TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

SEBELUM MEMBUNUH DIA


Sesungguhnya kita memang manusia yang alpa. Selalu lupa untuk bersyukur. Sehingga terbabas menyalahgunakan nikmat dengan saluran hawa nafsu. Betapa banyak dan mudahnya nikmat pahala yang telah, sedang dan akan Allah SWT berikan kepada hambanya.

Entah mengapa ia menjadi begitu berat untuk dipraktikkan.

Lemahnya iman manusia. Selalu menganggap dosa yang dilakukan sebagai nikmat. Sehingga lupa kepada seksaan-Nya di akhirat kelak. Selalu malu dan takut dengan pandangan manusia sehingga lupa bahawa Allah itu sentiasa melihat perbuatan hamba-Nya.


Entah mengapa dosa semalam diulang-ulang walaupun telah berulang kali bertaubat memohon keampunan.

Buat diri yang telah meninggalkan jejak dosa di pintu laluan neraka. Buat diri yang mengalir air mata setelah kian lama terpendam. Apakah warna dosa yang telah dilakukan sejak bertahun? Apakah penderitaan yang harus ditanggung dalam lara dosa? Apakah rasa ingin kembali pada-Nya, rasa kemanisan iman dan rasa gentar melakukan dosa, sudah tidak terasa lagi?

Amat sakit untuk mendapatkan hati yang sensitif terhadap dosa yang dilakukan.

Namun kerana kesakitan itulah yang menjadi penawar bagi hati yang hitam dan keras. Tiada jalan lain. Dalam kesakitan itu ada kemanisannya.

Memanglah dugaan hidup itu sangat perit. Tapi dengannya hati dan nafsu akan menjadi lunak. Berdosa itu membuatkan hati tidak tenteram. Apa yang perlu manusia lakukan adalah dengan menghargai waktu-waktu tersebut. Kerana dengannya manusia akan tersedar. Dan didikan, bisikan dan teguran halus daripada Allah adalah pengalaman yang paling berharga. Tiada harga untuk dibandingkan.

Terkesan dengan kata-kata "Dosa yang membuatkan seorang itu menangis lebih baik dari kebaikan yang membuatkan seseorang itu takbur." 

Sebenarnya, kita hidup dengan apa yang kita terima, tetapi kita bina kehidupan dengan apa yang kita beri. Seperti ingin membina rumah, jika konkritnya rapuh tanpa memberi sentuhan yang baik kepada dinding rumah, maka rumah itu tidak akan teguh. Bila-bila masa sahaja boleh runtuh.

Manusia terlupa untuk memberi dengan kasih sayang.

Untuk itu, berdoalah selalu semoga Allah mengurniakan kita sekeping hati yang diredhai-Nya kerana hanya dengan hati yang baik dan bersih sahaja yang dapat menyingkap hijab yang membelenggu jiwa selama ini.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha..”
“Sungguh beruntung orang yang mensucikan jiwa itu, dan sungguh merugi orang yang mengotorinya.” (Asy-Syams: 9-10)

Maha Besar Allah yang telah menciptakan dunia begitu indah. Awan pekat berbondong-bondong digiring angin. Hujan bersih menitik dari langit. Tumbuh-tumbuhan pun menghijau, menyegarkan pandangan mata. Dan, menyejukkan hati yang gelisah.

Inilah saatnya untuk mencermin diri. Melihat seberapa banyak kotoran hati kerana terpaan debu kehidupan yang menggila. Saatnyalah, menimbang diri dengan penuh kejernihan. Sesungguhnya janji Allah adalah benar. Kasih sayang Allah adalah benar.

Antara kekal bergelumang dosa atau bangkit mencari sinar kehidupan. Mana satu pilihan kita?

1 comment:

  1. Terkesan dengan kata-kata "Dosa yang membuatkan seorang itu menangis lebih baik dari kebaikan yang membuatkan seseorang itu takbur."

    ReplyDelete

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST