWT, maka ketahuilah Allah SWT hidup dan tidak akan mati"

Tersentak Umar RA mendengar bicara halilintar ini, menggeletar lutut beliau seraya rebah ke tanah, berusaha menerima halikat bahawa Rasulullah SAW telah tiada dari dunia yang fana ini.

Sebuah kisah penuh ibrah.

Hebatnya Abu Bakar kerana berjaya mengembalikan sahabatnya Umar RA yang kemungkinan futur ketika itu kepada hakikat intima’ yang sebenar iaitu intima’ kepada Allah SWT, intima’ kepada Islam yang suci.

Seolah olah beliau mengajarkan bahawa terlalu kerdil hakikat intima’ ini sekiranya disandarkan kepada individu dan tokoh-tokoh tertentu, sehinggakan apabila hilangnya tokoh-tokoh tersebut dari pentas dakwah maka turut hilang pengikutnya yang membawa risalah Allah SWT ini.

Ingatlah Allah itu hidup, teruskan!
Seorang daie yang mengetahui hakikat intima’ yang sebenar akan terus bersemangat berdakwah kerana Allah!

Keterlibatannya di dalam organisasi yang berpaksikan dakwah adalah untuk mengangkat martabat Islam yang sebenar, untuk mengeluarkan manusia dari penyembahan kepada manusia kepada Allah SWT semata.

Sebaliknya, seorang daie yang tidak jelas akan hakikat ini, maka kemungkinan keterlibatannya bersama dakwah adalah atas faktor SEMANGAT semata.




SEMANGAT TANPA KEFAHAMAN?

Ya, semangat yang dikobarkan oleh murabbinya, maka ketika semangat itu ditiup, dia dapat bergerak, apabila lemah, terpaksa ditiup lagi, lemah lagi, kena ditiup lagi. Apabila berjauhan dari murabbinya ataupun dari sahabat-sahabat, semangatnya luntur kembali, kemudiannya terpaksa ditiup kembali.

Persoalannya, sampai bila harus di tiup?!
Kita yang harus meniup kerana kefahaman bukan hanya ditiup!

Muhasabahlah kembali hakikat keterlibatan kita di jalan dakwah ini.

Hadits Rasulullah SAW : “Sungguh, Allah swt memberikan hidayah kepada seseorang lantaran usaha kamu, itu lebih baik bagimu daripada unta merah”. (Muttafaqun ‘alaih).

Semoga kita terus komited dengan agenda tarbiyyah, semoga kita terus maju dengan kekuatan tarbiyyah. Semoga kita terus mengoptimakan segala kekuatan kita atas asas tarbiyyah.

Inilah roshid (aset) yang akan menjayakan agenda besar kita kerana sesungguhnya kita telah menamakan diri kita sebagai jamaah tarbiyyah. Bila ditanya kepada Imam Hasan al-Banna untuk menggambarkan sifat Ikhwan Musliman. Maka jawab beliau : “ kita adalah jamaah tarbiyyah..”. Tarbiyyah dulu, kini dan selamanya.

"Ya Allah, jadikanlah kami golongan yang sentiasa menumpahkan cinta kasih kami kepada manusia yang didakwahkan serta berusaha untuk memberi manfaat ilmu dan qudwah yang benar sehingga mereka memberi perhatian, memelihara serta bangun untuk memberikan sokongan dan dukungan terhadap seruan dakwah yang dilancarkan"

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST