TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

KEJAYAAN MILIK SIAPA?


Saya cuba mahu membawa jiwa-jiwa kita supaya menghayati satu tabiat seorang sahabat Nabi Muhammad SAW. Di mana jika beliau mendapat pujian ataupun ucapan kejayaan daripada manusia lain, seraya beliau terus menadah tangan kepada Allah SWT...

" Ya Allah, sentiasalah jadikan diriku lebih baik daripada apa yang mereka sangka."

Seperti kita sedia maklum, apabila kita mendapat kejayaan yang baik mahupun cemerlang, sudah tentu pujian akan bertalu-talu datang menghampiri diri kita.

Betul bukan?

Dengan segala bisikan syaitan inilah, yang akan membuat diri kita terasa sedikit bangga diri, sombong dan sebagainya sehinggakan kita lupa kepada Yang Maha Memberi kita kejayaan tersebut.

Seolah-olah kita merasakan bahawa, kejayaan yang kita tempa itu merupakan hasil usaha titik peluh dan susah-payah kita tanpa menghubungkaitkan kejayaan kita itu dengan Allah SWT.

Bila dipuji kejayaan kita
Sebenarnya bukan milik kita
Oleh itu sedarlah sentiasa
Semua itu dari Allah SWT

Hati gembira terasa bahagia
Itulah tanda nikmat dariNya
Ingat Allah SWT bersyukurlah padaNya
Wajiblah kita lafazkan Alhamdulillah

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Munafiquun ayat 8.

" ............. Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasulnya serta bagi orang-orang yang beriman , akan tetapi orang-orang munafiq itu tidak  mengetahui (hakikat yang sebenar)"

Ayat di atas ini, menegaskan bahawa kejayaan itu milik Allah SWT dan RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman yakni kejayaan Islam itu sendiri.

Tidak peliklah kiranya ada dalam kalangan kita sendiri yang mengatakan bahawa

~ KEJAYAANKU ADALAH KEJAYAAN ISLAM ~

Sememangnya kita ini tidak lari daripada kejayaan dan kegagalan. Semua ini merupakan satu ujian daripada Allah SWT untuk menguji hamba-hambaNya.

" Sejauh manakah tahap keimanan kita kepada Allah SWT dan bagaimanakah kita membuktikan keimanan kita kepadaNya. "

Apabila berjaya, sememangnya bahaya bagi kita.

Kenapa?

Kerana Allah SWT benar-benar mahu menguji kita. Adakah dengan kejayaan yang kita kecapi itu, menambahkan lagi kesyukuran kita kepadaNya ataupun hubungan kita dengan Maha Pemberi itu semakin jauh?

Dan apabila kita menemui kegagalan, seperti biasa kita dengar - "Gagal itu tidak bererti kita gagal selama-lamanya. Mungkin Allah SWT menangguhkan kejayaan kita pada suatu masa di mana kita benar-benar sentiasa mengingatiNya.  Atau Dia mahu menguji kita, adakah kita mempersalahkan Dia atas kegagalan kita?"

Buka mata buka hati.

" Jika kita mengingati Allah SWT, maka Allah SWT akan sentiasa mengingati kita. Ketahuilah bahawa Allah SWT bersama-sama kita "

Kejayaan kita pada hari ini belum menentukan kejayaan kita pada hari muka. Dan yang paling penting, adakah kita telah bersedia untuk kejayaan kita di 'alam kehidupan' kita yang kedua?
Ataupun kita mahu gagal di sana nanti?

Maka, kejayaan yang kita kecapi itu tak semuanya akan kekal. Hasrat yang terpendam dalam hati itu perlulah kita menghubungkaitkan dengan Allah SWT. Dan kegagalan itu merupakan titik tolak kepada kejayaan kita. Asalkan kita terus istiqamah dalam beramal. Kerana Allah SWT tidak akan bertanyakan kepada NATIJAH ( Hasil ) tetapi Dia akan bertanyakan kepada kita setakat mana kita berusaha.

Akhir kata dariku, sambutlah salam rindu dan salam tahniah dari diri hamba atas setiap usaha dan kejayaan sahabat-sahabat, mahupun kejayaan memujahadahkan diri. Moga-moga kita sama-sama menjaga HDA ( Hubungan Dengan Allah SWT ). Salam mahabbah.

READ MORE

HATI TERLUKA : SALAHKAH AKU MENCINTAI?


CINTA 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk ayah ibumu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu pada suamimu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk anak-anakmu?
Pasti jawapanku 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu untuk saudara seakidahmu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai mereka bertanya, lalu berapa pula peratus cintamu untuk dirimu sendiri?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai mereka keliru lantas tertanya-tanya, masakan begitu?
Bukankah setelah dibahagi, cinta itu pasti berkurang peratusannya?
Pasti jawapanku, beserta senyum malu-malu,
Ada satu di dunia ini, walau dibahagi seberapa banyakpun, ia tetapkan sama..
Tidak berkurang walau sedikitpun,
Itulah CINTA…
Anugerah paling berharga dari Yang Maha Esa - ummu husna

Roh semulajadi manusia ingin disayangi dan menyayangi, ingin dikasihi dan mengasihi serta ingin dicintai dan mencintai. Perasaan sayang manusia tiada terhad sesama insan semata tetapi meliputi semua makhluk sama ada yang bernyawa. Sayang pula diberi hanya sesama manusia, tidak kepada benda.

Ini yang membezakan di antara 'sayang' dengan 'kasih sayang'. Manakala perasaan cinta pula walaupun tidak salah diberikan sesama makhluk tetapi cinta paling agung hanya layak diberikan untuk Tuhan.

Menyintai atau ingin dicintai oleh manusia bukanlah kemuncak cinta atau cinta agung, kerana cinta sesama manusia tidak kekal. Paling lama sekadar tempoh masa kita masih hidup. Bahkan sering berlaku dalam sebahagian perjalanan usia kita lagi, iaitu sebelum kita mati, cinta itu telah pudar atau terungkai sama sekali. Cinta yang diagung-agungkan dan dipuja-puja itu hancur berkecai.




KISAH HATI SEORANG PEMUDA DAN LELAKI TUA

Hati pemuda tersebut sangat sempurna, sedangkan kepunyaan lelaki tua begitu berantakan dengan bekas-bekas luka dan air mata

Kata lelaki tua :

"Kepunyaanmu adalah sempurna, namun aku tidak sesekali akan menukarnya dengan hatimu. Andai saja kau lihat wahai anak muda, setiap bekas luka di hatiku ini mewakili setiap seorang yang telah aku berikan cintaku buat mereka.


Aku merobek sepotong hatiku dan memberikannya kepada mereka, dan setiap kali itu juga mereka memberiku sepotong dari hati mereka untuk mengisi tempat kosong di hatiku ini, tetapi kerana potongan-potongan itu tidak tepat, lalu menyebabkan ketidaksempurnaannya, bahkan ia kelihatan kasar dan tidak rata.


Namun, aku tetap menghargainya, kerana pemberian mereka mengingatkanku pada cinta yang terbina bersama antara kami. " Panjang lebar bicara orang tua. Si pemuda terpaku mendengar patah katanya.

"Kadang-kadang aku telah memberikan potongan hatiku, tetapi orang yang kuberikan potongan hatiku itu, tidak memberikan kembali sepotong hatinya kepadaku. Inilah yang mengakibatkan wujudnya lubang-lubang ini.

Kau tahu wahai anak muda, sesungguhnya memberikan cinta adalah bermakna memberikan peluang dan kesempatan. Walaupun bekas robekan itu menyakitkan, ia akan tetap terbuka lantas mengingatkanku tentang cinta yang masih aku miliki untuk mereka. Dan aku berharap suatu ketika nanti mereka akan kembali dan mengisi lompong-lompong kosong yang sekian lama kutunggu-tunggu agar ia diisi.

Nah, sekarang fahamkah engkau tentang kecantikan sejati wahai orang muda?




CINTA YANG TIDAK PASTI

Menangis.
Seakan terpancar kefahaman di dalam diri ini bagaimana anjuran ‘mencintai’ yang dimaksudkan oleh junjungan mulia, Muhammad SAW menerusi sabdanya yang bermaksud :

“Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radiallahuanhu, pembantu Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ia bermaksud, memberi sepenuh hati. 100%. Yang terbaik!

Sebagaimana kita menginginkan yang terbaik buat diri sendiri, begitulah juga sewajarnya yang kita lakukan/berikan kepada orang di sekitar. Tetapi, dengan satu ingatan. Jangan pula mengharap balasan yang sama, 100% , terhadap apa yang telah diberikan itu, kerana bila pemberian mengharap balasan, maka dibimbangi tiada lagi keikhlasan padanya.

Usah dahagakan kita cinta yang tidak pasti. Mari bersama kita usahakan, walau kasih tidak dihargai, kita tetap memberi. Walau khidmat tidak dipeduli, kita terus mencurah bakti. Ingatlah, andai satu ketika kita tidak mengenal erti kehancuran, kita tidak akan pernah tahu apa yang membuatkan kita utuh dan teguh untuk hari-hari seterusnya.

Memburu cinta Tuhan tidak akan keseorangan dan kesepian. Biarpun tiada kawan bersama, kita tidak akan rasa kesunyian dan ketakutan kerana Tuhan yang menjadi cinta agung sentiasa ada bersama. Malah Tuhan bukan sekadar boleh memerhati, bahkan boleh menjaga dan melindungi kita. Malah di waktu kita tidur, di kala kekasih yang paling hampir dan paling kita cintai pun tidak mampu untuk menjaga kita. Tuhan boleh menjaga dan mengawal kita kerana Dia tidak tidur.




YAKINLAH!

Allah mahu mendidik kita, DIA ingin mengingatkan kita bahawa tiada cinta yang sempurna selain cinta-NYA, yang hanya dapat dirasakan oleh pemilik hati-hati yang mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

Hati yang sering dilukai lalu sembuh setelah dirawat dengan zikir kepada Illahi, adalah hati yang indah, bercahaya dengan kasih sayang dari yang Maha Esa. Walaupun luka masih ada, namun sifat sabar, reda dan bersedia memaafkan menjadi ‘antiseptik’ yang menahan luka itu dari dijangkiti kuman dendam yang membawa derita berpanjangan.

Akhirnya, bersyukurlah andai memiliki hati yang sering dilukai, kerana dengannya kita belajar menjadi seorang yang lebih mengerti, memahami dan menghargai.
Walaupun kita masih muda lagi, tapi kerana salah satu peristiwa luka itulah, dapat kita menghargai orang di sekeliling yang terlalu lama sudah kita abaikan. Kerana luka jugalah, diri ini mengenal Allah setelah bertahun-tahun Islam cuma pada nama.

Hati terluka pasti ada ubatnya. Nabi ada berkata kita akan bersama dengan orang yang kita cintai di'sana' nanti. Betapa Maha Pengasihnya Allah.

READ MORE

AKAL ADALAH NUR YANG DIMASUKKAN


"Akal adalah rakaman terhadap pelbagai pengalaman"
~ Saidina 'Ali bin Abi Thalib~

Akal menyimpan pelbagai pengalaman ilmu kita sehingga semakin banyak pengalaman-pengalaman dan ilmu kita di dunia, maka semakin sedikit 'tinta-tinta' akal untuk menuangkan ilmu itu.

Maka setiap kali kita belajar, kita sebenarnya sedang menambah tinta kepada akal kita. Untuk memahami kekuatan benak akal fikiran kita, secara kiasannya akal kita boleh diumpamakan seperti pena.

Akal kita menulis di atas helaian-helaian emosi yang bernama hati. Sementara tinta untuk akal kita adalah pelbagai aktiviti atau perkara dalam kehidupan kita. Akan tetapi, pena atau akal atau roh tidak akan dapat menulis tanpa lembaran.

Lembaran tempat akal menulis itu dipanggil hati atau jiwa kita. Hati adalah emosi atau perasaan kita sehingga ia selalu mampu merasakan apapun yang kita fikirkan.



ORANG YANG BERAKAL 

Umar dan Ubay bin Ka'b dan Abu Hurairah pernah bertanya kepada Rasulallah saw
" Ya Rasulullah , siapakah orang yang pandai?"

Jawab Rasulullah " Orang yang berakal"

Mereka bertanya lagi " Siapakah orang yang sangat beribadat?"

Jawab Rasulullah " Orang yang berakal"

Lalu bertanya lagi "Siapakah orang utama (afdal)

Rasulullah menjawab " Orang yang berakal"

Lalu mereka berkata " Ya Rasulullah tidakkah orang yang berakal itu sempurna akhlak kemanusiaanya, jelas kata-katanya dan pemurah dan besar kedudukannya?"

Lalu Rasulullah menjawab " Semua itu hanya kelengkapan kepuasan hidup di dunia, sedang akhirat di sisi Allah itu untuk orang yang bertaqwa. Orang yang sempurna akal, ialah orang yang bertaqwa meskipun di dunia dia dipandang rendah hina. "

Allah menganugerahkan kita akal, janganlah biar sehingga ia di kawal nafsu.

Seperti kata-kata almarhum profesor Hamka seorang ulamak yang disegani "Hawa nafsu membawa kesesatan dan tidak berpedoman dan akal menjadi pedoman menuju keutamaan. Hawa nafsu menyuruh mengelamun, berangan-angan, tetapi akal menyuruh menimbang."



AKAL ADALAH NUR

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Al Mahbar daripada Anas ra bahawa Abdullah b. Salam pernah bertanyakan kepada Rasulullah saw tentang perbezaan akal dari segi naqal.

Dimana para malaikat telah bertanya kepada Allah SWT: Maksudnya:"Wahai Tuhan kami , adakah Engkau telah menciptakan sesuatu yang lebih besar daripada Arasy."

Allah SWT berfirman:" Ya..iaitu akal"

Malaikat:" Sampai ke mana batas akal itu?"

Allah swt berfirman:" Jauh sekali untuk dapat dibatasi dengan ilmu. Adakah kamu mempunyai ilmu
tentang butiran pasir?"

Jawapannya sudah pasti tidak.

Allah SWT berfirman:" Sesungguhnya Aku telah menjadikan akal itu bermacam sebanyak bilangan butiran pasir sebagai gambarannya. Begitulah akal yang diberikan kepada manusia , ada yang diberi sebutir , dua tiga, sepuluh, segenggam , sebakul malahan ada yang di beri lebih dari itu. ."
Akal adalah NUR yang dimasukkan ke dalam hati dan merupakan satu ghazirah (instict) yang dengannya manusia dapat memperolehi ilmu. Akal adalah sumber dan asas ilmu.

READ MORE

MAHA SUCI ENGKAU YA ALLAH


Dalam ayat ini, Allah menciptakan langit berlapis-lapis atau bertingkat-tingkat. Kemudian Allah tanyakan, apakah ada sesuatu yang cacat atau retak di langit tersebut?

Jawabannya tentu saja tidak.

Kemudian Allah memerintah melihatnya berulang lagi (bahkan berulang kali), apakah ada yang cacat di langit itu?

Hasilnya, jika dilihat berulang kali tidak ada cacat sama sekali pada ciptaan Allah tersebut. Namun yang didapat adalah rasa payah kerana berulangkalinya menelusuri langit itu.

Syaikh As Sa'di mengatakan bahawa "jika sama sekali di langit tersebut tidak ada cacat, maka ini menunjukkan sempurnanya hasil ciptaan Allah. Ciptaan Allah tersebut begitu seimbang dilihat dari berbagai sisi, iaitu dari warna, hakikatnya, dan ketinggiannya. Begitu pula pada ciptaan Allah lainnya seperti matahari, rembulan dan bintang yang bersinar"

Subhanallah.



INDAHNYA CIPTAAN ALLAH

Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa, wujudnya alam ini menunjukkan kekuasaan Allah. Tiada alam ini tanpa ada yang menciptakannya, dan sesungguhnya tiada yang berkuasa melainkan Allah SWT.

Surah Al-Baqarah ayat 29 :

Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Allah telah mencipta alam ini dengan pelbagai hiasan, malam dengan gelapnya dan disinari dengan cahaya bintang dan bulan, siang pula dengan siangnya dengan hiasan matahari yang memancar. Allah juga menghiaskan lagi alam ini dengan pelbagai tumbuhan, bukit-bukau, gunung-ganang dan fenomena-fenomena alam yang mengikut peredaran yang ditentukan Allah SWT.

Semua yang diciptakan oleh Allah untuk hambaNya merasai kewujudan dan keindahan sifat-sifatNya.
Marilah sentiasa memuji-muja Allah tanpa jemu siang dan malam

READ MORE

CABARAN DALAM KEHIDUPAN


Siapakah kita sekalian hamba ini?
Satu persoalan yang kita sekalian hamba ini harus tahu dan mesti mencari jawapannya.
Di mana, ke mana dan bagaimana kita sekalian hamba ini dapat mencari jawapan kepada persoalan tersebut?

Segalanya ada di dalam diri kita sekalian hamba ini.

Tempoh perjalanan kehidupan di dunia ini cukup singkat. Memang kita sekalian hamba mungkin merasakan hidup 60 atau 70 tahun itu sebagai suatu masa yang agak panjang. Namun hakikatnya kebanyakan kita sekalian hamba ini lebih banyak membuang usia sia-sia berbanding menggunakan setiap detik yang ada itu penuh dengan kemanfaatan.

Seorang ulama’ mursyid bermadah “Masa itu adalah umur kita, kalau kita tidak mengisi masa dengan sebaik-baiknya bererti kita telah mensia-siakan umur kita”

Mudah-mudahan apa saja yang kita sekalian hamba ini lakukan tidak akan tergelincir dari landasan, tidak terpesong dari jalan yang telah diberi. Memang mudah memberi alasan, bahawa kita sekalian hamba ini insan nan lemah, serba kekurangan dan sentiasa tidak dapat lari dari kesilapan. Bagaimanapun, kita sekalian hamba ini tentu mengerti antara membiar diri tergelincir dengan berusaha mengelak diri dari tergelincir.

Jika tidak, masakan lahir ungkapan-ungkapan berkias bagi menggambarkan keadaan, bagi menilai situasi sebenar yang berlaku. Jangan bermain dengan api jika takut terbakar. Sifat api itu memang membakar, namun kita sekalian hamba inilah yang perlu pandai menggunakan dan mengawal api jika tidak mahu terbakar olehnya.

Namun kita sekalian hamba ini memang sukar untuk diramal cara pemikirannya, sukar diduga apa yang ada di dalam kepala serta hatinya. Malahan kita sekalian hamba ini juga kadangkala tidak mengerti tentang diri sendiri, apatah lagi ingin memahami orang lain. Bagaimana pun kita sekalian hamba ini saling memerlukan, saling mencukupkan mana-mana yang kurang. Kerana kita sekalian hamba ini bukan hidup sendirian.

Bila kita sekalian hamba kembali kepada persoalan ‘siapakah kita’, maksudnya. Mungkin kita boleh jadi sesiapa saja, boleh jadi seperti apa pun dalam kehidupan orang lain.

Makanya, setiap kita sekalian hamba ini harus merenungkan – are you here with the solution, or are you here part of the problem?

Alangkah indah, alangkah manis kehidupan ini andai kita sekalian hamba ini sentiasa membahagiakan orang lain, dan begitulah sebaliknya. Apapun, kehidupan yang kita sekalian hamba sedang lalui ini merupakan kehidupan fana, kehidupan sementara. Sedangkan kehidupan manis itu adalah kehidupan abadi yang masih jauh untuk kita sekalian hamba ini kecapinya.

Tiada sesuatu yang akan kita sekalian hamba ini perolehi dengan percuma. Apa jua, memerlukan usaha atau mungkin kita sekalian hamba ini harus membayarnya. Namun ada hal-hal yang kita sekalian hamba ini ingin perolehi tak boleh bayar dengan wang ringgit berjuta – kerana bukan itu nilainya. Mungkin sesuatu itu akan kita sekalian hamba perolehi hanya dengan keimanan, ketakwaan, keikhlasan, kejujuran atau segala macam bentuk nilai kejiwaan.

Belayar di lautan kehidupan, biarpun kita sekalian hamba ini tahu ke mana arah yang hendak di tuju. Kita sekalian hamba ini telah di arah yang harus di tuju. Telah disediakan kemudi, telah di beri pendayung, tinggal cuma melayarkan bahtera kehidupan sahaja.
Namun, kita sekalian hamba jangan lupa pada badai yang bakal melanda, pada taufan yang menggila. Bagaimana sekalipun gelora yang melanda, selagi kita sekalian hamba tetap berpandu pada arah, tetap tidak melepas kemudi, pastinya kelak sampai jua pelabuhan nan dicari.

Adakala kita sekalian hamba ini patut-patut sangat bersyukur kepada Maha Pencipta kerana sering memberi dugaan. Andai dengan dugaan yang diberikan itu akan lebih membuka mata yang memang tidak buta. Mudah-mudahan akan lebih mendekatkan kita kepada-Nya yang sememangnya dekat. Hendaknya juga, kita sekalian hamba ini tidak terus terlena di dalam jaga – asyik dibuai keindahan kehidupan sementara.

Mungkin kita sekalian hamba patut renungkan seketika – dugaan dan kesusahan itu suatu nikmat, sedangkan kesenangan itu suatu cabaran dan tanggungjawab berat.

Memikirkan kembali, kita sekalian hamba ini dijadikan kerana apa, untuk apa. 
Berapa ramai di antara kita sekalian hamba ini menyedari bahawa kita sekalian hamba ini sepatutnya menjalankan tugas sebagai hamba-Nya? 
Berapa ramai di antara sekalian kita hamba ini yang tersesat di jalan nan terang? 
Teraba-raba mencari arah di jalan nan lurus? 
Atau berapa ramaikah di antara kita sekalian hamba ini yang tersungkur di lantai yang rata?

Hidup dan kehidupan di alam fana ini singkat – cukup singkat sebenarnya
Namun biar sesaat atau sehari sekalipun kita sekalian hamba ini dihidupkan, sudah cukup memadai andai setiap detik yang diberikan itu dipenuhi dengan keberkatan. Berbanding apalah gunanya jika bernafas sejuta tahun sekalipun, tetapi tak ada sekelumit pun keberkatan yang melekat.


Kualiti atau kuantiti yang kita sekalian hamba ini perlukan?

Mudah-mudahan kita sekalian hamba ini mempunyai hidup dan kehidupan yang berkualiti. Menjadi seorang hamba yang disayangi oleh Maha Pencipta, juga disenangi oleh sesama hamba. Sentiasa senang dan tenang berbakti kepada Pencipta Maha Agung, juga sentiasa senang dan tenang berurusan dengan sesama makhluk.

READ MORE

JANJI ALLAH ITU BENAR!


Bersangka baik terhadap Allah swt maksudnya menerima apa sahaja yang diberi oleh Allah dengan hati yang redha, yakin semuanya atas dasar kasih sayang Allah yang melimpah ruah, sebagai hambanya. Rugilah kita bersangka buruk terhadap Allah bukan sahaja balasannya buruk malahan di dunia ini kita sukar untuk hidup tenang.

Janji ALLAH itu benar, jika kita yakin dengan kekuasaan Allah yang menjadi pemilik alam dunia dan alam akhirat sepatutnya kita sentiasa bersangka baik terhadap apa sahaja dugaan yang datang tanpa ada sekelumit pun rasa ragu-ragu terhadap kasih sayang Allah yang Maha Suci. Teruskan berdoa dan berusaha kerana jika tidak di dunia pasti ada bahagian kita di akhirat nanti. Yakinlah!

Berikut adalah tips dari Syeikh Abdulkadir Al Jailani untuk sentiasa bersangka baik sesama insan.

Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu : "Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".

Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku"..

Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.



Sesungguhnya!

Apa yang anda katakan terhadap diri sendiri jauh lebih penting daripada apa yang orang lain katakan terhadap anda. Oleh itu, katakan sesuatu yang positif kepada diri selalu, itu petanda anda telah bersangka baik terhadap diri sendiri.

Ingatlah, bersangka baik terhadap diri sendiri adalah modal untuk bersangka baik kepada orang lain!

READ MORE

PERTARUNGAN ANTARA IMAN DAN NAFSU!


Ketika membahagiakan diri sendiri, pernahkah kita terfikir untuk membahagiakan orang lain?

Perlu kita renung dalam-dalam dan muhasabah diri.
Di dalam kehidupan kita seharian, berapa ramai orang yang telah kita bahagiakan?
Telah kita penuhi hak mereka dengan menolong ketika mereka perlukan bantuan?
Adakah kita telah memberi nasihat, ketika mereka membutuhkannya?
Adakah kita telah meminjamkan wang ketika mereka benar-benar di dalam kesempitan?

Tidak kiralah siapakah mereka itu, keluarga sendiri, jiran, sahabat-sahabat, pengawal keselamatan di kawasan perumahan kita, penyapu sampah di pasar, ataupun orang yang tidak pernah kita kenal atau berjumpa sebelum ini.

Kehidupan bukan sekadar untuk makan, minum, bekerja, berumah tangga, melancong dan berseronok, tetapi lebih daripada itu, iaitu memanfaatkan kehidupan untuk mendapat keredhaan Al-haqq 'Azza wajjalla selain mengecapi kebahagiaan duniawi dan ukhrawi. Sabda Rasulullah SAW :

"Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain, berakhlak mulia, mempelajari al-Quran dan mengajarkannya, serta orang yang umurnya panjang tapi banyak amal kebajikannya"

Dalam apa jua kerja dan ibadah yang dilakukan, semua diantara kita mahukan yang terbaik, sekurang-kurangnya dapat memuaskan hati sebagai laluan awal untuk mengecapi nikmat kebahagiaan; suatu fitrah yang dikurniakan Allah SWT kepada kita.

Namun, kadang-kala kayu ukur yang kita gunakan dalam menilai apa yang sedang kita lakukan kurang sesuai. Yang halal itu jelas, dan yang haram juga begitu, namun bila berada di pertengahan halal dan haram, kadang-kala kita cenderung untuk menghalalkannya.

Dalam kehidupan ini, kita selalu berperang dengan diri sendiri untuk menggapai kebahagiaan.

Pertarungan antara iman dan nafsu! 

Sebaik-baik manusia, sudah pasti pernah melakari sejarah hidup yang terbina di atas kekalahan iman dalam pertarungan. Nuasa berdengung seketika, dalam keluar naik nafas kita, ke manakah pilihan yang harus dipilih.

Namun selagi nafas belum berhenti dan menyedari pertarungan belum berakhir, jangan sesekali kita berputus asa untuk memilih dan melakukan yang terbaik mengikut kayu ukur keimanan kita. Teruslah berjuang untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.

Walau sesekali kita rebah, bangkitlah segera kerana rahmat-Nya cukup luas. Sewaktu menjalani hidup ini, tiada yang lebih baik daripada dua kebajikan. Beriman kepada Allah SWT, itu yang pasti dan memberi manfaat kepada orang lain.

Manusia yang paling baik, adalah seorang yang dermawan dan bersyukur dalam kelapangan dan kesenangan, yang sering mendahulukan orang lain serta selalu bersabar ketika di dalam kesulitan..

Hadis Rasulullah SAW:

"Tidaklah seorang penzina itu berzina tatkala dia sedang beriman, tidaklah seorang pencuri itu mencuri tatkala dia sedang beriman dan tidaklah seorang peminum arak itu meminum arak tatkala dia sedang beriman." (Riwayat Bukhari).

Selagi iman bertapak kukuh di hati, selagi iman tidak tercabut selama itu manusia akan tetap menolak ajakan nafsu.

READ MORE

APAKAH NILAI SEORANG MANUSIA?


Hati adalah merupakan tapak semaian taqwa yang terbaik. Umat Islam terdahulu berjaya membina keagungan kerana memulakan perubahan dari dalam iaitu hati.
”Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu, sehinggalah mereka merubah diri mereka sendiri”. Sebagai Raja bagi manusia, hati menentukan pergerakan tentera-tentera zahir dan batinnya menurut kehendak hati. Hiasilah hati dengan taqwa.

Perumpamaan yang mudah bagi mengenal taqwa adalah ibarat dua biji belon, sebiji diisi dengan gas helium sementara sebiji lagi di tiup dengan udara biasa. Sudah pasti belon yang berisi helium akan terbang ke langit sementara belon berisi udara akan jatuh ke bumi. Begitulah kiasannya perbezaan antara seorang manusia yang bertaqwa dengan seorang yang tidak bertaqwa

"Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa” (Al Hujurat ayat 13)

Sahabat Ubai bin Ka’ab apabila ditanya oleh Saidina ‘Umar Al-Khattab akan maksud taqwa, merumuskan taqwa sebagai “berhati-hati dan bersungguh-sungguh” dalam melalui kehidupan agar seorang muslim itu tidak melakukan perkara yang haram dan bersungguh-sungguh melaksanakan setiap ibadah kepada Allah.

Apabila kita meninggalkan perkara yang haram, disitulah terserlah integriti seseorang individu. Manakala taqwa turut menuntut kita supaya bersungguh-sungguh didalam melakukan tugasan kita. Ternyata taqwa bukan sahaja melahirkan integriti, bahkan membentuk seorang pekerja yang cemerlang dunia dan akhiratnya.

Nilai Taqwa ini melahirkan insan muslim yang sentiasa mementingkan kebersamaan (cohesiveness) sesama kakitangan muslim dalam mentaati perintah Allah, serta mempunyai integriti yang tinggi menggunakan neraca Taqwa. Lantas melahirkan kesetiaan (loyalty) yang mutlak kepada Allah sebagai Empunya Khazanah Bumi (petroleum) dan sikap profesionalisma yang tiada tolok banding dalam melaksanakan tugas dalam erti kata ibadah yang sebenarnya.

Bahkan, taqwa menuntut neraca integriti yang lebih tinggi daripada neraca syarikat, sehinggalah kepada penggunaan masa dan sumber syarikat untuk tujuan yang lain selain daripada mencapai tujuan syarikat.

Seperti contoh; seorang kakitangan muslim tidak akan melakukan solat sunat ba’diyah zohor selepas pukul 2.00 petang kerana telah masuk waktu bertugas. Dari segi awlawiyat (keutamaan), taqwa menuntut beliau untuk melakukan yang wajib (bekerja) atas yang sunat (solat sunat).

Taqwa bukan sekadar inti kepada integriti, bahkan taqwa adalah inti kepada kehidupan seluruhnya. Iman bukan tanda kita sudah bertaqwa. Bahkan bertaqwalah dengan sebenar-benar taqwa! 

Akhirnya, janganlah sekali-kali kita mati melainkan dalam keadaan muslim kerana neraka bukan satu pilihan bagi kita.

Pilihlah Taqwa, nescaya terselamat kita dari api neraka.

READ MORE

CINTA LUAR BIASA : Apa yang luar dan apa yang biasa?

bercinta secara luar biasa ATAU luar biasanya bercinta?

Cinta luar biasa memang menyentuh jiwa. Akhirnya, ukuran kebahagiaan itu terletak pada betapa kuatnya hubungan kecintaan kita kepada si Dia. Dengan menjadikan hubungan cinta tersebut sebagai asas mengikat cinta dengan yang lain, InsyaAllah, cinta luar biasa akan digapai.

Suatu hari seorang sahabat Nabi saw telah bertanya kepada Nabi Muhammad saw, kenapa hatinya keras dan tak mahu menangis dan menitiskan air mata, seperti sahabat-sahabat yang lain.

Lalu baginda saw pun menasihatkan sahabat tersebut untuk mengulurkan sedekah, (dalam riwayat lain, baginda menasihatkan sahabat baginda itu untuk menyapu kepala anak yatim) Alhamdulillah setelah sahabat tadi bersedekah (atau mungkin menyapu kepala anak yatim) maka sahabat tadi mula lembut hati dan menitiskan air mata.

Sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu menghapus segala keburukan. namun begitu juga sebaliknya, sesungguhnya air bah itu juga akan mengubah pantai.

Oleh itu buat baik sebanyak-banyaknya, dan buat jahat jangan sekali.

Semakin banyak kita membuat kebaikan dan semakin jauh kita dari sebarang keburukan maka hati kita akan semakin cinta kepada Allah swt. sepertimana kata-kata saidina Ali RA :

“Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan, maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa, maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal”.

Kalau kita mahu menjadi seorang pencinta yang luar biasa kepada Allah, maka teguhkanlah ketaqwaan, buatlah semua kebajikan walaupun hanya sekadar membuang duri dari jalan. Dan jauhilah sebarang kemungkaran. Kerana kemungkaran itu walaupun ia cuma sekadar makruh, namun ia mendatangkan kebencian juga pada Allah swt.

Kerana Makruh bererti yang dibenci.

Kalau kita membuat suatu yang dibenci oleh orang tua kita, maka adakah hubungan kita dengan orang tua akan rapat atau renggang?



p/s :

Sejenak diri ini berfikir dan tertanya-tanya. Apakah diri ini mampu meraih cinta luar biasa ini?

Yang pasti, soalan ini tiada jawapan yang solid.
Apapun, berusahalah ke arah mencontohi Nabi saw dalam menggapai cinta luar biasa ni. Selebihnya, samaada kita mahu raih atau tidak cinta luar biasa ini, ukurannya biarlah Allah swt yang tentukan

READ MORE

TAWANLAH AKU DALAM CINTAMU


Meletakkan cinta dan harapan pada Tuhan akan membuatkan hati sentiasa rasa tenang dan selamat kerana kita tahu bahawa kita berada di dalam kawalan dan penjagaan satu Zat yang Maha Agung lagi Berkuasa.

Sebaliknya, manusia yang menyandarkan diri kepada cinta selain Tuhan, belum tentu makhluk yang dicintainya itu dapat mendampinginya sepanjang masa lebih-lebih lagi menjadi pelindungnya setiap masa.


SUSAHNYA MENCARI CINTA TUHAN

Bertepuk sebelah tangan saja tidak akan berbunyi.
Bercinta dengan yang tidak mencintai, akan menyebabkan seseorang itu kecewa dan merana.

Itulah lumrahnya apabila bercinta dengan manusia.Tapi sebaliknya bercinta dengan Allah, Tuhan yang Maha Pencinta atau “Al Waduud” itu, cinta kita pasti akan berbalas. Bahkan ia diberi penghargaan dan disambut dengan baik.



BAGAIMANA BERCINTA DENGAN TUHAN?

Kita mencintai Allah iaitu dengan cara beriman dan menyembahNya sepertimana yang Dia mahu, bukan sepertimana yang kita mahu. Seterusnya mentaati perintah dan menjauhi laranganNya.

Oleh kerana begitu besar dan agungnya Tuhan dalam hidup kita maka dalam kita berbuat apa sahaja, biarlah bersama Tuhan. Sertakan Tuhan dalam kehidupan, bawalah rasa bertuhan ke mana-mana.

Jadikan Tuhan segala-galanya dalam hidup, modal hidup mati kita, aset yang kekal abadi. Mencari Tuhan akan memberi keuntungan dan kebahagiaan kepada kita. Meninggalkan Tuhan, kita akan kecundang. Tuhan adalah harta yang bukan harta yang sangat diperlukan. Selain Tuhan adalah harta yang tidak memberi jaminan. Jika kita memiliki Tuhan hakikatnya kita memiliki segalagalanya manakala kehilangan Tuhan pula adalah kehilangan segala-galanya.

Menjadikan Tuhan sebagai cinta agung adalah jaminan kebahagiaan dan keselamatan hidup dunia dan Akhirat.

Allah menjelaskan bagaimana cintaNya di dalam Al-Quran kepada orang yang sungguh-sungguh beribadah berbuat kebaikan dan yang berakhlak mulia.

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang sabar."( Q.S: Ali Imran,Ayat:146.)

Begitulah istimewanya orang yang bercinta dengan Tuhan yang Maha Pencinta.
Kita pasti tidak mau gagal dalam bercinta. Agar cinta kita berbalas, bercintalah denganNya,Tuhan yang Maha Pencinta. Dengan curahan cinta Nya yang Agung. Pasti akan mendapat balasan cinta yang istimewa
dariNya. Jangankan di Akhirat, selagi di dunia pun, akan terasa di hati balasan cintaNya.

Rasulullah pernah bersabda :

Cintailah sesuatu itu sekadarnya saja. Kerana berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika. Dan bencilah yang engkau benci itu sekadar saja. Kerana berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada suatu ketika.

"Cintailah pemilik cinta, maka kita akan lebih dicintai"
"Jika cinta adalah ketertawanan, maka tawanlah aku dalam cinta kepadaMu"

READ MORE

MASIH MENCARI CINTA


"Kita selalu mengucapkan cinta kepada Allah. Tetapi pernah tak kita terfikir, adakah Allah juga cinta kepada kita?" kata-kata yang cukup menyentak jiwa ini.

Kuat!

Saya terdiam tidak terkata. Merenung-renung kebenaran dari bicara. Bukan tidak pernah terfikir, cuma selalu terlupa.

Berapa ramai manusia yang mengharap dirinya jatuh cinta, lalu setelah merasakan dirinya dicintai, membalas pula huluran kasih itu dengan cinta yang serupa. Maka jadilah mereka dua insan bercinta, saling kasih mengasihi.

Alangkah indahnya kala cinta bersemi, lebih indah bila kasih yang diberi berbalas cinta sejati.

Sebaliknya, bila cinta tidak dihirau, kasih dipandang sepi, bagai bertepuk sebelah tangan, kesakitan yang menjalar dari itu umpama menghulur sebungkus hadiah, tetapi akhirnya ia ‘mendarat’ di tempat sampah.

Sungguh pedih dan menyakitkan perasaan!





CINTA SEORANG PENDAKWAH : bagaimana?

Jika diberi gelaran pendakwah, masih bukan aku
Jika diberi gelaran pejuang, lagi belum mampu

Seorang pendakwah yang baik tak mampu menduakan TuhanNya, peribadinya unggul. Hatinya hanya punya satu cinta, CINTA PADA TUHAN.

Biarpun beribu kepandaian yang dianugerah padanya, ilmu yang banyak belum tentu diamal. Ilmu yang cetek juga perlukan penambahan. Bila diri disanjung mulia, risaulah dikau akan sombong bangga. Bila dikau rasa HEBAT. Takut-takut Allah Murka.

Dirimu kelihatan tenang, tapi bimbanglah jika ujian tak mendatang. Kerana ujian itu tanda kasihNya. Banggakah kita jika tak pernah diuji?

Aku ini juga bukan siapa-siapa. Cuma hambaNya. Yang masih merangkak dalam kesamaran. Cinta Tuhan masih belum mampu diraih. Mujahadah terlalu rapuh. Tapi,walau apa pun, KITA ADALAH KHALIFAH. Menumpang di dunia kerana mengabdi diri pada yang kuasa. 

READ MORE

IKHLAS ITU RAHSIA ALLAH BUKAN?


Kasihan kita melihat ustaz-ustaz pada hari ini. Yang ingin ikhlas berceramah dan berterusan istiqomah menjadi seorang pendakwah (daie) di jalan Allah.

Benar. Pendakwah melalui medan ceramah hari ini sangat tercabar. Membimbangkan.

Bukan kerana bimbang ditangkap kerana ketiadaan tauliah, itu tidak mencabar, Atau di kurung melalui akta ISA kerana sebab yang sepatutnya anda faham. Dan bukan pula dibuang kerja kerana dakwahnya menentang arus politik kerajaan atau membelakangkan AUKU.

Sebenarnya, apa yang lebih mencabar adalah menjaga hati untuk ikhlas. Ada yang ‘jatuh' kerana beberapa ada tujuan baru yang mengambil alih tempat ‘ikhlas' kerana Allah swt iaitu :

Keujuban di dalam diri : Ada penceramah yang merasa diri sebagai hero dan telah mencapai maqam pejuang berkorban persis Nabi Ibrahim a.s apabila mereka ditangkap, dipenjara dan didenda oleh pihak yang menghalang dakwah.

Malangnya, ujian itu merosakkannya, hingga dirasakan diri terlalu hebat, lalu dinafikan ketulenan pejuang lain yang belum ditangkap sebagai amatur dan bertaraf rendah. Sama ada melalui tulisan, percakapan mahupun gerak hatinya.

Lebih menyedihkan jika peristiwa halangan ini mengubah niatnya kepada untuk terus menerus dilihat gagah dan berani dalam dakwahnya. Hilang habislah tujuan Allah dari hatinya.

Imbuhan dan bayaran : Penceramah sekali lagi digegarkan keikhlasan mereka akibat imbuhan dan bayaran. Mungkin pada mulanya ramai penceramah yang mampu berniat ikhlas kerana Allah, menyampaikan ilmu kerana menurut sunnah Rasululah s.a.w. 

Namun lama kelamaan, apabila nama menaik, muncul di kaca TV, di corong radio, berteleku di hadapannya para bangsawan, menteri, jutawan dan pembesar, ikhlasnya menjadi semakin terhakis.

Populariti menjadikannya semakin ‘sakit' di sisi Allah. Sebarang ceramah tanpa bayaran atau tidak menepati statusnya akan ditolak mentah atau dituntut tunggakan bayaran. Jika sekadar tambang dan kos-kos biasa, mungkin ia munasabah, namun apa yang dituntut dan diminta adalah tinggi menggunung tanpa mengira status pihak yang menjemput. Di ketika itu, Imbuhan dan bayaran telah mengambil tempat Allah swt dalam hatinya.

Kecintaan kepada pujian : Penceramah juga diserang oleh rasa cinta kepada pujian manusia, segala isi ceramah cuba difikirkan apa yang sesuai dan disukai oleh pendengar

Jika pendengar sukakan gelak, seribu satu macam ceritera lucu mengundang tawa akan dimainkan.
Jika pendengar sukakan dalil-dalil dan kata-kata ulama dan para sahabat akan dipersembahankan,
Jika pendengar sukakan ‘nota kaki' dan nama kitab, itu juga akan digariskan dan disebutkan dengan lancar lagak seorang mujtahid ulung.

Benar, ada yang mampu untuk terus ikhlas, menyediakan semua itu bagi menambah keberkesanan ceramahnya, membawa manusia kepada Allah swt, namun tidak sedikit yang ikhlasnya menjadi pudar, lalu semua itu disediakan agar dilihat,

‘Hebat', ‘Alim', ‘Pakar' ‘Bijak', ‘Best', ‘Sarjana', ‘Setaraf Tok Guru', ‘Persis Mujtahid' dan pelbagai lagi tujuan-tujuan salah yang dimomokkan oleh Syaitan setiap hari.

Di benak para pendakwah melalui ceramah ini, sentiasa berusaha untuk ikhlas kerana Allah, namun Syaitan sentiasa berjuang merosakkan ikhlasnya dengan apa yang tersebut di atas malah berpuluh lagi cara.

Ya Allah, alangkah mencabar dan sukarnya untuk mengekalkan keikhlasan dalam perjuangan melalui medium ceramah.

Benar. Kasihan ustaz-ustaz kita. Dilema ke"ustaz"an. Namun ada bersangkut paut dengan para daie yang menggunakan medium lain selain berceramah yang perlu dimuhasabah. Termasuklah diri ini!

READ MORE

JIKA ENGKAU CINTA KATAKANLAH


Jika engkau cinta katakanlah :

"Inilah jalanku, aku mengajak kalian kepada Allah dengan bashiroh, aku dan pengikut-pengikutku Maha Suci Allah! dan aku bukan termasuk orang-orang yang musyrik".

Jalan dakwah panjang terbentang jauh ke depan. Duri dan batu terjal selalu mengganjal, lurah dan bukit menghadang. Hujungnya bukan di usia, bukan pula di dunia tetapi syurga dan redha Allah.

Cinta adalah sumbernya, hati dan jiwa adalah rumahnya.



PERGILAH KE HATI MANUSIA

Pergilah ke hati-hati manusia ajaklah ke jalan Rabbmu. Nikmati perjalanannya, berdiskusilah dengan bahasa bijaksana. Dan jika seseorang mendapat hidayah keranamu, itu lebih baik dari dunia dan segala isinya.

Pergilah ke hati-hati manusia, ajaklah ke jalan Rabbmu. Jika engkau cinta maka dakwah adalah faham,
Mengerti tentang Islam, Risalah anbiya dan warisan ulama

Hendaknya engkau fanatik dan bangga dengannya seperti Mughiroh bin Syu’bah di hadapan Rustum
Panglima Kisra.




JIKA ENGKAU CINTA KATAKANLAH

Jika engkau cinta maka dakwah adalah ikhlas menghiasi hati, memotivasi jiwa untuk berkarya seperti yang telah dikumat-kamitkan setiap kali solat dalam doa iftitah, “Sesungguhnya shalatku, Ibadahku, hidupku, dan matiku semata bagi Rabb semesta”.

Berikan hatimu untuk Dia, katakan “Allah Ghayatuna”

Jika engkau cinta maka dakwah adalah amal Membangun kejayaan ummat kapan saja di mana saja kamu berada Yang bernilai adalah kerja bukan semata ilmu apalagi lamunan Sasarannya adalah perbaikan dan perubahan, al ishlah wa taghyir Dari diri pribadi, keluarga, masyarakat hingga
Negara Bangun aktivitas secara tertib untuk mencapai kejayaan

Jika engkau cinta maka dakwah adalah jihad sungguh-sungguh di medan perjuangan melawan kebatilan. Tinggikan kalimat Allah rendahkan dugaan syaitan durjana. Bekerja keras tidak kenal lelah adalah rumusnya. Tinggalkan kemalasan, kesenangan, dan berpangku tangan

Jika engkau cinta maka dakwah adalah taat Kepada Allah, Rasul, Al-Qur’an dan sunnahnya serta orang-orang bertaqwa.  Taat adalah wujud syukurmu kepada hidayah Allah. Kerananya nikmat akan bertambah melimpah penuh berkat.


Jika engkau cinta maka dakwah adalah tsabat Hati dan jiwa yang tegar walau banyak rintangan. Buah dari sabar meniti jalan, teguh dalam barisan. Istiqomah dalam perjuangan dengan kaki tidak tergoyah. Berjalan tempang jauh dari penyimpangan.

Jika engkau cinta maka dakwah adalah tajarrud Ikhlas di setiap langkah menggapai satu tujuan. Padukan seluruh potensimu libatkan dalam jalan ini. Engkau adalah daie sebelum adanya kewujudan engkau. Dakwah tugas utamamu sedang lainnya hanya selingan.

Jika engkau cinta maka dakwah adalah tsiqoh. Kepercayaan yang dilandasi iman suci penuh keyakinan kepada Allah, Rasul, Islam, Qiyadah dan junudnya. Hilangkan keraguan dan pastikan kejujurannya. Kerana inilah kafilah kebenaran yang penuh berkah.

Jika engkau cinta maka dakwah adalah ukhuwah. Lekatnya ikatan hati terjalin dalam nilai-nilai persaudaraan. Bersaudaralah dengan muslimin sedunia, utamanya mukmin mujahidin. Lapang dada merupakan syarat terendahnya, itsar bentuk tertingginya. Dan Allah yang Maha Mengetahui menghimpun hati-hati para daie dalam cintaNya.

Berjumpa kerana taat kepadaNya. Melebur satu dalam dakwah ke jalan Allah. Saling berjanji untuk menolong syariatNya. Ya Allah Ya Tuhanku semoga perjalanan dakwahku ini di terima oleh Engkau. Semoga Umat Nabi Muhammad SAW menjadi umat-umat yang berbahagia di Akhirat kelak. Amin.

READ MORE

HEBAT TAK BLOG SAYA?



KENAPA SAYA BLOGGING?

Rentetan entri saya yang pertama (klik) bertajuk "DAKWAH MELALUI POSTER", telah saya kupas bagaimana dan mengapa saya menggunakan serangan dakwah melalui medium poster. Kini, dengan kesegaran nafas setelah hampir sebulan bergelumang, saya perlu buat SWOT (postmortem) sejauh mana keberhasilan tenaga, masa dan buah fikiran yang telah saya laburkan.

Anda rasa bagaimana? Hebat?
Di mana hebatnya? Apakah indikatornya? KPI?

Saya tidak kisah pengunjung blog saya hanya seorang dalam sehari atau TIDAK ada seorang pun.
Saya tidak kisah followers blog saya tidak mencecah beratus-ratus
Saya tidak kisah hasil kerja saya dikritik mahupun tidak dipuji
Saya tidak kisah masa saya terbuang banyak di sini

Bukannya saya dapat duit atau sebarang habuan. Namun saya kisah jika dalam sehari tidak ada seorang pun yang membaca tazkirah (peringatan) walau dalam masa kurang 5 minit.

Saya risau jika saya tidak menulis ilmu dan pengalaman yang telah saya timba selama ini telah hanyut dek ditelan kesibukan perubatan.
Saya risau jika saya tidak berkarya tahap imaginasi saya tidak sekreatif dahulu.
Dan paling saya risau adalah....


Andai kata Tuhan mahu cabut nyawa saya sekarang, saya tidak ada apa-apa bekalan yang boleh saya bawa.
Saya hanya sehelai sepinggang. Apa yang saya ada? Tidakkah saya tergolong dalam kalangan orang yang rugi dan tercela?

Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi ada berkata:

"Manusia tidak boleh dinilai daripada banyak bilangannya atau besar ukuran tubuhnya. Maka begitu jugalah umur manusia, tidak seharusnya dipandang daripada panjangnya (hidup) kerana kadang-kadang manusia diberi umur panjang tetapi tidak ada berkatnya. Manakala ada orang yang singkat usianya tetapi dapat berbuat banyak, melakukan pelbagai kebajikan, dan malah melakukan amal yang terbaik."

Nabi kita juga ada berpesan :

"Sebaik-baik manusia, yang panjang usianya dan baik amalnya. Bermakna, ada orang yang singkat umurnya tetapi dari segi kualiti amalannya cukup baik.




APA YANG ADA?

Ilmu perubatan yang saya belajar ini belum lagi saya gunakan sepenuhnya untuk berbakti pada masyarakat dan agama.
Malah ilmu-ilmu di dada masih tersemat kemas, tidak terusik untuk saya kongsikan demi kemajuan ummah.
Karya saya yang pernah dianugerahkan paling kreatif dan kritis satu masa dahulu tidak setajam lagi
Potensi, kemahiran diri dan kelebihan belum lagi saya salurkan seoptimanya di jalan Allah

Sudahlah bakat dan minat saya dalam dunia pidato ditanam hidup-hidup untuk pengorbanan masa pengajian. Mahu bercakap di hadapan sekarang pun tidak selantang dahulu. Tidak secergas dahulu. Tidak seagresif dahulu. Pendek kata, saya tidak seaktif dahulu.

Semuanya semakin pudar, berkurangan sejajar masa tua saya. Ya , saya semakin tua. Saya tidak semuda dahulu.




MASIHKAH ADA HARAPAN?


Saya hanya berharap dengan sedikit perkongsian di dalam blog comot ini dapat dijadikan "ole-ole" saya dalam penghijrahan ke destinasi terakhir nanti. Saya tidak mengharapkan lebih, cuma secebis doa agar apa yang saya tulis, apa saya usahakan dapat membuka hati kita semua. Mungkin mudah untuk menulis atau berkata tapi amat payah untuk berpraktikal.

Memang sukar sekali untuk berubah. Apatah lagi mengetuk pintu hati seorang manusia. Ia perlu daya tarikan. Lain daripada yang lain. Selalu dimekap dengan hembusan nafas yang segar supaya mudah "masuk kepala" dan senang nak faham.

Dalam kesuntukan masa, saya cuba untuk semarakkan lagi medium poster ini. Alhamdulillah ada sorang 2 bertanyakan bagaimana mahu membuat poster seperti saya. Saya puji mereka.

Saya berjanji akan berkongsi cuma mahu mencari masa. Biasanya menulis entri bagi saya tak sampai 10 minit namun mahu sediakan entri tutorial perlukan lebihan masa sebab nak mengajar orang supaya mudah faham. Kalau secara live tak mengapa juga.

Di sini, saya hanya kongsikan rahsia saya buat banyak poster. Bagi saya, personally, saya perlukan situasi yang tenang dan mendamaikan jiwa sehinggakan saya bersemangat membuatnya lebih daripada 10 poster dalam sesuatu masa. Selalunya saya buat di rumah, memang kena kuat bermujahadah untuk tidak leka buat kerja tidak berfaedah.

Selain itu untuk menulis entri/post saya buat waktu pagi-pagi. Alhamdulillah sepanjang bulan rejab saya rajin bangun malam untuk bersahur dan sebagainya, mungkin kesedaran tentang "kematian itu semakin hampir" bila Allah beri pengalaman "nyawa di hujung tanduk" apabila accident teruk baru-baru ini.

Banyak lagi cara dan tips yang bakal saya kongsikan.

Akhir sekali, apa yang boleh saya kongsikan dalam versi saya menaikkan semangat diri  :

"Manusia akan mati. Pidatonya akan mati. Tetapi penulisannya kekal hidup. Karyanya tetap bernafas walau ditelan zaman"
Begitulah warisan imam-imam kita, juga tidak terkecuali pemidato terhebat dari Indonesia Pak Suharto, walaupun tubuh badan mereka sudah reput dimakan anai-anai dan serangga, namun karya-karya serta corak pemikiran mereka masih hidup dan digali untuk diberi nafas baru supaya serasi dengan selera generasi baru

Benar. Jika anda minat pidato Pak Suharto, dia telah mati lama dahulu
Jika anda minat peribadi Imam Bukhari, beliau telah lama meninggal dunia
Jika anda obses as-syahid Imam Hassan al-Banna dan Syed Qutub, mereka telah lama syahid
Jika anda kasihkan Nabi Muhammad SAW, baginda telah lama wafat meninggalkan ummatnya

Yang ada, hanya Al-quran dan sunnah Baginda. Karya-karya agung sahabat-sahabat baginda dan para pejuang terdahulu.


Ingatlah pesan Nabi kita :

Dari Abdullah Ibn Amru Ibn Al-Ash, Rasulullah S.A.W. bersabda: "Sampaikan dariku walau satu ayat!" (Hadith Riwayat Al-Bukhari)

dan ingatlah pesan terakhir Nabi kesayangan kita sebelum menghembuskan nafas :

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu." (antara isi khutbah terakhir Rasullah SAW)

READ MORE

TIADA ISTILAH KALAH!


PERJUANGAN MENEGAKKAN KEBENARAN

PERJUANGAN bukanlah jalan yang singkat, mudah dan disambut dengan alunan kompang, atau dihampari dengan karpet merah. Tetapi ia adalah satu jalan yang hanya diambil oleh mereka yang sanggup mengorbankan harta, masa dan diri mereka bila sahaja diperlukan. 

Jalan yang dipenuhi onak duri dan ranjau. Dan mereka yang berada di atas jalan ini bukanlah mereka yang leka akan dunia yang fana ini. Mereka sentiasa memastikan segala tindakan dan tingkah laku hanyalah utk membela perjuangan ini.



TIADA ISTILAH KALAH DALAM PERJUANGAN

Kemenangan yang di perolehi, bukanlah tanda kebenaran atau kebathilan sesuatu yang di perjuangkan. Siapa yang menang bukan makna dia betul kerana kemenangan, siapa yang kalah pula bukan bermakna dia salah kerana kekalahan.

Dalam perjuangan Rasulullah SAW berjuang menegakkan Islam pun ada masanya Nabi menang, dan ada masanya Nabi SAW kalah.

Adakah semasa Nabi SAW kalah, ianya menunjukkan perjuangan Nabi itu salah?
Nabi SAW tetap benar ketika menang ataupun kalah dalam peperangan atau perjuangannya.

Kemenangan ada kalanya bukan tanda benar atau salahnya sesuatu usaha dalam perjuangan. Tetapi merujuk kepada kenapa perjuangan itu dilakukan. Kemenangan sebenarnya ialah dinilai apa yang menepati menurut Al-Qur'an dan Sunnah Nabi SAW. Itulah kemenangan!

Kemenangan menegakkan kebenaran. Kemenangan melawan kebathilan dan berusaha menyanggahi segala yang bercanggah dengan hukum Allah. Dan menjadi sejarah kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW memang amat sukar untuk menang, tetapi Nabi SAW dan sahabatnya tidak berhenti berjuang kerana kalah dalam perjuangan.

Menang adalah amanah untuk memikul dan melaksanakan perintah Allah atas kemenangan. Dan kalah pula bukan bermakna salah dan terus lemah untuk memperjuangkan kebenaran. Setiap kali kekalahan itu ditempuhi, ianya adalah ujian untuk menilai tahap kesabaran. Dan sudah semestinya menjadi muhasabah untuk mendesak kepada peningkatan daya juang bagi lebih melakukan pengorbanan bagi meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran.

Bersabarlah kerana Rasulullah SAW juga melalui perjuangan dengan penuh kesabaran dan keyakinan yang tinggi akan pertolongan Allah bagi merempuh rintangan yang lebih dahsyat dari ini.

Dan kenapa perlu berjuang?
Kerana ianya adalah perintah Allah, dan Allah akan mengganjarinya dengan kemuliaan.

Maksudnya ; “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu;
yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman ( syurga) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar.” As-Saf ayat 10-12

Kemenangan sebenar adalah kemenangan mempertahankan yang benar itu benar dan yang salah itu tetap salah dalam apa juga keadaan dan situasi, walaupun dalam nilaian manusianya kita kalah.

READ MORE

DETEKTIF CONAN IDOLA SAYA

Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah



Saya masih ingat lagi sewaktu zaman kecil-kecil dahulu cerita kartun yang paling suka adalah cerita Conan, satu kisah berkiblatkan dunia penyelidikan, analisa, pembongkaran bukti dan hujah mengajak para penontonnya bukan sekadar menonton sambil ternganga mulut, malah secara halus berkempen agar berfikir secara kritikal, konstruktif dan futuristik. Sehingga kini walaupun saya tidak suka tonton cerita kartun tetapi cerita kartun Conan dan buku komik Conan menjadi pilihan saya mengisi masa ketika bercuti di kampung.

Mungkin daripada tarbiyyah sebegitu menambahkan minat saya dalam arena penghujahan dan perbahasan.

Andai kita lihat realiti semasa, dunia akhir zaman fitnah tersebar bak cendawan selepas hujan.
Sebagai contoh kes liwat dan video seks DS Anwar Ibrahim. Di mana kebenarannya?

Manusia tanpa segan silu menyebarkan berita palsu tanpa bukti, hujah dan fakta yang sahih. Demi kelangsungan nyawa politik dan kepentingan-kepentingan kroni, materialistik, pangkat dan nama, agama Islam mereka jajakan. Dipolitikkan dengan bernafsu tanpa memikirkan akibat dan kemarahan Allah.

Media massa yang dikongkong sanggup dilucutkan etika profesional, kebebasan media disekat tanpa kompromi untuk survival politik. Sungguh keBERSIHan politik acuan islam telah diKOTORkan oleh tangan-tangan yang tidak bermaruah.





FITNAH IBARAT API

Kemajuan teknologi menyenangkan kita semua tetapi ada segelintir yang menyalahgunakannya sehingga membawa kepada penyebaran fitnah. Penyebaran berita yang tidak benar melalui SMS, blog, FB, tv, radio, surat khabar dan media massa yang lain, banyak sekali berlaku sehingga mencetuskan kegusaran masyarakat.

Walaupun nampak mudah tetapi ini sebenarnya adalah sesuatu bentuk fitnah yang berbahaya. Mengenai fitnah, Allah berfirman bermaksud: "Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya." (Surah Al-Baqarah: 191)
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah." (Riwayat Muslim)

Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Sebagai Muslim dan Muslimah, kita wajib memperhalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah.

Ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." (Surah Al-Hujurat: 6)

Jangan anggap menyebarkan cerita tidak benar itu sekadar kesalahan kecil. Hakikatnya, fitnah itu ibarat api dan dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah.

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Jika semua tuduhan – tuduhan yang dilemparkan itu benar fitnah, apakah mungkin kita dapat senang – senang untuk berjumpa dengan si fulan semata – mata sekadar untuk meminta maaf?


Oleh, lebih baik kita diam – diam sahaja, daripada menjadi muflis diakhirat. 
Maksud berdiam di sini adalah lebih baik berdiam diri daripada menyebarkan berita yang tidak pasti dan tiada bukti. Tetapi harus untuk menyebarkan kebenaran yang sering ditutupi oleh media arus perdana. 

Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah serta empayar besar kerajaan Melayu Melaka.

Malah tentu segar ingatan kita kisah isteri Rasulullah SAW iaitu Saiyiditina Aisyah RA yang telah difitnah sehinggakan tercetusnya "perang psychology" kepada Nabi SAW seperti termaktub dalam ayat 11-16 dan 19 Surah An-Nur.

READ MORE

HATI INI KOSONG, TERASA GERSANG

Gersang Bumi Tanpa Hujan,Gersang Minda Tanpa Ilmu,Gersang Hati Tanpa Iman,Gersang Jiwa Tanpa Amal.

"Ya Allah, siramilah aku dengan rahmat-Mu, hingga aku bisa terhanyut dalam kasih sayang yang tak pernah usai dan tak pernah jemu bersama-Mu.
"Aku rindu kesejukan jiwa, ketenteraman hati larut dalam kasih sayang-MuGenggam hatiku untuk selalu istiqomah di jalan-MuAku hanya ingin Engkau dalam hidupku Ya Allah......"

Ya. Hati gersang, kosong dan benar-benar kering. Mungkin, kita aktif dan komited dengan kehadiran dalam program agama tetapi proses pendidikan, penyucian dan pembersihan hati tidak berlaku. Inilah adalah penyelewengan dan satu kesalahan yang besar bagi seorang yang bergelar mukmin muslim.

Malah, ia akan menyebabkan satu penyakit yang sangat barah dan parah bagi hati. Tanpanya, kita bimbang – kita akan dihinggapi dan dijangkit penyakit dosa dan maksiat tanpa sedar.



TAZKIYATUN NAFS - penyucian jiwa

Monolog diri ku yang kesepian

Begitu kehidupan ini membuatku bingung apa yang harus ku lakukan. Jiwa ini terasa hampa dengan kehidupan yang tak tentu arah. Aktiviti-aktiviti yang dijalani berjalan begitu saja tanpa ku bisa mengambil hikmah sekalipun itu adalah kegitan-kegiatan pengubat jiwa.

Butir-butir cinta dunia yang tak terasa begitu melenakan dan menjebak dalam candu kebodohan yang menimbulkan pelbagai hal yang tak patut bagi seorang hamba Tuhan. Apalah erti hidup ini bila hanya untuk memuaskan hawa nafsu yang tak ada hujung pangkalnya.

Semakin banyak meminum air laut, maka akan semakin haus dahaga yang kan kau rasakan. Bukan untuk kau sebenarnya, tapi untuk aku. Ya! Aku yang begitu lemah. Sesaat semangat meledak-ledak memperjuangkan agama Allah dengan segenap keimanan. Sesaat, begitu titik hitam mendera, hanya titik hitam saja.

Apa yang terjadi?


Kedustaan, kehinaan, ketidaktelusan yang begitu sengit menghakis semangat mujahid para pejuang agama Allah. Janganlah kita berkata berjuang secara zahir berperang melawan kaum kafir Yahudi. Sendiri saja tak kuasa menahan gempuran-gempuran hawa nafsu. Syaitan mungkin akan tertawa geli melihat tingkah laku kita, dengan kata-kata kita yang selalu menyalahkannya, padahal belum lagi syaitan menggoda, kita sendiri sudah tidak berdaya, terlena dalam jeratan sang hawa nafsu.

Ya kerana itulah hakikat jihad sebenarnya seperti yang diutarakan sang junjungan kita tercinta, Baginda Nabi Muhammad SAW, bahawasanya jihad akhbar (besar) adalah perang melawan hawa nafsu.

Mungkin jua diri ini terlampau jauh dengan dengan Allah saat ini. Terlalu "hubbuddunya" dan mementingkan hal-hal material dengan kesenangan-kesenangan yang menipu, tanpa sedar ternyata aku makin jauh dengan rahmat Tuhan. Aku mensia-siakannya segala kesempatan dengan "acuh tak acuh" akan segala kenyataan.
Aku gersang dengan segala yang ada pada jiwaku.

Mungkin jua selama ini aku terjerembab dalam jurang kemaksiatan yang aku tidak sedari, merasa diri sudah baik dan merendahkan orang lain. Naudzubillah. Ampunkan aku Ya Allah..

Tidak aku sedar akan kesalahan adalah perkara yang begitu membahyakan,
Ya Rabb.... hentikanlah sikapku yang gemar menyinggung dan menyakiti hati-hati hamba-Mu.....

Ya Allah, siramilah aku dengan rahmat-Mu, hingga aku bisa terhanyut dalam kasih sayang yang tak pernah usai dan tak pernah jemu bersama-Mu.
Aku rindu kesejukan jiwa, ketenteraman hati larut dalam kasih sayang-Mu Ya Allah......
Genggam hatiku untuk selalu istiqomah di jalan-Mu........
Aku hanya ingin Engkau dalam hidupku Ya Allah......




RENUNGAN BERSAMA

Pada saat ini, aku ingin mengajak semua sahabat-sahabat untuk kita melihat suatu perkara yang tidak boleh sama sekali kita abaikan dan pandang remeh. – Tazkiyatun Naf ( Penyucian Jiwa) adalah satu tuntutan kepada kita. Ia sangat-sangat penting untuk mengelak kelesuan ruh.

“ Penggerak atau pencetus amal manusia ini hanya ada dua sahaja iaitu IMAN dan NAFSU.”

Justeru bagaimanakah kita peka, sensitif dan mengambil cakna akan hakikat ini?
Saat ini, kita kembali kepada proses Hati. Ya, inilah yang selalu ditekankan oleh Rasulullah SAW dan para ulama’ muktabar. Satu buku yang harus kita baca, lihat dan semak balik tentang aspek ini ialah buku yang bertajuk Penyucian Jiwa oleh Said Hawwa.

Marilah kita semak semula amalan harian agar, “proses” itu benar-benar berlaku. Bermula dengan solat sunat tahajjud, amalan-amalan wirid al-Mathurat, lantunan bacaan Al-Quran, ibadah sunnat seperti solat sunat, puasa sunnat dan yang lain-lain lagi. Semalam, murabbi berpesan :


“ Jadikanlah Zikir al-Mathurat sebagai sarapan pagi dan mentadabbur Al-Quran sebagai makanan hati.”

Inilah langkah-langkah proses penyucian, pembersihan dan penjernihan jiwa yang harus kita perhatikan secara serius, bersistem dan terarah.

Sesungguhnya, syurga adalah natijah atau hasilan yang kita hajati setelah pengakhiran kehidupan di dunia ini. Namun, syurga adalah milik insan-insan, hamba-hamba dan manusia yang benar-benar melaksanakan proses penyucian hati diri mereka sehingga bersih, layak untuk mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT.



p/s :

Semalam saya mendengar ceramah, kuliah maghrib Tazkiyatun Nafs. Hari ini saya membelek-belek buku berkaitan Tazkiyatun Nafs. Terdetik dalam hati, sampai bila perlu menghadap buku seumpama ini. – Hati saya bersuara : “ Sampai bila-bila, sehingga dijemput oleh Allah SWT.” Murabbi saya menyebut, aspek penyucian jiwa sangat-sangat penting, sehingga hampir setiap ulama yang menulis pasti ada satu karya mereka yang akan menyentuh perkara ini secara serius, bersungguh dan nyata.

READ MORE

DUNIA BAGAI BANGKAI YANG BUSUK!


Alangkah indah,
alangkah manis kehidupan ini
andai kita sekalian hamba ini sentiasa membahagiakan orang lain,
dan begitulah sebaliknya.

Apapun, kehidupan yang kita sekalian hamba sedang lalui ini merupakan kehidupan fana, kehidupan sementara. Sedangkan kehidupan manis itu adalah kehidupan abadi yang masih jauh untuk kita sekalian hamba ini kecapinya.


IKTIBAR DI SEBALIK KEHIDUPAN FANA INI

Allah SWT. telah mewahyukan kepada Daud a.s. dengan firmanNya:

"Wahai Daud, perumpamaan dunia iaitu laksana bangkai di mana anjing-anjing berkumpul mengelilinginya, menyeretnya ke sana ke mari. Apakah engkau suka menjadi seekor anjing, lalu ikut bersama mereka menyeret bangkai itu ke sana ke mari?" Wahai Daud! Berlemah-lembutlah dalam perbicaraan dan sederhanalah dalam berpakaian. Kemasyuran namamu di khalayak ramai tidak akan serupa selama-lamanya (dengan apa-apa yang diperolehi) di akhirat.
(Hadis qudsi riwayat al-Madani)

Allah memberitahu kepada Nabi Daud a.s. dengan perantaraan Jibril a.s.mengenai dunia. Dunia penuh dengan shahwat, hawa nafsu dan kesedapan yang menjijikkan. Betapa hinanya mereka yang menyalahgunakan dunia atau menyimpang dari garis yang telah ditentukan.

Bagaikan anjing yang mengerumuni bangkai busuk dan berebut menariknya ke sana ke mari. Nabi Daud diingatkan Allah agar jangan berbuat seperti anjing atau menjadi anjing yang ikut bersama-sama anjing lainnya merebut bangkai busuk yang sangat jijik itu.


Daud yang dimaksudkan dalam hadis di atas ialah Nabi dan Rasul, bapa kepada Nabi Sulaiman a.s. yang bersambung keturunannya sehingga kepada Nabi Ibrahim al-Khalil a.s.baginda termasuk orang yang paling banyak beribadat dan bertaqarrub kepada Allah kerana Nabi s.a.w. sendiri pernah menyebut-nyebut nama Nabi Daud dalam sabda-sabda baginda:

Madsudnya, “Dialah manusia yang paling banyak beribadat.” Al-Hadis

Dunia yang digambarkan dgn gambaran yang menjijikkan itu berada dekat dengan diri kita di alam fana ini, selalu mengganggu kita dan mendorong untuk menguasai dengan cara yang tidak ada buah dan hasilnya di akhirat. Dunia seperti itu mendorong kita untuk bersenang-senang dengan pelbagai maksiat, termasuk juga berfoya-foya atau bermewah-mewah yang berlebih-lebihan.

Lawan dari dunia yang menjijikkan itu ialah kehidupan dunia yang memberikan hasil dan natijah di akhirat. Hasil ini diperolehi melalui jalan yang telah ditetapkan Allah, halal dimakan, halal digunakan dan halal pula cara diperolehinya. Inilah dunia baik yang tidak dimaksudkan dalam hadis qudsi di atas.

Mengenai dunia yang fana ini dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas setiap sesuatu.” – Surah Al-Kahfi: 45

READ MORE

IKHLASKAH AKU?


APA ITU IKHLAS?

Imam Abu al-Qasim Al-Qusyairi, seorang ahli tasauf yang terkemuka memeberikan definisi Ikhlas sebagai:

Ikhlas adalah mengesakan haq Allah swt dalam segala amalan ketaatan dengan niat, iaitu dia melakukan amalan ketaatannya hanyalah untuk menghampirkan diri kepada Allah swt, tiada apapun selain itu, iaitu mereka yang melakukannya kerana Makhluk, atau kerana ingin mendapat pujian mereka, serta kecintaan kepada pujian makhluk, atau apa jua sebab-sebab yang selain redha Allah. 
Boleh juga dikatakan, bahawa Ikhlas itu adalah pembersihan (niat) diri (semasa amalan) dari segala segala perhatian manusia. ( Al-Risalah al-Qusyairiah, tahqiq Abd Halim Mahmud, 1/443)

Memang mudah untuk melafazkan kata ikhlas, mudah juga untuk cuba menyakinkan diri bahawa diri ikhlas dalam perjuangan, namun untuk benar-benar memastikan hati sentiasa istiqamah ikhlas kepada Allah swt, ia bukan satu tugas yang mudah, namun ia maha penting dan penentu masa depan kita tatkala berdepan dengan Allah swt kelak.

Ada yang berkata, ketidakiklasan itu boleh terlihat dek tanda-tanda dari mulut melalui cakap-cakap dan kata-katanya,

dari tulisan melalui baris ayatnya,
dari tindakan melalui memek wajah dan pergerakannya.

Apapun, persoalan utama bukanlah ghairah dan sibuk meneliti keikhlasan orang lain serta mempertikaikannya, tetapi adalah meneliti dan memperbaiki diri sendiri.

Bagaimana kita berjuang dengan keikhlasan?
berjuang menentang hawa nafsu?
berjuang dalam menuntut ilmu?
berjuang menegakkan islam di dalam diri, keluarga dan masyarakat sekeliling?

READ MORE

IKHLAS TIDAK PERNAH TIPU



Dilema pendakwah : honorium (bayaran untuk profesional servis) dan royalti 

Jika honorium dan royalti tidak memberi kesan kepada hati dan niat asal perjuangannya, ia masih boleh mengekalkan Ikhlas di sisi Allah walau menerima gunungan royalti.

Jika pujian dan apa jua pujian orang terhadap penulisannya dan ketegasannya sehingga menolak sebarang bayaran hasil tulisan dan ceramahnya itu tidak berbekas di hati dan bermuzik indah di mindanya. Ia telah ikhlas.

Itu tandanya apa juga yang dari manusia sudah tidak memberikan kesan kepada hatinya, hanya redha dan cinta Allah yang ditagihinya. Yang lain hanyalah sampingan, wujud dan tiadanya tidak memberi kesan kepada jiwa.

Bagi individu ikhlas yang mengambil royalti, apa yang diperolehi pasti digunakan bagi menambahkan amal bakti kepada umat Islam yang kurang bernasib baik atau menjalankan tanggung jawab dan kewajiban yang tertanggung ke atas dirinya. Hasilnya kebajikan akan berganda hasil royalti dan honorium yang diterima.

Bagi yang menolak royalti serta mampu mengekalkan ikhlas, lalu disunyikan tindakannya itu dari pengetahuan segala macam manusia, agar tidak terganggu hatinya dengan pujian menggunung. Jika diketahui sekalipun, hatinya tidak sama sekali terbekas dengan kata-kata manis manusia, tidak pula dia merasa dan memandang rendah kepada mereka yang menerima royalti.

Orang lain tidak perlu ukur ikhlas orang lain, tidak perlu juga mempertikai atau mengiakan keikhlasan seseorang. Cukuplah masing-masing mengukur keikhlasan dirinya dan fikirkan tentangnya sentiasa.



TANPA BAYARAN BOLEH IKHLAS?

Tidak semestinya berjaya juga, ikhlas tidak semestinya tanpa bayaran dan honorium, ia di dalam hati

Manakan tidak, seseorang mungkin boleh membuang semua habuan harta itu untuk mencapai ikhlas, namun ikhlas belum tentu boleh wujud semudah itu.

Perasan diri ‘hebat', ‘merasa diri ikhlas kerana tidak mengambil habuan harta', rasa diri lebih ikhlas dari mereka yang menerima royalti, suka dan gembira menerima pujian orang sekeliling yang mengisbatkan dirinya sebagai ikhlas kerana tidak mengambil royalti dan honorium juga adalah ‘pembunuh' sebuah keikhlasan yang tulen.

Sebenarnya keikhlasan itu boleh wujud sama ada di ketika seseorang pendakwah menerima imbuhan wang hasil penulisan dan ceramahnya, atau juga sebaliknya.

Apa yang terdetik di dalam hati serta menjadi tujuan diri, itulah jawapannya.
Niat dan taqwa penentu keikhlasan seseorang hamba

READ MORE

BERKAHWIN DENGAN ORANG BUKAN JEMAAH


Fatimah membentak. “Saya tidak mahu berkahwin dengan dia. Dia bukan jemaah kita. Nanti kerja dakwah saya dihalang. Dia baik. Memang baik. Itu saya akui. Tapi dakwah ini lebih penting.”

Ustazah Sakinah diam seribu bahasa. Payah hendak menyelesaikan ribut yang melanda jiwa Fatimah waktu ini.

“Tapi Mah. Ustazah kenal dia. Dia baik. Kenapa tidak dia Mah? Kenapa tidak? Bertaqwalah kepada Allah.” Ustazah Sakinah bersuara.

“Ustazah. Beban dakwah atas pundak saya yang Allah berikan ini lebih utama saya dahulukan. Saya takut bila bernikah. Saya dihalang oleh dia. Saya tidak mahu. Dia tidak akan faham ustazah. Dakwah di atas bahu saya ini amanah dari Allah!”

Ustazah bingkas memotong, “Fatimah. Ustazah akan cuba bincang dengan yang lain. Mungkin boleh diaturkan ta’aruf dengan para ikhwah dari jemaah kita yang masih bujang.”

Ustazah Sakinah cuma mampu diam. Semangat membuak-buak Fatimah dalam menebar dakwah tidak mampu dihentikan. Tapi untuk menolak seorang lelaki yang baik, hanya beralasankan takut dakwah dihalang. Ini satu keracunan.

“Fikrah yang baik sepatutnya selari dengan suruhan Nabi. Walhal Nabi menyuruh menerima lamaran dari lelaki yang baik. Tapi Fatimah? Ah… Fatimah jelas sekali melanggar fitrah agama.” Bicara Ustazah Sakinah sendiri.

Dia kebingungan. Apa patut dilakukannya?
Fatimah terlalu degil. Tersangat degil.

“Berilah hidayah kepadanya ya Allah. Berikanlah.”

Ustazah Sakinah terus termenung dan terkedu. Nampak pada kelopak matanya perasaan kesal. Jerih. Bila orang dalam dakwah semakin hanyut dan meminggirkan syariat, hanya kerana berperisaikan dakwah.





APA KATA KITA?

Monolog 1:
Beban dakwah yang dipikul apakah sehebat beban dakwah Nabi kita SAW?
Apa berat benar beban itu sehingga lebih hebat dari beban kepunyaan Nabi?

Nabi juga bernikah.

Imam Muslim yang meriwayatkan begitu. “Demi Allah! Aku lebih takut kepada Allah dan lebih bertaqwa daripada kamu. Namun aku berpuasa dan berbuka. Aku menghidupkan malam dan tidur. Aku juga berkahwin dengan wanita. Sesiapa yang membenci sunnah, maka dia bukan daripada umatku.”

Apa Nabi SAW tidak berdakwah?
Binasalah orang yang berdusta. Binasalah.



Monolog 2:
Kenapa beralasan bahawa dakwah itu amanah yang mesti didahulukan, dan meminggirkan pernikahan?

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah; “Apakah kamu beriman kepada sebahagian daripada al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain?”

Jika mampu beriman dengan wahyu Allah dalam hal bersangkutan dakwah. kenapa ingkar dalam hal perkahwinan? Celakalah orang yang ingkar.



Monolog 3:

Para isteri Nabi SAW juga berdakwah. Siapa ingin menidakkan bahawa mereka penebar dakwah? Mereka berdakwah dan berkahwin. Tiada halangan dalam dakwah selepas bernikah. Cuma pada kadar yang ditetapkan.


Kenapa mesti menolak jodoh yang baik disebabkan takut dihalang usaha dakwah? Dakwah mesti diiringi dengan ketaatan. Taatlah kepada Allah.

Taatlah. Taatlah. Taatlah.


p/s :

1. Apa pendapat sahabat-sahabat? Bagi ana baik sahaja tidak cukup. Kefahaman Islam itu yang penting. Sebaiknya pilihlah sejemaah. Jika ada kepentingan yang lebih aula' (kecuali kepentingan paras rupa dan materialistik) pilihlah berfikrah islami. Agar jalan dakwah yang kita pilih ini tidak terbantut dan impian baitul muslim dapat dibina. Bahkan mampu melahirkan Muhammad al-Fateh era 20-an.

2. Lelaki baik yang ana maksudkan dalam ceritera di atas bermaksud berfikrah islami tetapi bukan ahli jemaah. Cuma apa yang mahu ditekankan kadang-kadang jika sampai jodoh yang baik, cukup sifatnya mampu mengetuai bahtera rumahtangga ke syurga Allah, usahlah berlaku kejam dengan menolak secara membuta tuli.

Bagi pihak muslimin usahlah memilih sangat. Muslimat sejemaah ramai, jangan pula dicari orang luar kerana rupa. Jalan dakwah tidak sesekali di"roadblock" jika pasangan kita faham dengan uslub dakwah yang Nabi kita bawa, bahawa ini adalah perjuangan bersama. Tidak pernah terhenti.

walau tidak berpengalaman, hanya mencetus pendapat untuk persediaan.

READ MORE

SENTUHLAH AKU DENGAN KASIHMU


Pernahkah kita bertanya pada diri sendiri "hati ini telah tersentuh dengan kasih seseorang?"
atau "pernahkah hati ini terpaut dengan kemesraan seseorang?'
Mungkin? 
Dan pernahkah kita bertanya pada diri sendiri…”adakah aku seorang yang beriman?”
Sudah semestinya jawapan kita ” Ya, aku beriman….aku beriman kepada Allah, RasulNya, Malaikat-malaikat, Kitab-kitab, Hari Qiamat dan Qada’ dan Qadar”….senang sekali kita melafazkannya.

Tetapi begitu sukar untuk kita meningkatkan iman.malah sukar juga untuk mengekalkan iman. Pasang surut bak ombak di laut.

Kadang-kadang bila terleka, terlalai dengan urusan dunia yang tidak pernah padam.
Aduh! Rasa kosong di hati.

Apa yang kurang…apa yang hilang…apa salahku hari ini?

Sesungguhnya sangat mudah untuk lalai daripada mengingatiNya. Sibuk sikit, enak sikit, seronok sikit, sayang sikit, mewah sikit, puji sikit sudah membuatkan kita hanyut, lupa seketika pada yang Maha Esa

Tapi kalau Allah uji sikit, susah sikit, pedih sikit, sengsara sikit, hilang sikit, ketika itu lah kita mula ingat kepadaNya. Begitulah kita, kerdilnya eorang hamba.



AKU PERCAYA
Sesungguhnya jalan itu amat jelas, namun menyulusurinya aku tak betah. Sudah jauh ku berjalan, sedikit menggugat azam kerana ada kerikil tajam menikam-nikam. Telapak kakiku merintih pedih, namun ku gagahkan diri untuk terus bertahan. 

Kini aku masih berjalan, perlahan-lahan. Aku takut berlari kerna aku takut terus terhenti. Sungguh ramai orang kurasa asing, sinis pandangannya, tajam lidah tidak bertulang. Mata cuba kupejamkan, telinga cuba kupekakkan.

Sedang aku asyik berjalan hati tiba berbisik, "untuk apa terus berjalan? Lebih enak kau duduk diam". 
Sabarlah hati, enak kita bukan di sini. Enak kita berjumpa Ilahi.

Ya Tuhan...
Tetapkan kaki ini terus berjalan.
Kau sentuhlah jiwa ini dengan kasih sayangMu, dengan mabuk cintaMu
Agar aku tidak pernah puas dalam mengintai redhaMu dalam setiap langkahku

Telah kupilih jalanMu
Jalan yang mendekatkan aku padaMu
Jalan orang-orang yang beriman dan beramal soleh
Dan aku yakin sebenar-benarnya
Cintaku padaMu takkan pernah dikecewakan

Dan kumohon Tuhan
Damaikanlah ombak di hati
Walaupun ribut datang mengundang
Kasihku diikat di dasar Rabbi
Kerana ianya lumrah ujian..
Dan akan kuterus tekadkan janji
Kerana telah kupilih jalanMu ini.


"Ya Allah, dengan penuh pengharapan, ku mohon agar kaki yang Kau kurniakan untukku ini hanya melangkah untuk mencari redhaMu. Halanglah Ya Allah, kaki ini melangkah dengan sombong di muka bumi milikMu ini. Jadikan kaki ini sebagai saksi untukku di akhirat kelak....."

READ MORE

TATKALA TERJATUH dan MENANGIS


Apabila kau terjatuh dan menangis
Tampakkan sifat-sifatmu nescaya, Dia akan membantumu dengan sifat-sifat-Nya.
Tampakkan kehinaanmu nescaya, Dia membantu dengan Kemuliaan-Nya.
Tampakkan kelemahanmu nescaya, Dia membantu dengan Kekuasaan-Nya.
Tampakkan ketidakberdayaanmu nescaya, Dia membantu dengan Daya dan Kekuatan-Nya.

Ketika secara zahir Allah menjadikanmu taat melaksanakan perintah dan secara batin menganugerahkan sikap pasrah kepada-Nya, beerti Dia telah melimpahkan nikmat yang amat besar padamu. Sungguh rahsia-rahsia Allah itu Maha Seni sehingga terkadang engkau tidak menghargainya lantaran kaburnya mata hati.

Tunjukkan kemurahan kepada saudara-saudaramu. Biasakan dirimu memberi dan mengasihi. Memberi secara langsung adalah mengeluarkan harta dan menyerahkannya kepada mereka. Sementara, memberi secara tidak langsung adalah menunjukkan perhatian.

Jangan bakhil dan menahan apapun yang mampu kau berikan kepada mereka. Kerana keramahan, kemurahan dan kelapangan merupakan inti perjalanan. Siapa saja yang menjaga sifat-sifat itu dalam hidupnya, nescaya seluruh rintangan yang menghalangi dan mengotori mata hati akan sirna.

Berikan khabar gembira kepada malam bahawa fajar akan tiba, mulai dari puncak pergunungan hingga ke lembah-lembah. Berikan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman bahawa jalan keluar akan segera datang secepat cahaya dan sekejap mata.

Allah tidak pernah mensia-siakan kita, hanya kita yang mensia-siakan peluang dan masa yang Allah berikan pada kita. Istighfar.

Dia yang memiliki Allah, memiliki segala-galanya. Firman Allah SWT :

“Kepunyaan Allahlah segala apa yang ada di langit dan di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendakiNya dan menyiesa siapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Al Baqarah: 284)

READ MORE

JOM! MODAL SEKALI, UNTUNG BERPANJANGAN

Sabda Nabi Muhammad S.A.W : "setiap amalan akan terputus apabila matinya anak adam, kecuali tiga perkara anak soleh yang mendoakan, ilmu yang dimanfaatkan dan sedekah jariah”

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.” Riwayat Bukhari & Muslim

Pengajaran yang kita dapat ambil daripada hadis ini ialah Allah yang mewujudkan sifat semulajadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah. Firman Allah S.W.T yang maksudnya :

“Bandingan (perbelanjaan/derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”(al-Baqarah:26)

Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang yang memerlukannya kerana kesenangan (kekayaan) yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya merupakan satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini.

Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan oleh Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.

Oleh itu demi mencari keredhaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat-ingat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan. Sebenarnya di sebalik amalan bersedekah akan dapat mewujudkan perasaan kasih sayang sesama manusia dan sesungguhnya amalan yang baik akan dibalas baik oleh Allah S.W.T.

READ MORE

AKU YANG LEMAH


Ujian itu external tapi memberi kesan pada internal kita. Kita tak mahu, apabila external mengganggu kita, internal kita menjadi lemah. Iman kita itu menjadi fragile.

bila orang tanya OK tak?
katakan “semakin aku diuji, semakin aku OK”

sebab bukankah ujian mengingatkan pada Yang Esa?
mengingatkan pada Qada’ dan Qadarnya
mengingatkan diri ini ketangkasan, kelebihan, kecerdikan
yang tidak mampu mengatasi kuasaNya

Bila kita rasa lemah ketika ini, sebenarnya masa atau jarak hampirnya kepada semangat dan kekuatan itu sangatlah dekat, jadi kita tidak harus terhenti dalam kelemahan tersebut, teruskan walau bertongkat paruh sekali pun. InsyaAllah semuanya akan kembali seperti biasa.

"Ya Allah, aku ini lemah, maka kuatkanlah aku dalam keredhaanMu, dan bimbinglah aku kepada kebaikan, dan jadikanlah Islam itu tempat aku meletakkan keredhaan, ya Allah aku ini lemah, maka kuatkanlah, aku ini hina maka muliakanlah aku, aku ini miskin maka kayakanlah aku dan kurniakan rezki padaku"

READ MORE

MOTIVASI DIRI : KUATKAN SEMANGAT!


Hati memberontak! Fikiran meracau-racau. Jiwa benar-benar kacau, tidak keruan otak menafsirkan saat beperang dengan emosi. Terasa kegersangan, kekosongan, menutup pintu mata hati untuk menerima sebarang peringatan mahupun teguran.

Rasa amarah, ego cepat melenting tatkala disuap kepahitan tarbiyyah. Hati tidak berhenti mengutuk badan.
Ahhhhhhhhh!!!!!!!!!!! Apa yang aku buat ni?! Mana semangat aku pergi? Kenapa aku lemas dalam nafsu?

Tolong kuatkan semangat aku! Aku amat memerlukannya!

Akhirnya, di sepertiga malam itu, ada air mata turun menyembah bumi. Rasa kehambaan tersungkur di sejadah buruk. Bibir masih tertutup terkunci rapat, bibir hati sibuk menyusun kata-kata yang mahu diluahkan kepada Dia. Dia tidak pernah lekang daripada mendengar luahan, permasalahan hati hambaNya.

Jari jemari yang mulus tersentak-sentak ke kaki keyboard, meluahkan rasa dan terasa. Blog menjadi tumpah taatnya perasaan memuhasabah diri. Sejak berkenalan dengan blog, jejak-jejak lama dahulu dilakarkan agar menjadi pengajaran membakar obor-obor semangat untuk terus tabah dalam kehidupan.

Ada sesuatu yang perlu dirungkaikan. Dari mana lahirnya semangat? Masihkah ada lubang rahsia yang belum dikorek? Hati belum berpunya, mungkin mereka kata tidak sebahagia, tidak sesemangat seperti mereka. Tapi yang pasti, hati ini sudah lama dilamar dan tergantung dek kerana masih rabun dalam pencarian. Terjumpa namun tercicir. Terus mencari semula, hakikatnya masih rabun mencari punca.



CINTA PEMBAKAR SEMANGAT 

Berkenalan dengan ciri-ciri Islam yang sebenar. Apabila sudah dapat berkenalan dengan baik maka akan mudahlah gerakan-gerakan indah akan bergerak dengan sendirinya.

Apabila sudah tahu akan soal hati budi, suka atau tidak, apabila terikat sayang, kasih pun akan terus terlekat. Berkenalan dan terus memahami, memahami membawa kefahaman, apabila ada kefahaman akan ada pula persamaan.

Malamnya bagai rahib merintih pada Allah dan sangat kuat beribadah manakala siangnya bagaikan singakuat berjuang - nasyid Raihan

Ya, persamaan, dengan persamaan kita akan lebih rapat kerana ada persamaan dan rasa saling memahami. Indah kan. Tidak dapat dibayangkan jika kehidupan ini hanya dipenuhi dengan irama-irama yang memuji yang Maha Esa, subhanallah.

Apabila adanya persamaan, dia dan aku akan mudah memahami, jambatan hati cepat sahaja terpatri utuh, terukir senyuman walau disakiti, hanya kerana kita ada persamaan dan rasa saling memahami.

Bila cinta, kita sanggup berkorban untuk yang kita cinta dan kasihi. Bila ada niat untuk membahagiakan yang lain, maka kita akan usahakan yang terbaik untuk memenuhi kehidupannya dengan bahagia dan sempurna.

Kelompongan itu diisi, indah rasa apabila ada insan yang ingin memenuhi kelompongan di hati, kerana apa? adanya kemahuan gerak hati itu? kerana kita ada kefahaman dan berkongsi rasa walaupun kadang kala berlainan maksud.

Buku hasil tinta Abdullah Nasih Ulwan yang bertajuk “ Al-Islam Wal Hubb”. Katanya cinta itu ialah perasaan jiwa dan tarikan hati.

Bercerita akan kasih sayang dan fitrah terasa nikmatnya, namun nikmat ini perlu ditujukan kepada mahabbatullah, maka akan rasa nikmat yang sebenar, mari bersama menuju rasa nikmat rasa itu.

Sifat cinta itu suci, mahal dan tinggi tarafnya, sifatnya juga sempurna. Jika tidak, cinta itu akan cacat. Itulah rasa cinta sebenar cinta, cinta Allah itu sempurna. Cinta yang membangkitkan semangat. 

Duhai diri, tidak salah berbicara pasal cinta. Andai ia bisa mengelak dari terpana. Cinta Allah atau cinta dunia.  Celik mata, celik akal, celik hati dalam meraih redhaNya. Ia bisa menaikkan berahi dalam meneruskan kehidupan seorang hamba Allah. Bersemangatlah!





p/s :

kuatkan semangat sahabat-sahabatku..adik-adikku..serta mereka yang sentiasa berjuang demi kebenaran..ingatlah Allah sentiasa bersama kita..tiada perjuangan tanpa mehnah dan kesusahan..pergantungan kepada Allah itu yang utama..

Ya Allah...tunjukkanlah kebenaranMU
semoga hati-hati kami sentiasa terikat bersamaMU
thabatkan jiwa kami dalam perjuangan ini
hanya padaMu kami berharap
hanya padaMU kami bertawakal
hanya padaMU kami memohon pertolongan
hanya padaMu...Ya Allah

READ MORE

THE MOST POPULAR POST